Nama aku Aya. Umur hujung 20an. Bekerja dalam bidang korporat. Cukup dulu setakat tu untuk pengenalan diri.
Kalau baca tajuk mesti ada yang wonder insecurity apa yang aku maksudkan. Di usia 20an ni, memang ramai kawan- kawan yang dah berkahwin dan aku juga mengimpikan benda yang sama.
Aku juga mempunyai rupa paras yang sedap mata memandang. Dengan kerjaya yang baik, ramai yang merasakan aku memiliki pakej serba lengkap dan seringkali orang bersangka aku sudah memiliki teman untuk hidup bersama.
Tapi, dunia bukan serba indah. Langit bukan selalunya cerah. Kita hanya manusia biasa yang tak mungkin memiliki segalanya.
Aku menghidap penyakit yang dinamakan androgenetic alopecia. Ringkasnya, penyakit ni adalah masalah botak kepala yang disebabkan oleh keturunan. Boleh google androgenetic alopecia for women untuk gambaran yang lebih jelas.
Lebih sedih, penyakit ini tiada ubat dan kesan penyakit ini hanya dapat dilambatkan. Ya, betul. Di usia 20an, kepala aku hampir botak seperti nenek dan atuk yang kulit kepalanya sudah kelihatan.
Aku bertudung, tapi keadaan ini menjadi insecurity terbesar dalam hidup aku. Dan disebabkan penyakit ini, sampai sekarang aku masih solo dan takut untuk mencari teman hidup.
Fikir aku, ada ke lelaki yang mahukan perempuan yang hampir botak? Mesti suami aku akan menyesal bila tahu aku memiliki rambut yang sangat sedikit.
Tambah lagi, aku fikir aku akan malu untuk tidak bertudung di hadapan mertua ataupun ipar aku kelak. Sedih sangat bila terkenang macam ni.
Pelbagai rawatan professional dari doktor, tonic, minyak rambut, syampu dan perapi yang telah aku cuba. Tapi kesannya hanya sementara dan tidak effective untuk jangka masa panjang.
Doktor jugak telah menasihati aku untuk jangan terlalu berharap kerana ini adalah penyakit genetik dan tidak dapat dirawat.
Lebih teruk lagi, rambut aku selalu kelihatan tidak terurus kerana memiliki rambut jenis curly dan frizzy.
Doktor menegah aku dari membuat rebonding atau hair treatment kerana khuatir rambut aku akan menjadi lebih lemah dan lebih cepat gugur.
Mungkin ada yang akan kata, aku overdramatic, overthinking dan sebagainya. Tapi, keadaan ini telah membunuh keyakinan yang aku ada.
Kalau ada company retreat, aku akan request untuk duduk bilik seorang supaya tak perlu buka tudung di hadapan orang lain. Kalau di surau, aku takkan pernah buka anak tudung atau akan cepat cepat pakai telekung.
Aku sangat cemburu melihat mahkota perempuan-perempuan di luar sana. Lurus, panjang, berkilat dan terurus. Tapi aku… aku tidak mampu untuk berbuat apa-apa dan terpaksa hidup dengan keadaan rambut yang sekarang sampai bila-bila.
Aku telah berkenalan dengan seorang lelaki dan ingin serious dalam hubungan. Tetapi, insecurity aku ini menghentikan langkah aku.
Pelbagai persoalan bermain di fikiran aku. Patutkah aku berterus terang dengan dia? Patutkah aku terus mencari alternatif rawatan yang lain? Patutkah ini, patutkah itu..
Coretan di sini hanya untuk menceritakan kesedihan di hati. Mohon doakan aku untuk terus kuat dan dipermudahkan untuk bertemu jodoh yang terbaik.
– Aya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit