Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Pertama sekali terima kasih kepada admin jika tulisan ini disiarkan.
Saya kenalkan diri sebagai N. Saya seorang suri rumah sepenuh masa dan pedagang saham separuh masa. Tanpa berlengah, kisah saya bermula dengan satu kesulitan melibatkan wang pada pertengahan bulan Ogos yang lalu.
Saya telah melabur pada tempat atau kaunter yang salah memandangkan saya masih baru dalam pelaburan saham. Ilmu masih cetek di dada, namun lautan dalam ingin diredah.
Saham kaunter yang dipilih itu terus jatuh dan tak ada tanda-tanda akan naik semula. Saya sangat-sangat risau dan rasa bersalah pada suami memandangkan wang yang dilabur adalah duit simpanannya.
Duit yang hampir 50k adalah tabungan untuk kami memiliki rumah sendiri. Sekarang kami masih menyewa.
Tak ada apa yang boleh dilakukan. Nak cut loss, nilai kerugian sudah melebihi 5 angka. Saya cuma dapat berdoa.
Kebetulan saya ternampak video mengenai keajaiban dan testimoni selawat di youtube oleh youtuber dari Indonesia. Youtuber tersebut memberi petua untuk amalkan selawat jibril yang sangat pendek iaitu,
صَلَّى اللهُ عَلَى مُحَمَّد
“Shollallohu A’la Muhammad” sebanyak 25 ribu kali sehari untuk masalah-masalah berat terutama yang melibatkan hutang dah kesempitan rezeki.
Sebelum ini saya memang mengamalkan selawat tapi taklah sampai 25k kali. Cuma dalam lingkungan seribu setiap hari. Bermula awal bulan September saya amalkan 10 ribu selawat jibril setiap hari.
Selepas 40 hari saya cuba tambah bilangan selawat kepada 15 ribu atau sekurang kurangnya 13 ribu.
Saya cuba tingkatkan bilangan 20k ke 25k pada hari Jumaat memandangkan selawat akan terus dibentangkan kepada Nabi Muhammad saw, berbeza dengan hari lain yang mana selawat disampaikan oleh malaikat.
Apa yang saya rasa selepas amalkan selawat ini, hati saya semakin tenang. Walaupun modal saya masih lagi sangkut, saya tak lagi rasa gelisah. Saya yakin doa saya untuk dapatkan semula modal akan termakbul juga.
Alhamdulillah selepas lebih 2 bulan mengamalkan selawat ini, sudah ada sinar untuk saya dapatkan semula duit modal tu.
Saya ditemukan dengan orang-orang yang arif mengenai saham dan dapat belajar banyak ilmu yang mahal nilainya secara percuma sahaja.
Walaupun saya mulakan selawat ini untuk kemudahan urusan dunia, saya makin jatuh cinta dengan selawat dan saya harap akan terus istiqomah berselawat hingga ke akhir hayat.
Kalau diulas mengenai kelebihan selawat maka akan panjang lebar la tulisan saya ini. Saya coretkan sedikit hadis mengenai selawat.
“Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” [Riwayat Muslim (384)]
Satu ucapan selawat dibalas Allah dgn 10 kali rahmat, diampunkan 10 dosa dan diangkat 10 darjat. Bayangkan Allah yang berselawat ke atas kita, sudah semestinya apa saja masalah dan kesulitan kita akan dimudahkan Allah.
Daripada Abu Umamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat.
Barangsiapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga).” [Riwayat al-Baihaqi (5995)]
Jadi jom perbanyak selawat mulai hari ini untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.
Kepada pembaca yang sedang mengalami kesulitan terutama ketika pandemik ini, marilah banyakkan selawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad saw. Moga kita semua diberi jalan keluar untuk setiap ujian yang melanda.
– N (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Alhamdulillah