Kandung Yang Ditirikan II

Untuk part I, (https://iiumc.com/kandung-yang-ditirikan/).

Assalamualaikum. Allahuakbar. Maha Suci Allah. Runtun hati aku bila dapat semangat dan doa tulus dari pembaca. Seumur hidup, aku tak pernah dapat titipan kekuatan sebegitu hebat. Maha Besar Allah yang tak pernah biarkan aku sendirian.

Alhamdulillah, sekarang aku bekerja di taska. 45 minit dari rumah aku. Tak la jauh tapi cukup untuk aku tenang sekejap. Malam sebelum aku nekad keluar rumah, aku solat hajat mintak perlindungan Allah sepanjang perjalanan aku. Separuh jalan aku keluar rumah, aku dapat panggilan dari satu taska mintak aku masuk kerja esoknya. Staff berhenti mengejut katanya.

Aku mintak jasa baik dia nak datang taska haritu jugak. Nak stay terus. Aku bagi alasan takde orang nak hantar esok pagi. Dia okay je. Memang taska tu ada sediakan tempat tinggal, sebab tu aku mintak kerja kt situ. Dari dulu lagi memang kalau boleh aku nak keluar sekejap dari rumah tu. Ikutkan perancangan dulu, hujung minggu je aku nak balik. Sekarang, entah bila aku nak balik.

Dan ya, aku berjalan kaki ke taska tu. Sebab aku tak pandai naik bas. Abang mama tak peduli aku keluar, sebab diorang ingat aku pergi kerja. Aku nekad atas dorongan semangat pembaca semua.

Lagi 10 minit nak sampai, ada sorang kakak naik kancil beriya2 nak tumpangkan aku. Dia kata panas, bahaya. Puas aku tolak, tapi dia nampak ikhlas. Alhamdulillah, dia hantar aku betul2 depan taska. Moga Allah payungi kakak dengan rahmat.

Walaupun awalnya aku berbelah bahagi nak kerja sini sebab abang pernah hantar aku temuduga kt sini, tapi aku andaikan ini satu rahmat Allah yang nak lindungi aku lepas aku pohon sungguh2. Aku cuma berharap mama dan abang takkan ingat tentang taska ni. 19/9, hari kedua aku bekerja. Aku seronok dengan anak2 kt sini. Aku sayang diorang.

Kasih sayang yang mama tak pernah bagi kat aku, aku bagi kat diorang sebab mak ayah diorang sibuk cari rezeki. Aku puas, tapi aku rindukan mama. Sesekali rasa nak balik jenguk keadaan mama tu membuak2.

Ya, aku tetap sayangkan mama aku sangat. Walau macam2 mama buat, aku tetap sayang mama. Sampai sekarang takde yang bertanya pasal aku. Mungkin baba ada bertanya pada mama, tapi entah apa la jawapan mama.

Ada pembaca yang tanya pasal baba dan abang2 aku yang lain. Baba aku memang jenis yang malas nak bertekak dengan mama.

Pernah sekali masa UPSR baba paksa aku bersiap untuk pergi kelas tambahan di sekolah, dan mama jerit, “saya kata tak payah, tak payah!”. Akhirnya aku yang bagitau baba aku taknak pergi. Taknak mama makin benci aku. Masa tu aku nekad, keputusan aku elok nanti mesti mama suka. Tapi tak pun.

Sejak tu, baba dah malas nak bergaduh dengan mama. Baba diam je bila mama marah2. Lagipun baba seorang yang kuat bekerja. Keluar subuh balik larut malam. Dari aku kecil sampai besar. Jadi aku tak rapat dengan sesiapa pun. Dalam sebulan, baba nak cuti sehari pun susah. Hari bertemu ibubapa di sekolah mama taknak pergi, jadi kad laporan aku bawak balik dan baba tandatangan.

Abang aku yang sulung dan kedua pun tak ambik tahu sangat pasal aku. Jarak umur kami jauh. Aku dengan abang ketiga pun jarak 5 tahun. Abang sulung dan kedua dari zaman sekolah lagi suka lepak tidur rumah kawan, subuh baru balik, jarang ada kat rumah.

Dan diorang jarang buli aku. Bila aku tak masak, diorang setakat kutuk aku pemalas je. Tapi abang ketiga yang suka mengadu dan dengkikan aku. Rambut aku panjang pun dia dengki. Suruh mama potong pendek macam lelaki.

Ada jugak yang kata cerita aku macam rekaan, macam novel. Mungkin gaya penulisan aku macam novel, sebab aku memang suka baca buku sastera. Zaman sekolah, waktu rehat aku selalu habis kat perpustakaan, baca buku sastera. Nak pinjam bawak balik tak boleh, nanti mama koyakkan. Kata mama, sebab baca buku, kerja rumah tak siap. Jadi aku baca kat sekolah je.

Kisah hidup aku bukan rekaan. Takde kepentingan untuk aku reka. Dan aku tak pernah rasa hidup aku lah yang paling teruk kt dunia. Sebab cikgu aku selalu kata, bila kita susah, ada yang lagi susah dari kita. Aku pernah baca confession yang dia kena dera dengan nenek dan mak saudara dia. Allahuakbar, sedih sangat. Masa tu aku bersyukur hidup aku belum seteruk tu.

Akhir sekali, aku nak ucapkan berbanyak terima kasih atas doa dan semangat dari pembaca semua. Aku harap korang sudi untuk terus doakan aku. Doakan aku terus kuat. Doakan aku redha dengan perjalanan hidup aku. Perjalanan yang baru bermula.

Pada hamba2 Allah yang berhati mulia nak hulurkan bantuan untuk aku, aku terharu sangat2. Moga Allah balas niat baik kalian dengan seribu kebaikan. InsyaaAllah, aku baik2 disini. Tak kering air mata aku baca setiap komen dari semua. Tak pernah aku rasa macam tu. Terima kasih yang tak terhingga juga pada admin. Kerana setiap semangat dari kalian, aku yakin untuk melangkah.

Pada yang sedang diuji, aku doakan kalian tetap tabah dan teguh pada janji Allah. Allah takkan uji hambaNya melebihi batas kemampuan. Allah tak zalim. Aku percaya kasih sayang dan rahmat Allah mengatasi segala kekejaman didunia ni. Moga Allah berikan keberkatan dalam hidup anda semua.

Salam sayang,

– Nur (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *