Assalamualaikum dan hai. Baru-baru ni saya ada baca tentang keluarga toxic (https://iiumc.com/keluarga-toxic/). Jadinya, saya terpanggil untuk menceritakan kisah saya pula. Keluarga saya bukan toxic.
Saya sebaya dengan confessor dan kisah kita ada sedikit persamaan. Saya anak bongsu daripada keluarga M40 yang mana ibu bapa saya sedang menghitung hari untuk menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam.
Tinggal di kawasan luar bandar dan hanya saya seorang yang masih di bawah tanggungan ibu ayah.
Disebabkan hanya saya seorang yang masih berada di bawah tanggungan ibu ayah, awalnya saya berhasrat untuk tidak memohon PTPTN disebabkan pada pemikiran saya, ibu ayah mampu untuk menampung perbelanjaan pendidikan saya sepanjang di universiti.
Namun, setelah saya memikirkan sedalamnya dan saya tidak mahu adanya rasa tidak puas hati adik beradik yang lain, saya nekad untuk memohon PTPTN.
Oleh kerana saya tergolong daripada keluarga M40, permohonan PTPTN yang diluluskan hanya 75%. Jadinya, lebihan wang selepas ditolak daripada yuran pengajian hanyalah sekitar beberapa ratus sahaja.
Cukup makan sahaja untuk saya meneruskan kehidupan di universiti. Ibu dan ayah tidak pernah memanjakan kami adik beradik, kebiasaanya saya hanya dibekalkan RM 150 sahaja di awal semester.
Sememangnya tidak boleh hidup mewah walaupun hakikatnya ibu ayah saya mampu.
Saya tidak pernah bekerja sewaktu cuti semester atau sekiranya ada waktu terluang, jadinya saya sememangnya tiada pendapatan.
Bukan tidak mahu kerja, banyak kali saya memujuk ibu dan ayah untuk mengizinkan saya kerja sewaktu cuti, tetapi mereka tidak pernah mengizinkan atas sebab belum masa lagi untuk saya bekerja dan memikirkan soal wang.
Diusia 21 tahun, mereka meminta untuk saya terus fokus di dalam pelajaran. Saya nak jadi dropship pun mereka tak benarkan. Huhu, stress dibuatnya. Bila saya minta duit untuk beli sesuatu, selalu pula dipertikai.
Habis tu, dah tak diizinkan kerja, macam mana la saya nak dapat duit. Jadi macam mana saya nak beli sesuatu yang saya nak jika tak ada duit nak beli? Macam mana saya uruskan kewangan saya tanpa adanya pendapatan?
Saya banyak sertai pertandingan online, ada rezeki menang, saya akan simpan duit tersebut. Saya pernah menang hadiah wang tunai dua ribu ringgit dengan hanya menulis artikel.
Saya manfaatkan kelas secara maya ini untuk menyimpan duit. Duit penginapan kolej kediaman saya simpan.
Saya jawab survey dan jadi translator untuk dapatkan duit secara sampingan. Saya dowload banyak aplikasi yang ‘legit’ dan boleh bantu saya untuk dapatkan duit. So far, melalui aplikasi macam ni saya dah dapat beratus ratus la juga.
Syukur daripada tak ada apa. Cuma perlu bijak lah, kena rajin buat dan jangan tertipu dengan aplikasi yang tidak sepatutnya macam yang viral sebelum ni.
Bagi saya, if rajin memang boleh dapat untung yang berbaloi sebab ada aplikasi yang tertentu dibayar dengan usd.
If saya nak sesuatu yang bukannya keperluan, saya akan simpan duit. Saya memang suka menabung dari kecil lagi dan masih menabung hingga sekarang.
Baki duit syiling selepas beli barang saya akan masukkan dalam tabung, nampak macam duit syiling saja pun tapi percayalah nilai duit syiling tu tetap banyak.
Saya simpan duit dalam akaun Tabung Haji dan BSN. If saya nak beli apa-apa saya hanya gunakan akaun BIMB saya sahaja.
Macam saya cakap awal-awal tadi, duit PTPTN saya hanya cukup-cukup. Tapi alhamdulillah saya bersyukur.
Pokok pangkal yang utama, kena bersyukur dan sedar diri bahawa kita ni masih belajar. Jangan banding diri dengan kawan-kawan yang memang ibu dan ayah sentiasa ‘topup’ duit dalam akaun bank.
Lihat dan pandang la kawan-kawan lain yang berusaha untuk cari duit sendiri, tahan lapar dengan makan maggi semata-mata sebab tak cukup duit nak bayar yuran pengajian.
Akhir sekali, doa dan amalkan Al-Waqiah agar dipermudahkan urusan dan dimurahkan rezeki. Maaf andai saya ada tersalah cakap.
– Bunga (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini ->Β https://iiumc.com/submit