Isu Anak

Anak. Semua yang berkahwin pasti berhajat untuk mempunyai anak. Tipulah kalau tak nak kan?

Hi, nama aku Arsalan. Aku perempuan. Dah kahwin hampir 3 tahun dan belum direzekikan dengan anak walau seorang.

Sebelum aku kahwin, aku tengok ramai kawan-kawan dan orang-orang terdekat jenis lepas kahwin, terus lekat. Memang yang senang-senang dah bunting pelamin. So, aku yang sejenis suka kanak-kanak ni pon terus pasang angan-angan aku pon nak macam tu nanti. Naifnya masa tu.

Dipendekkan cerita, bermulalah episod rumahtangga aku. Aku masih dengan angan-angan lepas nikah terus “ada isi”. Sedangkan aku sendiri tahu, aku mempunyai masalah haid tidak teratur yang mana doktor sendiri bagitahu agak sukar jika sekiranya aku mahu hamil.

Perkara ini sudah dibincang awal-awal dengan suami sebelum kahwin, dan suamiku dengan senang hati berkata “takpa, itu kerja Allah bukan kerja kita. Kita usaha, ada rezeki maknanya ada. Yang penting kita kahwin dulu”. Berbekalkan ayat itulah, aku rasa yakin untuk kahwin walaupun runsing jugak masalah anak ni.

Bulan berganti bulan, aku dan suami masih belum direzekikan anak. Ketika itu, aku masih PJJ dengan suami. Suami di utara manakala aku di selatan, dan orang sekeliling mulai bercakap-cakap.

Sementara, kakak iparku yang berkahwin pada hari yang sama dengan kami telah selamat melahirkan anak selepas 9 bulan bernikah. Tipulah kalau aku dan suami tak rasa apa-apa. Kahwin hari yang sama tapi aku masih berdua, belum bertambah ahli keluarga. Aku tak dengki, aku happy sangat cuma sedih sikit lah.

Disebabkan aku dan suami masih PJJ walaupun setelah setahun berumah tangga, maka kami gunakan alasan tersebut bilamana kami ditanya tentang anak. Pergi kenduri kahwin orang tanya, pergi rumah terbuka orang tanya, pendek kata ke mana-mana sahaja memang orang akan bertanya tentang anak.

Aku pon pelik, adakah soalan itu seolah awal pembuka bicara ataupun memang kurangnya “common sense” dikalangan manusia sekarang. Entah, tapi cuma nak pesan. Bertanya tentang anak tu boleh, tapi cara bertanya tu kena betul.

Kadang orang tanya kami, “eh berdua lagi, takda rasa nak anak ke”. Kat sini aku tanya, ada ke orang kahwin takda rasa nak anak? Ada juga sedara aku cakap aku ni sejenis perempuan tak suka baby sebab tu langsung takda usaha nak dapatkan anak. S

umpah aku rasa down teruk, sebab aku dan suami sahaja yang tahu usaha kitorang. Takkan lah nak canang dekat semua orang usaha kami. Takkan lah kau pergi jumpa Gynae, jumpa bidan semua nak update dalam social media.

Aku ingat yang membawang macam ni perempuan sahaja, rupanya lelaki pon boleh tahan. Suatu hari tu aku down teruk, aku marah suami aku cakap dia relax je tak fikir apa tak hadap apa-apa macam aku. Rupanya dia pon kena. Kawan-kawan cakap dia tak power lah dan macam-macam lagi. Terkejut aku, lelaki pon mulut tah apa-apa rupanya.

Tahun pon berganti baru dan akhirnya aku berhenti kerja dan pindah ikut suami. Maka, tiadalah lagi alasan PJJ untuk kami bagi bila ditanya soal anak. Dah setahun aku hidup sebumbung dengan suami dan masih pon belum mengandung walau sekali.

MIL aku dah start macam tanya, dah start suruh suami bawak aku pergi mengurut. Hakikatnya aku dah berkali pon mengurut. Orang-orang sekeliling dah start bercakap “dulu alasan PJJ, sekarang dah hidup sekali pon belum mengandung”.

Entahlah. Aku serious okay. Cuma ada masa aku down. Ada masa aku redha. Ada masa aku nangis sorang-sorang teringin sangat nak rasa ada makhluk kecil dalam rahim sendiri, rasa perut ditendang macam orang share dekat social media. Ada masa aku fikir mak ayah aku dah tua dan kesian diorang tak ada rezeki lagi main dengan cucu. Kesian jugak diorang bila kawan-kawan diorang tanya pasal cucu.

Aku pon tak pasti bila akan direzekikan anak sendiri tapi aku tahu ujian macam ni Allah bagi tak lain tak bukan untuk kuatkan aku dan suami. Aku redha, walaupun rezeki anak belum ada tapi rezeki lain yang Allah bagi kepada kami banyak. Aku memang patut bersyukur dengan rezeki lain cuma macam aku cakap, kadang-kadang aku sedih sikit.

Buat kalian yang masih struggle, aku doakan semoga kita semua akan dipermudahkan urusan dan direzekikan untuk mempunyai zuriat sendiri. InshaAllah, aku yakin ada hikmah yang Allah susun untuk kita yang mungkin kita belum nampak.

Pembaca IIUM Confession sekalian, aku minta doakan aku agar berjaya pregnant cycle kali ni dan seterusnya ya? Aku balikkan doa untuk kalian juga. Aamiin aamiin Ya Rabbal A’lamin. Mana tahu, rupanya doa-doa dari kalian yang Allah bakal makbulkan. Terima kasih semua :)

– Yang Mengharap (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *