Assalamualaikum wbt. Ingin aku kongsikan kisah hidup aku yang selalu jadi bahan fitnah sejak kecil sampailah sekarang.
Kepada yang pernah menjadi mangsa fitnah pasti akan faham apa yang aku lalui sejak dulu.
Aku dilahirkan didalam keluarga sederhana. Anak bongsu, dianugerahkan wajah yang akan cantik dan putih dan amat berbeza dari adik beradikku yang lain.
Sejak kecil lagi saudara sedaging aku akan cuba sedaya upaya memfitnah aku, dari sekecil-kecil isu hinggalah ibu terpengaruh dengan fitnah mereka.
Itu tak termasuk lagi dengan rakan sekolah. Pantang aku lebih sikit, pasti akan jadi umpat keji orang. Kakak sendiri akan jadi pengumpat pertama untuk menjadikan cerita fitnah ini jadi lebih menarik.
Kalau ada saja pelajar lelaki berjalan dengan aku, pasti ibu akan mencaci aku adalah gadis murahan, pelacur dan hanya mahu gunakan wajah sahaja.
Oleh kerana situasi begini, aku banyak menjadi pendiam. Aku usaha untuk belajar bersungguh-sungguh kerana tidak tahan lagi duduk di kampung.
Dapat sahaja keputusan bagus, ibu terus menelefon cikgu dan mengatakan mungkin aku meniru didalam peperiksaan. Bayangkan bagaimana perasaan aku waktu itu.
Cikgu Dahlia, satu-satunya cikgu yang amat memahami keadaan diri aku. Beliau banyak memberi nasihat dan doa supaya apa yang difitnah pasti akan diberikan ganjaran rezeki berlipat ganda kepadaku.
Berkat semangat yang ada didalam diri, aku terus menerima tawaran belajar di pusat bandar. Teruk aku dihina oleh Kakak kononnya aku merancang ingin melacurkan diri disana.
Sebab itu aku ingin pindah jauh dari keluarga. Tiada siapa yang pedulikan barang keperluan aku, aku terus pergi membawa diri.
Bermula zaman universiti yang agak sama juga keadaan, ramai yang cemburu dengan kejayaan aku. Aku jadi lebih pendiam dan jarang ada kawan. Pakai cantik sikit pun dicemuh apatalagi kalau bercakap dengan lelaki.
Tapi betul apa bekas guruku katakan, semakin banyak fitnah aku dapat, semakin banyak rezeki yang aku peroleh. Aku terus lompat semester dan mengambil master hasil dari kecemerlangan aku saban semester.
Keluarga masih sama, tapi aku sudah tidak peduli. Hati aku semakin kental, dan tidak langsung tercalar apabila terdengar umpat keji orang.
Aku teruskan kehidupan aku seorang diri sehinggalah aku mendapat tawaran sambung belajar didalam peringkat PHD di luar negara.
Di luar negara, aku berasa lebih bebas. Tiada yang pedulikan atau fitnah umpat keji keatas aku. Aku mula belajar bergaul dan lebih terbuka untuk berkata-kata. Aku menjadi ceria dan ada ramai kawan.
Sifat mereka disini lebih terbuka dan tidak habiskan masa dengan mengumpat orang.
Ibu sekarang menelefon aku, mengatakan tidak tahan menjadi hamba kepada kakak dan abang aku. Setiap hari dia perlu memasak dan mengemas rumah walaupun sudah tua.
Kerana sisa hormat aku kepadanya masih ada, aku hanya menjadi pendengar setia tentang permasalahannya.
Bagiku ini adalah kifarah kepada mereka kerana terlalu memfitnah aku sehingga aku menjadi malu untuk pulang ke kampung.
Abang dan kakak masih tidak mahu bekerja, walaupun umur sudah hampir 40 tahun, masih menempek dirumah dan harap bantuan pencen dari ayah.
Aku hanya menghulurkan duit nafkah untuk ibu dan ayah kerana itu tanggungjawab aku.
Tetapi kalau ditanya apakah perasaan aku terhadap mereka, jawapannya adalah KOSONG. Hati aku sekarang ibarat batu, dengar lagu raya pun aku sudah tiada perasaan rindu untuk pulang ke kampung.
Aku selesa disini, insyaAllah hujung tahun ini aku bakal diijabkabulkan dengan jejaka pilihan aku sendiri. Harap korang dapat mendoakan supaya perkahwinan ini disinari kebahagiaan didunia dan diakhirat.
Kepada semua mangsa fitnah, bersabarlah. Dalam keadaan bersabar, korang juga perlu berubah hidup korang dan jangan hanya biarkan mereka memfitnah korang tanpa usaha apa-apa.
Jangan cederakan hati korang terlalu lama, cuba sedaya upaya untuk lari dari kepompong mereka.
Percayalah, rezeki mangsa fitnah ni amat besar sekali. Tapi bergantung diri kita, adalah kita hendak berubah ataupun tidak.
Aku doakan semoga korang dapat keluar dari fitnah dunia dan akhirat.
Kepada kaki fitnah, sampai bila korang nak happy mengumpat orang? Kifarah Allah didunia akhir zaman ni tak tunggu lama. Tak kena dekat korang, akan kena kat anak korang or orang yang tersayang.
Bertaubatlah…
Sekian.
– Edora (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit