Siapa yang inginkan kegagalan?
Aku tidak inginkan sebuah kegagalan, begitu juga kamu. Namun aku tidak pernah sekali-kali pandang kegagalan itu sebagai sesuatu yang negatif. Kegagalan itu boleh dilihat daripada dua aspek. Aspek positif dan aspek negatif. Terpulanglah kepada kamu, dari segi mana yang kamu ingin lihat. Kalau kita lihat dari aspek positifnya, kita boleh belajar dari kegagalan itu. Apa sebabnya kita gagal? Apakah yang boleh dilakukan supaya kegagalan yang sama tidak berulang? Cuba tanya pada diri kita soalan tersebut. Melalui kegagalan itulah kita boleh menilai diri serta tindakan kita. Kita juga boleh berusaha untuk tidak melakukan perkara yang sama. Seperti sebuah eksperimen, melalui kegagalan, akhirnya keputusan yang dikehendaki dapat diperolehi.
Namun begitu, aspek negatif kegagalan juga sering kita bayangkan. Misalnya, aku gagal dalam peperiksaan, lalu aku mengaku kalah disebabkan aku malas untuk terus berusaha dengan tanggapan mungkin aku akan gagal lagi. Pemikiran seperti ini sangat bahaya. Memikirkan bahawa tiada harapan sekiranya menghadapi kegagalan, boleh merosakkan diri. Menjadikan diri tenggelam dalam khayalan, sering dalam penyesalan, dalam air mata, bahkan yang lebih ekstrim lagi hingga boleh menjadi penagih, sama ada arak atau dadah. Selagi mana diri ini belum menghadap Ilahi, tiada istilah gagal mutlak. Setiap seorang dari kita ada peluang untuk bangkit dari kegagalan.
Gagal yang sebenarnya adalah apabila seseorang itu gagal menyedari yang kegagalannya adalah gagal berusaha untuk keluar dari lembah kegagalan yang terus menenggelami dirinya.
#saladbeku
– Saladbeku