Aku ada terbaca confession Rindu Seorang Ayah dari part I hingga part IV. Ada part aku baca dengan mata berkaca. Bukan sebab aku sedih dengan apa yang jadi pada walid confessor, tapi aku sedih mengenang adakah suami ku akan menerima nasib yang sama seperti walid confessor.
Boleh baca confession berkenaan di sini,
Untuk part I, (https://iiumc.com/rindu-seorang-ayah/).
Untuk part II, (https://iiumc.com/rindu-seorang-ayah-ii/).
Untuk part III, (https://iiumc.com/rindu-seorang-ayah-iii/).
Untuk part IV, (https://iiumc.com/rindu-seorang-ayah-2/).
Ini kisah aku. Cerita dari sisi seorang isteri dan ibu kepada dua anak lelaki yang ditinggal dan digantung tak bertali oleh seorang suami sejak 4 tahun yang lalu. Puncanya kerana seorang perempuan lain memadu kasih dengan suami aku hingga suami ku berubah 360 darjah.
Suami ku berpindah keluar dari rumah saat konflik melanda dan tempat tinggalnya sekarang jaraknya dengan kediaman aku dan anak-anak lebih kurang 1.5 km sahaja. Perjalanan aku menghantar anak-anak ke sekolah setiap hari akan melalui kawasan tempat kerja dan kediaman suami aku.
Tapi percaya tak kalian, sudah hampir setahun dia tak datang melihat anak-anaknya. Dan sudah 3 bulan dia tidak lagi bertanya khabar anak-anaknya melalui whatsapp. Panggilan telefon? Sudah 4 tahun aku tidak pernah menerima panggilan telefon darinya.
Ya, aku masih isterinya dan nafkah masih lagi dibayar melalui akaun bank aku. Tak pasti sama ada dia masih fikir tanggungjawab atau dia takut aku bertindak jauh ke pihak atasan memandangkan aku pernah membuat tindakan ke peringkat tertinggi di kementeriannya sehingga dia dikenakan tindakan.
Dia mengabaikan aku dan aku tidak pernah peduli kerana jiwa aku sudah tidak punya apa-apa rasa setelah dikhianati berulang kali. Hubungan kami hanya di atas kertas dan aku punya alasan tersendiri kenapa masih bertahan hingga ke hari ini.
Tapi yang menjadi masalah bila melibatkan anak-anak. Bagaimana hati dan jiwa mereka. Sakit demam, makan atau minum, barang keperluan sekolah, perkembangan pelajaran anak-anak langsung tidak pernah dipedulikan oleh bapa mereka. Peruntukan raya untuk anak-anak jugak, aku yang perlu menagih baru hendak diberi.
Pada keluarganya dicanang dan difitnahnya aku yang tidak membenarkan dia bertemu dengan anak-anak, aku yang mengusirnya keluar dari rumah. Hakikatnya Allah lebih tahu kebenarannya. Aku percaya setiap fitnah itu akan dihisab sebaik-baiknya oleh Allah.
Bila aku baca confession Rindu Seorang Ayah, aku harap confessor selidik betul-betul cerita sebenar. Mungkin ada benar, mungkin ada salah. Setiap kali aku baca kisah orang-orang tua yang ditinggalkan dan diabaikan anak-anak, aku terfikir apa yang mereka lakukan di masa lalu pada anak-anak.
Kadang-kadang punca anak-anak tidak mempedulikan mereka adalah disebabkan kesilapan mereka di masa lalu. Masa kecil anak-anak sepatutnya meninggalkan memori yang indah-indah dalam hidup berkeluarga. Tapi jika sedari anak-anak kecil mereka diabaikan, tidak dipedulikan, jangan salahkan mereka bila di masa tua kita menerima nasib yang sama.
Kepada suami ku dan saudara-saudara suami ku yang menyalahkan aku atas fitnah yang dibuat oleh suami ku sendiri, jika kalian membaca confession ini dan merasakan segala kandungan seakan sama seperti kisah hidup kalian, satu hal saja aku mahu bicara. Dunia ni berputar. Sampai masa akan berbalik semula pada kalian. Kalian juga ada anak-anak.
Tolong ingat semula kisah aku ini jika 10, 20 tahun akan datang, kalian atau anak-anak perempuan kalian lalui apa yang aku hadapi kini. Aku bersyukur, kedua-dua anak ku lelaki. Andai ditakdirkan ayahnya menghilangkan diri, tiada isu untuk mencari wali di kemudian hari.
Jika ayahnya memilih untuk tidak mempedulikan, bukan tugas aku untuk merapatkan mereka. Hati aku sudah cukup terluka. Aku tidak sekali-kali akan memburukkan suamiku dihadapan anak-anak. Biarlah anak-anak aku sendiri yang belajar menerima keadaan dan ujian hidup ini.
Aku bukan berniat untuk mendoakan yang tidak baik pada sesiapa. Tapi ini ekspresi orang yang kecewa. Percayalah, setiap apa yang kita lakukan hari ini, akan ada balasan kemudian hari.
Seperti sebaris kata satu confession yang pernah aku baca dulu, biarlah seseorang itu mendapatkan hukuman di dunia lagi. Sebab jika mendapat balasan di akhirat, ternyata azab dan siksaannya lebih pedih lagi. Dan itu yang aku harapkan berlaku pada suami ku.
Moga dia mendapat pengajaran semasa di dunia. Supaya bila aku lihat balasan yang dia terima, aku akan lebih ikhlas memaafkan dia atas apa yang dia lakukan pada aku dan anak-anak..
– Wanie (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit