Jangan Terjebak Dengan Suami Orang

. Tolong jangan sekali-kali jatuh dalam perangkap suami orang. Ya, suami orang yang awak kenal tu bukan ada niat jahat, dia betul-betul ikhlas dengan awak.

Assalamualaikum. Hai readers. Saya salah seorang pengikut setia page IIUM Confession ni. Silent reader je. Saja-saja nak try menulis. Mana tahu admin approve.

Berkaitan dengan tajuk, baru-baru ni viral isu penyanyi negara seberang yang kantoi lebih 2 tahun bercinta dengan suami orang kan?

Rasanya semua orang tahu. Saya juga pernah jadi salah seorang perempuan macam tu. Dulu. Alhamdulillah tak seteruk kes lain yang sampai bercerai berai yang mana saya sendiri pun tak pernah berniat nak berkahwin dengan suami orang tu.

Saya cuma terleka dan terpujuk dengan pujuk rayu dan mulut manis dia. Salah saya sendiri, sampai sekarang masih ada sisa baki rasa bersalah dan menyesal sebab dah lukakan hati wanita lain.

Sebab tu, di sini saya nak senaraikan kenapa wanita-wanita di luar sana tak kira lah awak bujang ke, janda ke, isteri orang (minta jauh) sekali pun, JANGAN SEKALI-KALI TERJEBAK DENGAN SUAMI ORANG. Tak kiralah suami orang tu baik sebaik-baik malaikat dengan awak.

Ini sebab kenapa:

1. Suami orang ni, bila dia dah jatuh cinta dan angau dengan awak, dia akan jadi gila dan buta. Dia sanggup buat apa saja untuk awak. Yang mana tengah hangat bercinta dengan suami orang tu, betul tak?

Dalam kepala otak dia fikir, inilah cinta yang dia cari-cari selama ni. Dah tak ingat langsung dah dekat orang rumah dia yang susah senang bersama dia.

TAPI, suatu hari bila isteri dapat tahu, keluarga dapat tahu, keluarga mertua dapat tahu, kena panggil mengadap, kena serang dari setiap arah, dia dah tak ada masa nak fikir awak lagi dah.

Dia akan serabut. Nak kahwin dua? Kalau suami orang yang awak tengah dating tu datuk/tan sri tak apalah. Kalau bukan, hentikan jela. Soalan isteri dia senang saja, mampu ke nak kahwin dua? Dah tamat dah riwayat dia kat situ.

2. Tolong jangan sekali-kali jatuh dalam perangkap suami orang. Ya, suami orang yang awak kenal tu bukan ada niat jahat, dia betul-betul ikhlas dengan awak. Kepala hek awak.

Tolong sedar. Tak ada cinta yang ikhlas dengan hak orang lain. Dalam kes saya, saya tak pernah hatta ada niat langsung nak kacau suami orang.

Tapi dah dijadikan takdir ujian untuk saya, dikejar dan dimengurat dan ya saya khilaf dan bodoh masa tu. Saya jatuh suka dengan suami orang.

Segala perbuatan spontan dia, ambil berat dia terhadap saya, sangat berbeza dengan orang lain yang saya pernah kenal.

Hanya orang yang pernah merasa je tahu betapa bahaya dan dahsyatnya pujuk rayu suami orang ni ya. Mereka tahu macam mana nak buat perempuan lembut hati.

Mungkin perasaaan mereka sebenarnya memang sejujurnya dari hati, tapi hakikatnya pada masa tu, akal fikiran mereka dah dikuasai oleh perasaan. Dah tak ada pertimbangan.

Itu sebabnya mereka sanggup buat apa saja untuk dapatkan awak. Sedangkan perkara tu salah. Percayalah, bila semuanya dah selesai, awak akan ingat balik dan menyesal dengan kebodohan awak.

3. Suami orang dan orang bujang sangat2 berbeza. Suami orang ni mereka ada pasangan, pasangan tu adalah komitmen seumur hidup mereka, ada anak-anak dan itu adalah pengikat hubungan mereka sampai mati.

Bukan semudah itu awak nak masuk dalam kehidupan orang lain. Kalau awak berniat nak jadi bini nombor dua lah.

Dalam kes saya, memang tak pernah terlintas langsung saya nak berkahwin jadi isteri nombor dua, mahupun nak mereka bercerai dan berkahwin dengan dia. Tiada. Boleh kena halau dari rumah nanti.

Saya hanya terjebak dan sekali dah terjebak dengan ‘cinta tak guna’ tu, susah awak nak keluar atau patah balik.

Susah sangat. Lagi2 bila suami orang tu jenis suka merayu dan bersungguh. Beribu kali saya block dan maki dia pun, dia masih tetap boleh cari saya balik. Psycho pun ada.

4. Sekali awak dah buat kesalahan tu, sampai selamanya awak akan ingat. Dan itu sangat sangat sangat lah tidak menyenangkan.

Dalam kes saya, kes kami selesai dalam keadaan yang kurang menyenangkan. Pada mulanya, isteri dia berlembut hati dan cakap dia boleh maafkan saya.

Tapi lama kelamaan dia berubah dan mula cerita kat public seolah saya yang pujuk rayu suami dia. Nak nampakkan suami tu tak bersalah.

Saya diam je, lama2 dah hilang macam tu je. Salah sendiri kan, tak guna nak tegakkan benang yang basah. Saya tanggung je semua akibatnya. Dengan harapan Tuhan ampunkan dosa saya.

5. Suami orang yang pernah saya jatuh cinta tu, sekarang dah jadi orang yang paling saya benci. Sangat2 menyesal saya rasa sebab pernah ada hubungan dengan dia dulu. Saya selalu tanya lebih kurang “kenapa lah aku bodoh sangat dulu?”.

Selama hidup saya tak pernah bermusuh dan membenci sesiapa tapi disebabkan kebodohan sendiri, ada masam muka. Tak best sangat rasa dia. Sebab tu tolong jauhi suami orang bermulut manis ni.

Kisah saya ni dah jadi 4 tahun lepas. Suami orang tu? Masih cuba contact saya setahun dua lepas tu. Konon nak bertanya khabar dan sebagainya. Bila dah dimaki rupanya masih tak boleh nak lupakan saya dan masih tak boleh redha dengan kehidupan dia sekarang.

Sekadar jalankan tanggungjawab sebagai suami. Banyak kali saya geram nak hebohkan pada bini dia, tapi tahankan. Tak nak bini dia terluka lagi.

Saya teruskan maki dan maki dia sampai lah akhirnya dia betul2 diam dan berhenti menyemakkan hidup saya. Alhamdulillah dapat tepis. Harap dia akhirnya sedar dan hargainya isteri dia.

Harap benda ni jadi pengajaran untuk awak, awak, dan awak. Jangan terjebak. Ramai lagi orang bujang. Biarlah dia lelaki terbaik awak pernah jumpa pun, dia tetap lelaki tak guna bila dia mula menggatal dengan awak.

That’s it. Jangan menyesal macam saya. Terima kasih.

– Rafflesia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit