Keliru

Assalamualaikum semua. Ini merupakan kali pertama saya ingin meluahkan segala kekeliruan yang terbuku di hati. Saya sebenarnya akan berkahwin tidak lama lagi, tapi saat ini saya rasa agak keliru.

Orang kata, jodoh tu mudah. Bila semua urusan tu mudah, lancar, itulah jodoh kita. Tapi sebaliknya yang berlaku kepada saya. Saya mengenali pasangan saya sejak menuntut di universiti awam.

Pada awalnya dia seorang yang baik akhlaknya, sangat berbudi bahasa & saya kira agamanya juga cukup tinggi. Ya, saya mula terpikat dengan dia kerana agamanya.

Sepanjang perjalanan hidup saya, saya tidak pernah mengenali dan berkenalan dengan mana-mana lelaki kerana saya sentiasa memegang prinsip & kata-kata umi saya, yang saya perlu utamakan pelajaran. Tidak ada sesuatu pun yang dapat mengubah nasib kita selain pelajaran.

Jadi, dialah lelaki pertama yang saya cintai sepanjang hidup saya.

Kisah cinta kami sering diuji dengan pelbagai ujian, orang ketiga keempat kelima. Namun, kami berjaya atasi semuanya dengan kesabaran. Menerima segalanya dengan hati terbuka.

Saya mudah memaafkan begitu juga dia. Hakikatnya kami saling mencintai. Mungkin dulu kami cuba untuk berpisah, tinggalkan segalanya. Tapi perasaan ini masih terikat. Dia juga cepat mengalah.

Alhamdulillah, sekarang kami sudah bertunang. Banyak dugaan sepanjang 4 thn lebih perkenalan kami. Benar, dugaan ini buat kami lebih kuat untuk berada di fasa pertunangan ini. 3 bulan lagi majlis perkahwinan kami. Kali ini kami diuji lagi, pasangan saya mula mengungkit kisah-kisah lama.

Dia selalu berhubung dengan ibu saya, mengeluh & mereka-reka cerita yang tidak pernah saya lakukan demi kepuasan diri dia. Ibu saya betul-betul menyukai dirinya sehinggakan saya sering dimarahi walaupun benda tu hanyalah tipu daya dia.

Lebih menyedihkan, ibu saya lebih percayakan dia daripada anak sendiri.

Dia mengungkit kisah lama sedangkan dia juga punya kisah silam yang telah lama saya maafkan. Dia sentiasa memburukkan saya dekat keluarganya, sedangkan saya memilih untuk berdiam, kerana bagi saya, buat apa menceritakan aib pasangan sedangkan kita dah nak kahwin.

Bila semuanya okay, saya sedikit sibuk dengan kerja, dia sengaja cari pasal. Dia berhubung dengan ibu saya & menyuarakan hasratnya untuk menangguhkan perkahwinan.

Segala persiapan telah saya buat, semuanya menggunakan wang ringgit.. tapi semudah itu dia mintak tangguh tanpa sebarang alasan, hanya kerana saya sibuk.

Tapi, saya sangat mengenali diri si dia. Walaupun dia agak baran, suka mencederakan diri, suka maki hamun saya walaupun benda takde pape, dia cepat sejuk.

Kadang-kadang, saya sendiri keliru dan tak pasti, sama ada ini ujian bertunang atau pun petunjuk Allah. Saya takut & keliru bila mana dia sering melarang saya berhubung dengan rakan universiti yang dia tidak suka.

Sekiranya saya masih berhubung, dia kata dia ceraikan saya dengan talak tiga walaupun masa tu kami belum ada ikatan yang sah.

Saya sangat menyayangi dia kerana saya dapat lihat keikhlasan dia untuk saya. Cuma kadang-kadang saya tak tahan dengan perangai dia, yang suka maki hamun saya, mengungkapkan perkataan menjandakan saya.

Setiap kali berhubung, dia pasti akan cepat marah. Bila saya tegur untuk dekatkn diri dengan Allah, lagi lah saya dimarahi.

Sejujurnya saya keliru dengan semua ini, saya tak tahu macam mana nak lepaskan diri sedangkan hati saya sangat menyayangi dirinya.

Saya tak tahu macam mana nak bawa dirinya kembali menjadi lelaki yang kuat pegangan agamanya sama sewaktu mula-mula saya mengenalinya. Saya tak tahu sama ada jalan yang saya pilih ni, jalan yang sebaiknya.

Siapa yang mampu tahan tadah telinga mendengar segala caci makinya. Siapa yang mampu hidup bersama kalau silap sikit dah kena marah.

Adakah ini ujian bertunang ataupun petunjuk Allah? Apa yang patut saya lakukan?

– Lini (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit