Jiwa Kacau Opot

Bismillahirahmanirrahim, aku perlukan satu tempat untuk meluahkan apa yang terbuku dalam hati, maka di sini lah tempatnya

Tahun 2017 adalah bukan tahun yang paling enak bagi aku. Aku tak mahu cerita tentang apa yang terjadi tapi apa yang aku rasa sepanjang tahun ni dan tahun-tahun sebelumnya. Aku sendiri dapat rasa yang aku sebenarnya dah jauh sangat dari jalan yang sepatutnya. Sebelum tu maaf kalau cerita aku ni buat awak semua pening sebab dah lama tidak menulis

Aku tak tahu nak mula dari mana. Aku sebenarnya dah lama tak solat. Aku tinggalkan tanpa rasa bersalah. Aku selalu kurang ajar dengan ibubapa aku. Aku selalu mencarut dengan benda yang bukan-bukan, walhal aku sebenarnya seorang perempuan. Aku dapat rasa aku sebenarnya ni ego dan keras hati

Tapi sebenarnya dalam masa yang sama, even aku tak bersolat pun tapi kalau ada kawan-kawan aku nak bersolat, aku selalu cakap “pergi solat dulu” Malah aku sanggup tunggu mereka habis solat dulu. Kalau ada orang mengadu ada masalah, aku selalu cakap “berdoalah dan bersembahyanglah” tapi aku sendiri tak buat. Aku selalu rasa marah kalau orang lain kurang ajar dengan ibubapa mereka tapi aku sendiri selalu buat dengan ibubapa aku. Aku selalu rasa ego dan keras hati tapi bila orang minta sedekah, aku hulurkan. Bila aku tengok orang tua yang sakit atau melintas jalan seorang diri atau duduk seorang diri di shopping mall, aku tersentuh hati dan rasa kesian. Kalau aku tengok budak-budak menangis, aku pun turut rasa sedih. Kalau orang minta tolong, aku susah nak cakap tidak kalau aku tahu aku boleh tolong setakat mana yang aku mampu.

Semua perasan ini buat aku rasa aku ni seorang yang hipokrit. Aku selalu suruh orang lain buat baik, berkasihan dengan orang lain tapi dengan diri sendiri aku tak pernah nak buat macam tue. Aku tahu aku bersalah dan tak patut aku jadi macam ni. Orang selalu ingat aku ni baik tapi sebenarnya aku jauh sangat dari baik. Kalaulah orang tahu aku ni seorang yang macam mana, mesti seorang pun tak nak kenal dengan aku.

Cuma sejak kebelakangan ini, aku terfikir sampai bila nak jadi macam ni. Aku tak nak pun. Aku nak berubah. Aku nak ubahkan diri aku jadi lebih baik. Bila aku tengok muka ibubapa aku time diorang makan dekat kedai, aku jadi sebak sangat-sangat sebab aku sendiri tak tahu macam mana aku nak hidup tanpa mereka berdua nanti? Bila aku tengok orang sembahyang, aku terfikir sampai bila aku nak hidup dengan macam nie? Kenapa aku tak boleh sembahyang dan ikut perintah Allah? Kenapa aku tak boleh nak istiqamah? Orang di sekeliling aku semuanya dah berubah ; dah berkahwin, solat cukup waktu, dah ada anak tapi aku masih lagi dengan dunia aku yang penuh dengan keduniaan semata-mata. Sampai bila aku nak jadi macam nie sedangkan usia aku dah meningkat tinggi?

Aku malu dengan diri aku sendiri. Aku dah tipu dengan diri aku, aku hipokrit. Aku suruh orang lain buat baik tapi diri sendiri pun jahil. Aku malu. Aku nak rasa kemanisan iman tu, aku nak berbakti dengan ibubapa aku dulu. Aku nak ada kerjaya dan kewangan yang stabil supaya dapat gembirakan ibubapa aku. Aku nak tolong orang susah, nak gembirakan orang lain. Aku nak solat cukup 5 waktu. Aku dah tak nak mencarut, cakap benda yang bukan-bukan. Aku nak berkahwin, ada pasangan dan bina rumahtangga, ada teman untuk lalui susah senang. Aku nak bersihkan hati aku.

Maka, kepada yang membaca ni ; bantulah aku. Tolong aku dan bagitahu aku apa yang perlu aku buat. Aku sendiri keliru dan buntu sebab aku tak tahu nak mula dari mana. Kadang-kadang dah separuh jalan buat tapi lepas tu, kembali kepada perangai yang lama. Kadang-kadang adakah aku ni tak cukup kasih sayang dan perhatian sampaikan jadi macam ni? Sebab aku tak pernah rasa disayangi. Aku selalu bagi kasih sayang aku pada orang lain sehingga aku terlupa nak sayang dengan diri aku sendiri. Aku selalu rasa orang perlukan aku ketika mereka susah sahaja. Kadang-kadang aku buat hal sendiri je ; makan, karaoke, tengok wayang, bowling pun seorang diri je atas sebab yang aku sendiri tak tahu. Aku rasa macam aku sekarang di peringkat just go with the flow, apa nak jadi, jadilah. Malas nak fikir tanpa ada usaha untuk aku push diri aku. Kenapa aku jadi macam ni?

Tolong aku. Aku nak berubah. Aku tak nak jadi macam ni lagi.

– Opot

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit