Iman Yang Tidak Diwarisi

Dah berkurun rasanya tak mengarang ni. Seandainya coretan aku ini agak memeningkan kalian, kudahulukan dengan ucapan maaf.

Lain orang, lain jalan ceritanya. Ini pula kisahku. Aku sekadar ingin berkongsi bagaimana aku mula nekad dan akhirnya memakai tudung labuh dalam erti kata sebenar. Untuk pengetahuan kalian, aku dilahirkan dalam keluarga yang mana masyarakat memandang dan menganggap keluargaku sebagai keluarga yang mawaddah lagi sakinah. Alhamdulillah.

Ayahku merupakan seorang guru sekolah yang mengajar bahasa Arab. Senang cerita, aku ni anak ustaz. Aku ni boleh dikategorikan sebagai seorang yang sopan, berkat didikan daripada mak ayah aku. Aku pernah dipilih sebagai Tokoh Budi Bahasa di sekolah. Maaf, agak poyo kat sini..hahaha. Tapi, jiwa aku langsung tak menggambarkan aku ni anak kepada seorang ustaz.

Aku pernah bersekolah di salah sebuah sekolah agama di Malaysia ni. Ingin aku khabarkan betapa indahnya suasana di sekolah agama. Gadis-gadisnya bertudung labuh dan pemuda-pemudanya segak bersongkok. Suasananya tenang dengan pokok-pokok rendang yang menghijau, angin sepoi-sepoi yang sentiasa menemani dan taman-taman yang indah. Pelbagai peraturan dan program yang diatur oleh para guru demi memastikan anak-anak didik mereka mendapat didikan yang seimbang dari sudut dunia mahupun akhirat. Itu adalah perasaan yang ku rasakan kini iaitu saat aku telah menginjak dewasa, saat aku mengenangkannya. Sungguh, aku rindu. Namun, pada zaman persekolahan dulu, semua itu tidak juga berjaya membuatkan aku untuk terus istiqamah memakai tudung labuh dan menjiwai perwatakan muslimah yang sebenar. Ya, memang aku dah mula pakai tudung labuh waktu sekolah menengah lagi tapi hanya sekadar memenuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Bila aku jejak kaki keluar dari sekolah, aku tak pakai pun tudung labuh, stokin, semua tu. Tapi, sedikit sebanyak didikan guru masa sekolah menengah, berkesan jugak kat aku walaupun tak sepenuhnya. Insyallah, aku tau lar jugak mana yang haram halal tu, part hukum hakam semua tu. Tak dak lar sia-sia ayah aku hantar aku masuk sekolah agama. Cuma part pakai tudung labuh ni kot, yang aku liat sikit. Huhu.

Ehhh, tapi kau kan anak ustaz? Takkan ayah kau tak ajar, takkan ayah kau tak pernah suruh? Ya, memang aku anak ustaz, tapi soal aku tak pakai tudung labuh tu, jangan babitkan ayah aku, jangan nak salahkan ayah aku mahupun mak aku. Ini soal hati aku, yang mana saat tu, aku rasa “Eh, tak perlu kott nak pakai tudung labuh bagai, pakai macam ni(tudung singkat) pun dah cukup lar. Nak kena pakai stokin lagi..menyusahkan betul lar..Hishh, rimas lar. Rimas tau tak?” Ya, itu yang aku rasa. Bagi aku, dah cukup pakai tudung bawal bidang 45 tu untuk tutup aurat. Aku rasa bila pakai tudung labuh ni, “Alar, melebih pulak nak pakai tudung labuh ni. Pakai tudung sekadar nak tutup apa yang patut dah lar.” Yes, memang tak dinafikan, teruk betul mentaliti aku masa tu. Mentaliti aku tu kekal macam tu sampai aku tamat persekolahan. Macam haremmm.

Seusai tamat persekolahan, aku ditawarkan ke salah sebuah kolej matrikulasi. Ok, kali ni aku sebut lar matrik mana aku dapat. Aku dapat tawaran ke Kolej Matrikulasi Pulau Pinang. Haa..sapa dari matrik yang sama? Kita geng! Kenangan di matrik ni, tak payah cakap lar..memang banyak kenangan walaupun setahun je duk situ. Masa pack, tapi macam-macam kita boleh buat tanpa kenal erti penat. Kat matrik ni, Allah hadirkan untuk aku sahabat-sahabat yang gila-gila tapi sangat baik, banyak menyokong dan sentiasa membantu aku. Masa sekolah dulu pun, ramai jugak sahabat-sahabat aku yang baik-baik. Tapi, yang aku nak cerita ni starting pointnya kat sini, kat matrik. Starting bila aku nekad nak pakai tudung labuh lillahitaala dan bukan sebab terpaksa. Masa semester 1 kat matrik, aku masih lagi bertudung singkat seperti sebelumnya. Aku mula bertudung labuh masa semester 2 kat matrik.

Sebenarnya masa di matrik, apa yang aku perasan, ramai orang yang melalui proses penghijrahan ni. Maksud aku, selain daripada aku, ada lagi beberapa individu yang pernah aku kenal mula berubah pakai tudung labuh masa di matrik. Malah, ada juga individu-individu lain yang berhijrah daripada free hair kepada memakai tudung. Alhamdulillah. Subhanallah, petunjuk dari Allah.

Seperti yang aku katakan sebelum ni, macam-macam yang aku buat masa di matrik. Salah satunya, aku join jadi ahli Brotherhood. Sesiapa yang dari KMPP, mungkin tahu apa tu Brotherhood. But, I wonder kalau Brotherhood ni wujud lagi tak kat KMPP. Mungkin masih ada, masih giat menganjurkan aktiviti dan program. Aku selalu jugak join program anjuran Brotherhood ni. Brotherhood ni macam persatuan yang selalu menganjurkan program-program islamik. Antaranya program usrah, ceramah, dan lain-lain. Bagi aku yang dari background sekolah agama, tahu apa itu usrah dan bagi aku usrah itu membosankan.  Tapi bagi sahabat-sahabat aku yang bukan dari sekolah agama tak tau apa itu usrah dan diorang sangat excited nak join usrah tu. Jadi, disebabkan sahabat-sahabat aku, aku relakan jugak untuk join usrah di KMPP.

Cara pembawakan atau cara diorang handle usrah di KMPP lain sikit. Sedikit sebanyak telah mengubah persepsi aku tentang usrah. Aku dan sahabat-sahabat lain boleh dikatakan aktif menyertai program anjuran Brotherhood. Banyak benda yang kami belajar. Seronok belajar benda baru, kenal orang baru, dikelilingi orang baik-baik. Lama-kelamaan, turut mengubah aku dan sahabat-sahabat menjadi lebih baik. Kami gila-gila tapi selalu mengingatkan antara satu sama lain. Dari situ jugak turut mengubah cara aku berfikir, aku dah mula rasa suka tengok orang yang pakai tudung labuh ni, tenang je tengok diorang, manis je tengok diorang bertudung labuh, elok je tertutup. Hati aku pun dah mula terdetik nak jadi macam diorang. Hati aku mula rasa malu cuma bertudung ala kadar, tutup tapi sebenarnya tak, sebab aku hanya pakai tudung bawal yang nipis tanpa inner tudung tu. Macam sia-sia je pakai tudung, tapi nampak leher.

Aku nak sangat pakai tudung labuh masa semester 1 lagi, tapi ada lagi bisikan dalam minda aku seakan menghalang. “Ehh, tak awal sangat ke nak pakai tudung labuh? Tak mendadak sangat ke kau nak berubah ni? Tak pelik ke weh bila kau pakai tudung labuh nanti?” Tak membazir ke weh beli tudung baru nanti? Tudung bawal kau yang cantik-cantik ni kau nak campak kat mana? Membazir kot buang camtu je.” Aku jadi takut dan tak yakin bila nak berubah.

Tapi, disebabkan sahabat-sahabat aku sokong  niat aku untuk bertudung labuh dan motivasi yang aku dapat daripada individu-individu yang juga baru nak berhijrah, membuatkan aku nekad dengan niat aku tu. Masa cuti semester 1, aku balik kampung dan mintak mak temankan pergi beli tudung bidang 60. Mak macam terkejut, tapi turutkan aje niat aku. Lepas beli tudung bidang 60 tu, aku tunjukkan kepada ayah. Ayah cakap “haa kan cantik pakai macam ni”. Hatiku berbunga dipuji oleh ayah..hahaha. Aku tau, mak dan ayah mesti tak pernah berhenti doakan aku supaya aku berubah jadi lebih baik”. Alhamdulillah berkat doa mak ayah. Bila start semester 2, aku ubah penampilan aku. Nyanyi sikit..”Aku yang dulu bukan yang sekarang”. Alhamdulillah banyak respon positif yang aku dapat. Tapi bukan komen dari manusia yang dikejar, tapi redha Allah. Moga Allah sentiasa redha.

Jujur kukatakan, sejak saat itu, aku rasa lebih terlindung. Banyak manfaat dan istimewanya bila bertudung labuh. Ya! Mungkin ada saja suara-suara hati yang berbisik, “Alah, ramai je yang bertudung labuh, tapi tak baik pun” “Tudung singkat pun masih tutup aurat” “Don’t judge people by its cover”. Aku hormat pendapat masing-masing. AKu cuma berkongsi secebis pengalaman aku. Ya benar, kita tak boleh menilai seseorang dari luarannya sahaja. Namun, hakikatnya, masa itu singkat dan peluang itu tiada untuk kita betul-betul mengkaji dalaman seseorang hingga terpaksa menilai dari luarannya sahaja. Sebagai contoh, jika kita ingin membeli makanan, terdapat 2 buah gerai. Gerai pertama ialah seorang makcik yang bertudung labuh. Manakala gerai kedua ialah seorang perempuan yang tidak bertudung dan rambutnya menggerbang lepas. Mana satu yang kita akan pilih? Kenapa cepat sangat buat pilihan tanpa mengkaji dalaman kedua-duanya terlebih dahulu? Apa yang kita nilai ketika itu? Fikir-fikirkan.

Oh ya, bagi sesiapa yang masih ragu nak berhijrah sama ada dari tak bertudung kepada bertudung, atau daripada tudung singkat kepada bertudung labuh, teruskan aje niat kalian itu. Kalau boleh jangan lambatkan, benda baik elok dipercepatkan. Udah-udah lar amik masa nak berpikir lagi cik oiii.

-sisnekad