Niqab, Tidak Seindah Khabar

Disclaimer: Tulisan ini bukan bertujuan memburukkan golongan niqabist atau syariat pemakaian niqab itu sendiri.

Coretan ini bertujuan untuk memberi gambaran tentang apa yang mungkin berlaku jika anda memilih untuk berniqab. Selamat membaca.

Alkisah bermula sewaktu saya masih menuntut di UIA Gombak. Saya memilih untuk berfurdah/ berniqab seawal tahun kedua pengajian (2006).

Saya orangnya kuat menurut firasat hati. Jadi keputusan saya untuk “bertutup” boleh dikatakan agak spontan.

Tiada kajian-kajian ilmiah, tidak bertanya kepada asatizah2 atau teman2 lain yang juga berfurdah. Perubahan saya pada ketika itu semata-mata berbekalkan nawaitu untuk menjadi lebih baik.

Saya agak beruntung kerana tidak menghadapi tentangan daripada Al-marhum mak dan abah.

Adik-beradik juga tidak membantah, sedangkan kami hanyalah keluarga yang biasa2 dalam urusan beragama (Arwah mak tukang jahit dan Arwah Abah imam surau sambil sukarela bertukang buat keranda).

Sebesar2 bangunan KAED, hanya saya seorang yang berfurdah/berniqab waktu itu. Ada seorang lagi senior berfurdah tapi bila saya mula bertutup si senior sudah hampir menamatkan pengajian.

Oleh kerana saya masih baru dalam hal ini, saya memilih untuk menetapkan perimeter kawasan dimana saya akan bertutup.

Contohnya, saya bertutup setiap kali ke kuliyyah, ke masjid, ke taalim, atau ke tempat2 lain termasuk balik kampung, kecuali ketika saya menghadiri latihan silat di Female sports complex.

Ada juga keadaan2 lain yang saya pilih untuk tidak bertutup kerana jika saya bertutup, khuatir akan mendatangkan fitnah yang lebih besar.

Contohnya apabila saya perlu keluar berkumpulan dengan studiomates perempuan dan lelaki untuk buat site study, atau apabila saya terlibat dengan tournament2 besar silat seperti MASUM dan open tournament di Universiti lain atau diperingkat negeri.

Setakat sindiran atau panggilan-panggilan ejekan, itu sudah menjadi makanan dan saya telan sahaja.

Saya dipanggil ninja, kotak peti surat, ayat-ayat cinta: Saya tidak gembira dengan panggilan begitu, tetapi saya tidak juga terlalu tersinggung. Saya hanya anggap ianya gurauan manja antara kawan2.

Seusai pengajian, saya terus masuk kealam pekerjaan (2012). Oleh kerana tidak berminat berkarya dalam apa2 lapangan senibina, saya memilih menjadi guru di sekolah antarabangsa.

Namun waktu itu saya tidak tahu menahu langsung tentang suasana pejabat, jadi saya buat keputusan untuk berhenti berniqab atas sebab2 keselamatan.

Niat dihati ingin bertutup semula setelah saya benar-benar mengenali alam kerjaya. Malangnya, fasa ini berlarutan selama beberapa tahun dan saya berpindah ke sekolah antarabangsa berlandaskan islam.

Abah meninggal tanggal 5/2/2020 akibat sakit tua. Saya dikejutkan dengan hakikat bahawa saya sudah tidak berbapa untuk menjaga jasad dan rohani saya.

Saya terus berniqab semula, dan dengan takdirnya juga, mak menyusul abah 27 hari kemudian tanggal 2/3/2020.

Ketika ini, saya merasakan bertutup adalah perisai terbaik buat saya. Ibadah yang satu ini seperti hujan yang sentiasa membasuh luka dihati saya dek kepergian mak dan abah pangkuan Ilahi.

Cinta mereka yang sampai hujung nyawa telah membuat saya rasa ditinggalkan tanpa haluan. Tiada kerinduan dalam dunia ini yang lebih menyeksakan daripada rindunya kita kepada orang yang telah tiada. Semangat saya mereka bawa pergi melepasi alam nyata ini.

Akan tetapi berniqab sebagai muslimah yang lebih dewasa tidaklah sama dengan zaman kuliyyah. Sedikit demi sedikit saya lebih faham tentang syariat berniqab, hukum-hakam, fadhilat, dan kesesuaian sosialnya.

Saya tidak berminat lagi dengan pakaian2 berwarna yang terlalu “meriah”. Sewaktu berfurdah dizaman UIA saya memang tidak berminat dengan solekan mata, jadi sehingga sekarangpun saya tidak bertabarruj.

Tetapi kini saya lebih faham kenapa wanita berniqab tidak seharusnya mengindahkan mata mereka. Saya juga hanya mengenakan niqab sahaja dan bukan furdah.

Saya berpendapat alang2 nak bertutup semula kenapa perlu kekal ditakuk lama, harus ada penambah-baikkan.

Untuk yang kurang faham, Istilah Furdah, Niqab, Burqa, atau Chador bukanlah sinonim. Ia adalah jenis2 potongan kain berbeza yang wanita kenakan untuk menutup wajah mereka.

Akan tetapi tantangan paling jelas yang saya hadapi kini adalah bersangkut golongan lebih tua yang bekerja bersama2 ditempat kerja.

Sindiran atau ejekan manja seperti waktu belajar boleh tolak tepi. Makcik-makcik di tempat kerja suka bergossip dan akan sentiasa rancak mengata dibelakang kita.

Prejudis sangat nyata kerana kitalah yang pelik disitu. Walaupun ada seorang lagi kakak yang berniqab disekolah tempat saya mengajar sekarang, kerana faktor usia yang lebih muda, sudah semestinya saya menjadi sasaran prejudis yang lebih keras.

Setiap patah kata-kata dan tindak tanduk saya diambil kira.

Walaupun pada dasarnya saya hanya berkata jujur atau bersahaja tanpa memaksudkan sesiapa, seorang kakak pernah laser saya “Siapa yang pakai purdah, aku ke kau? “.

So you need a certain social grace to face this kind of treatment. Pilihlah untuk berlunak, mengalah tak bererti lemah, berdiam tak bermakna bisu.

Waspada dengan imej yang kita bawa. Hanya kerana kita berbaik sangka, jangan kita ingat orang lain juga akan berbaik sangka dengan kita.

Bersabar dan sebarkan kesedaran tentang isu niqab kepada orang sekeliling kita.

Saya harap pengalaman saya sedikit sebanyak dapat membantu pembaca memahami hakikat hidup dibalik sepotong kain warisan ummahatul mukminin ini.

Saya dan banyak wanita lain diluar sana, memilih untuk berniqab, berfurdah, waimma bertudung biasa sekalipun, bukan kerana kami sempurna, tetapi kerana kami sedang berusaha memperbaiki diri sebagai muslimah dan mencari bekal selepas mati.

Teramat bersyukurlah saya jika luahan ini dapat dibaca dengan kaca mata ilmiah dan pemikiran yang luas. Saya jemput para pembaca untuk mengkaji salah dan silap yang saya nyatakan diatas. Belajar dari kelemahan saya.

Kepada yang sudah bertutup, Tahniah dan semoga istiqamah. Kepada yang berhajat, jangan biarkan hajat kita tertangguh terlalu lama kerana maut tidak menunggu kita.

Kalau was-was carilah nasihat dari yang pakar atau orang yang lebih banyak makan garam dalam urusan ini. Semoga fadhilat amalan ini dapat kita kongsi bersama. Tanah akhirat menunggu kita.

Yang masih belajar,

– Maidah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *