Isu Guru KAF*

Assalamualaikum. Pasti ada dalam kalangan pembaca yang pernah atau sedang berkhidmat jadi guru KAF* triggered kan bila baca tajuk ni? Haha. Memang itu pun tujuan confession ini dicipta.

Harap dengan tulisan ni dapat membantu meringankan beban di bahu para guru agama.

Hai semua, aku Na o’mei. Pernah berkhidmat sebagai guru agama di sebuah negeri yang terpaksa aku rahsiakan atas sebab tertentu.

Aku tahu ini bukanlah kali pertama luahan dan keluhan terbit dari seorang guru agama. Aku yakin ramai yang mengalami dan berfikiran seperti ini.

“Orang yang berkhidmat demi agama ini perlu IKHLAS, sebab Allah akan bayar di AKHIRAT”.

Sengaja aku mentioned perkataan IKHLAS dan AKHIRAT itu dengan capslock.

Biar orang yang ada mentaliti begini buka mata dan otak besar-besar.

Jujur aku penat. Cakaplah apa pun. Keluarlah dalil apa pun. Gunakan perkataan IKHLAS, kalau berhenti di pam minyak. Laku tak?

Sejujurnya, aku agak kecewa dengan manusia yang mempunyai title yang dijunjung tinggi ada mentaliti sebegini. Sumpah aku frustrated gila.

Kalau nak cakap soal IKHLAS, sila buang pangkat dan jawatan anda, dan ambil tugas dan peranan kami sebagai guru agama dengan gaji tahap miskin bandar, dan berperananlah dengan ikhlas selama setahun tanpa ada increment tahunan, insentif tambahan dll.

Tak minta lama, setahun je berkhidmat. Setahun je. Berkhidmat pula di kawasan bandar yang memang high cost living. Mampu tak anda bertahan dengan perkataan IKHLAS itu?

Aku tahu isu gaji guru agama ni dah lama dipolemikkan. Sejak bertahun-tahun dahulu. Berapa banyak tulisan di akhbar dan media massa yang mengkritik dengan kadar elaun sara diri guru agama di sebuah negara yang “tercinta” ni.

Nak sembang lagi pasal ‘IKHLAS’. Eh, berangin la aku dengan mentaliti begini. Kalau dari mulut orang awam, aku faham lagi. Ni dari mulut orang berpendidikan, penjawat awam berpangkat tinggi. Sumpah aku tak boleh terima.

Sorry guys, aku dah lama pendam sakit hati ni. Aku nak luah, aku tak ada saluran yang ‘selamat’ lagi dah.

Walaupun aku dah bergelar bekas guru, aku tetap terkilan dengan nasib-nasib rakan-rakan guru yang masih hidup ibarat kais pagi makan pagi. Terpaksa buat dua tiga kerja untuk tampung kos kehidupan di bandar besar yang banyak perkara perlu dibayar.

Aku tahu orang akan compare, orang lain pun sama susahnya. Hidup di zaman ketirisan ekonomi ni lagilah. Bersyukurlah masih ada kerja bla bla bla.

Sejak kes Cikgu Ayu viral sebab kena tindakan dengan jabatan, hati aku berkobar-kobar nak tulis confession ni. Dah seminggu lebih aku tahan jari dari menulis.

Benda ni dah ‘hanging’ dekat kepala aku hampir 2 tahun. Kali ni, aku tak kira, aku perlu suarakan jugak walaupun aku tahu TETAP TAKKAN ADA perubahan dalam ‘Institusi Agama’ di MALAYSIA. Negara yang majoritinya MUSLIM dan pemimpin dan pengarah nya MUSLIM.

Aku ada beberapa persoalan yang aku harap sangat dapat dijawab mengapa situasi ni terus berlaku?

Kalau aku ada salah faham, tolong perjelaskan dekat aku dan guru-guru agama yang lain. Jujur, aku antara graduan yang sudah tawar hati untuk berkhidmat demi anak bangsa dan agama. Kenapa ye?

Kenapa guru agama (KAF*) dan guru (KPM) seperti dianaktirikan dari dulu lagi? Baik dari segi gaji, imbuhan, dll kelebihan di ‘masa hadapan’ andai perform dengan cemerlang di tempat kerja.

Untuk pengetahuan semua, (mungkin ada yang belum tahu), gaji guru KAF* walaupun kita sudah di tahun 2024, RM 1050 (belum ditolak KWSP).

Ada kadar kenaikan sebanyak RM50, selepas kerajaan Harapan naik. Alhamdulillah. Bersyukurlah juga walaupun angkanya tak seberapa.

Aku antara generasi muda yang tak gembira dengan keadaan ni. Jiwa aku rasa memberontak nak marah pada pihak-pihak yang berkepentingan yang ada dalam institusi agama.

Tapi aku tak ada saluran untuk hamburkan rasa marah dan kecewa aku.

Dan aku yakin bukan aku je rasa macam ni, ramai lagi di luar sana yang ingin lantang bersuara tapi tersekat. Takut dikenakan tindakan tatatertib, dan dibuang kerja.

Berbalik pada persoalan di atas, kenapa guru KPM dan guru KAF* dianaktirikan ye?

Adakah dengan alasan masa mengajar yang berbeza?

KPM 5 hari : 5-6 jam

KAF* 3 hari : 3 jam

Boleh kalau disistemkan untuk KAF* mengajar 5 hari, isnin hingga jumaat, kenapa tak buat begitu? Purata jam pula, kalau memadai 3 jam, cukuplah.

Bukanlah minta aras gajinya sama seperti guru KPM, faham jumlah masa mengajar dan bebanan guru kpm lebih tinggi dari guru kafa. Tapi, reasonable la sedikit dalam meletakkan gaji minima.

Dan kenapa jurang pendapatan antara guru KPM vs KAF* amat besar? 3-4,5 kali ganda perbezaannya.

Kami juga pendidik, tugas dan amanahnya juga mendidik anak bangsa, dibebankan juga dengan tugas-tugas kelas peperiksaan yang Tuhan sahaja tahu betapa penatnya siang dan malam,

Perlu turut serta juga program-program sekolah yang dirancang walaupun di hari cuti atau hujung minggu, dan diganggu juga dengan Whatsapp bertalu-talu dari parents walaupun sedang cuti.

Kami tetap juga perlu keluarkan duit dari poket sendiri untuk alat bantu mengajar, print fotostat latihan murid atau hal-hal lain berkaitan kebajikan murid.

Kadang ada murid yang kurang berkemampuan, guru takkan sampai hati biarkan walaupun diri sendiri kekurangan.

Kadang teringin nak bantu, tapi guru agama pun terpaksa mengais rezeki. Faham tak perasaan kecewanya tu bagaimana?

Rasa putus asanya bagaimana bila parents mengadu anaknya tak ada duit belanja ke sekolah tapi kau sebagai guru tak mampu nak tolong even hanya sedikit wang saku? Pedih beb, pedih. Rasa useless pun ada.

Satu benda yang hard pain truth, bila orang expect jadi cikgu, gaji besar. Itu hanya pada cikgu KPM. Bukan guru KAF*, yang bahkan tak ada slip gaji dan tak ada kelayakan langsung untuk buat loan kereta. Sedih kan?

Hakikatnya begitulah. Tapi ada untung juga di situ, sekurang-kurangnya terselamatlah dari riba’.

Lagi satu, orang selalu ingat, gaji cikgu besar. Tapi, korang nampak tak di sebalik tekanan dan bebanan harian guru?

Belum diuji dengan kerenah anak murid dan kerenah parents yang macam-macam ragam. Nak tidur pun kadang tak senang tau. Dan tahu tak ke mana aliran pendapatan tu pergi?

Bila Cikgu Ayu bagitahu, beliau spend RM10,000 untuk prasarana dan cantikkan kawasan sekolah guna duit sendiri, aku tak terkejut. Sebab guru rata-rata berjiwa begitu.

Orang yang berjiwa pendidik sanggup menghabiskan duit dan masa untuk beri khidmat dan pendidikan yang terbaik untuk anak bangsa. Mereka memang dilahirkan untuk ada semangat berkorban.

Berbalik pada isu gaji, fyi guru KAF* level SPM atau ijazah tetap dibayar sama. Tiada beza.

Bayangkan ada yang belajar di Mesir bertahun-tahun, balik Malaysia mengajar dan mendidik anak bangsa dengan harapan ilmu yang ada dapat jadi mata rantai perjuangan Rasulullah, dapat menjadi investment untuk pahala jariah di alam sana. Niat jangan dipersoalkanlah.

Tapi wajar ke guru-guru agama dilayan seperti ini. Apa kalian tidak punya anak untuk dididik dengan kualiti pendidikan yang terbaikkah? Apakah sama kualiti pengajaran level pendidikan SPM dengan yang mempunyai ijazah?

Kadang tak tahu nak rasa apa. Nak sedih ke nak gelak. Guru baru dan guru berpengalaman lama yang bertahun-tahun pun masih dibayar sama. Tak ada beza. Aku pun tak tahu sebesar apa level sabar mereka bertahun-tahun di takuk gaji yang sama.

Yang pulun mengajar untuk kelas-kelas peperiksaan tak kurang hebatnya. Jika guru KPM yang berjaya mendidik anak murid hingga cemerlang rata-rata, akan dapat title guru cemerlang. Dapat title begitu, maka meningkatlah aras gaji,

Tapi jika guru KAF* berhempas pulas untuk tingkatkan gred sekolah, walaupun cemerlang bagaimanalah peratusannya, tetaplah ia di situ meneruskan tugas dan tanggungjawabnya dengan ikhlas. Tanpa boleh mengharap apa-apa melainkan pahala.

Tiada kenaikan pangkat mahupun gaji seperti guru KPM yang lain. Hanya bermodalkan ikhlas dan pahala. Bukan mahu cemburu jauh sekali mendengki, tapi jelas dalam pendidikan juga ada kepincangannya.

Bagaimana mahu mengharap generasi akan datang terbina dengan baiknya jika pucuknya tetap dicantas. Walaupun guru agama, mereka tetap manusia, perlukan dorongan dan motivasi dalam bekerja. Salah satu bentuknya melalui anugerah dan pencapaian.

Janganlah dinafikan kemahuan dan kehendak seorang manusia yang masih perlukan pencapaian kendiri untuk terus buat yang terbaik.

Takkanlah kerana kami guru agama yang perlu ikhlas dan berkorban dalam semua perkara, kami terus dinafikan hak dan kepentingan?

Selama ni aku pandang tinggi dengan kerjaya perguruan. Aku sangat menghormati dan menghargai bidang tugas mereka dalam mendidik anak bangsa.

Tapi, bila aku masuk dalam realiti yang sebenar, sungguh jauh panggang dari api. Macam biasa, kami diretorikkan dengan pemikiran, “guru agama, perlu ikhlas berkorban demi agama”. Sumpah aku meluat sangat bila orang guna ayat sebegini.

Selalu-selalulah gula-gulakan kami dengan dalil agama, buat sampai kami rasa futur (putus asa) untuk meneruskan tanggungjawab menyebarkan ilmu fardu ain, buatkan sampai semua rakyat berdosa kerana tak ada generasi yang sanggup untuk pikul tanggungjawab ini lagi.

Buatkan anak-anak kalian rasa menyesal belajar bertahun-tahun menuntut ilmu agama dengan susah payah di negara orang, tapi akhirnya mengemis di negara sendiri. Kalian tanggung dan jawablah sendiri di akhirat kelak. Amanah apa yang kalian telah abaikan.

Pesanan ini khas untuk orang-orang yang diamanahkan untuk berada di tampuk kepimpinan, yang sedang duduk di atas kerusi empuk institusi agama dan dibayar gaji belasan ribu ringgit sebulan. Bukan semua. Ya, bukan semua yang peduli.

Hanya segelintir sahaja yang ulang alik, turun naik pejabat untuk bela nasib guru agama. Itupun bekas guru agama. Yang di jabatan? Yang tidak pernah mendidik dan hanya tahu menetapkan KPI sempurna yang perlu dicapai?

Wallahi, aku masih hormat institusi agama, aku hormat bidang kuasa yang mereka ada, cuma aku rasa hilang rasa cinta dan percaya untuk berkhidmat kepada institusi yang banyak menggunakan dalil agama untuk menutup kelemahan sistem pengurusan yang ada.

Dan saat ini aku amat ‘berterima kasih’ kepada pihak jabatan atas tadbir urus yang sangat ‘cemerlang, gemilang dan terbilang’ yang hanya ada pada nama dalam majalah tahunan.

Realitinya, bila kita buat satu kesalahan, kita boleh dijentik keluar serta-merta. Tapi mereka (yang berada dalam sistem) langsung tak boleh dijentik.

Buktinya, jabatan mereka tak boleh dikritik secara terang-terangan walaupun ingin mengungkapkan realiti dan kebenaran. Entah mana hilang hak bersuara seorang rakyat marhaen.

Sebenarnya, ada banyak perkara lagi yang tak terluah. Tapi biarlah setakat ini sahaja.

Walaupun aku tahu MUSTAHIL akan ada perubahan untuk membela nasib guru agama, sekurang-kurangnya masyarakat tahu bagaimana bobroknya institusi agama menempatkan guru agama bagaimana.

Buat ibubapa, tak perlulah kalian menghantar anak-anak kalian belajar agama dengan bayaran yang mahal, dan menuntut mereka menjadi golongan ustaz/ustazah di negara sendiri.

Belajar untuk kepentingan akhirat tak mengapa, tapi jangan expect anak-anak yang menjadi ustaz-ustazah ni dapat menjadi investment dunia bila kalian tua kelak. Percayalah, kedua-duanya kecewa nanti.

Si ibu bapa mengharapkan anak membalas jasa orang tua, si anak pula kecewa tidak dapat memenuhi harapan orang tua. Begitulah sampai ke akhirnya.

Terus biarkan kami penat untuk buat kerja agama, terus abaikan hak dan kebajikan kami untuk mendapatkan kehidupan dan hak fasiliti yang lebih baik. Biarkan dan terus biarkan.

Yang sudah tawar hati,
Bekas guru agama
Generasi Y

– Na o’mei (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *