It’s Okay Untuk Bercerai

Assalamualaikum. Aku seorang anak yang pernah trauma dengan bapak sendiri. Badanku penuh luka dan parut lama akibat sikap bapak yang panas baran.

Sewaktu aku kecil, aku sering menjadi tempat lepas geram bapak aku. Getah paip, batang penyapu, hanger, apa saja… Semuanya pernah hinggap di badan aku..

Kadang-kadang kesalahan kecil je, tapi badan aku dulu yang akan jadi tempat melampiaskan amarah.

Aku pernah bertanya kepada ibuku. Kenapa ibu masih bertahan dengan bapak? Kenapa ibu tidak bercerai sahaja dengan bapak?

Itu soalan yang aku pernah tanya ketika aku berusia 8 tahun. Usia masih muda, tapi aku sendiri sudah terseksa hidup bersama bapak seorang kaki pukul.

Ibuku menjawab, “Kalau bercerai.. Nanti apa orang kata..”

Ibu terlalu memikirkan kata-kata orang. Ibu tak sanggup bergelar janda muda. Ibu tak sanggup jadi buah mulut orang.

Tapi ibu lebih rela anak dilibas hampir setiap hari. Ibu selfish! Ibu hanya pentingkan diri sendiri! Ibu tidak pernah kesiankan kami anak-anak yang didera setiap hari.

Tapi sebenarnya, ibu takut diceraikan kerana ibu tidak ada apa-apa. Ibu tidak bekerja dan tiada harta.

Bapak pula tak pernah beri duit nafkah kepada ibu. Bapak cuma belikan barang dapur untuk ibu masak. Ya bapak pun kerja kampung.

Hidup kami sangat susah. Disebabkan kesusahan itulah, ibu dan bapak hampir setiap hari bertekak pasal duit dan pasal kesusahan hidup kami.

Penatnya jadi miskin. Bayangkan, aku membesar dalam suasana setiap hari ibu dan bapak bergaduh.

Kadang-kadang ada sahaja aku dengar ibu minta cerai semasa bergaduh. Tapi bapak cakap, bapak takkan lepaskan ibuku.

Kesan daripada membesar dalam keluarga begitu, emosi kami adik-beradik terjejas teruk. Emosi kami sangat rapuh. Self esteem jadi down sangat. Tubuh kami penuh dengan parut luka.

Kami sering berlengan panjang dan berseluar panjang walaupun di dalam rumah. Kami malu dengan parut-parut hasil libasan bapak.

Karakter kami semuanya pendiam. Kami jadi mudah panik dan paranoid. Semuanya cepat mental breakdown. Asbab trauma lama. Kesannya sangat sukar nak dipulihkan.

Sekarang usia kami pun sudah dewasa. Bapak masih sama, belum berubah. Barannya tetap sama sehingga ke tua. Cuma sudah tidak merotan sahaja.

Tetapi kalau ke tempat orang ramai, bapak masih dengan perangai lama, mengherdik ibu di khalayak ramai.

Ibu terlama sikit membeli di pasar, terus bapak maki ibu dengan suara halilintarnya. Malunya ya Allah semua orang tengok. Benar bapak tidak berubah. Manusia tidak mudah berubah.

Di usia dewasa ini, aku pernah katakan kepada ibu.

“Ibu, tidak salah pun untuk bercerai. Memang Allah hadirkan pilihan cerai itu untuk orang teraniaya macam ibu.

Ibu tak perlu takut pun kalau kami tidak berbapa. Tidak berbapa lebih bahagia daripada hidup berbapa yang kaki pukul.

Kalaulah ibu bercerai dulu, sudah tentu hidup kita akan jadi lebih baik. Kalau ibu takut dengan rezeki selepas cerai, Allah pasti akan tolong ibu.

Tapi ibu tengoklah kesannya sekarang. Kami semua jadi begini sebab hidup dengan bapak. Kalaulah ibu bercerai dari dulu.”

Ibu diam sahaja. Ibu pasti kesal. Anak-anaknya semua mental breakdown. Ada antara kami yang pernah mengalami depression dan ada anxiety yang teruk. Kesan itu terlalu berat.

Pesanan aku buat wanita di luar sana. It’s okay untuk bercerai. Status janda itu tidak sedikitpun melemahkanmu.

Jangan asyik fikirkan soal anak. Anak-anak pasti faham mengapa kamu bercerai apabila dewasa kelak.

Jika aku sebagai anak, aku lebih bersyukur ibu bapa bercerai daripada hidup dalam neraka dunia.

Tidak mengapa anak tiada bapa, janji hidup mereka tidak terseksa dan merana dengan bapa durjana.

Tiada yang salah dengan perceraian. Hidup ini try and error. Selagi belum jumpa yang sekufu dan saling melengkapi, it’s okay untuk bercerai.

– Anak (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *