keranamu pak cik

Aku menghabiskan diploma 2 tahun yang lepas. Selepas sahaja tamat belajar aku dan kawan-kawan yang lain berusaha mencari kerja untuk menampung hidup di kuala lumpur.

Hampir setiap hari aku melayari internet. Mengintai mana-mana ruang yang mengiklankan jawatan kosong sampailah suatu hari aku menerima email memanggil aku untuk temuduga. Penghantar email tersebut siap pesan untuk membawa rakan bersama jika ada. Dengan rasa senang hati aku mengajak 4 orang rakanku untuk pergi temuduga bersama.

Temuduga berjalan dengan lancar namun kami berlima gagal dan diminta untuk pulang sementara calon yang lain diminta tunggu untuk temuduga tahap kedua. Dengan rasa kecewa namun redha kami melangkah keluar.

Keesokan harinya pergi pula temuduga di suatu tempat juga digagalkan. Namun aku dan rakan-rakan yang lain tidak berputus asa dan teruskan pencarian.

Seminggu kemudian aku dan salah seorang daripada 4 rakanku tadi mencuba lagi untuk menghadiri temuduga di tempat pertama yang sebelum ini kami gagal. Namun nasib masih tidak menyebelahi apabila perkara sama terjadi. Failed at the first stage.
Aku buntu. Di manakah silapnya.
Ah mungkin bukan rezeki.

Selepas 2 hari aku menerima satu lagi panggilan temuduga. Sekali lagi aku pergi membawa seorang rakan bersama. Kami ditemuduga pada waktu yang sama tetapi dalam bilik yang berlainan dan penemuduga yang berbeza. Sayangnya kawanku tidak berjaya dalam temuduga tersebut. Sebaliknya berlaku pada aku. Penemuduga tersebut seperti berminat untuk mengambil aku bekerja tetapi meminta aku menunggu untuk pengambilan baharu yang mana ada sebulan lagi. Tidak ada jaminan yang aku sememangnya diterima bekerja di situ. Namun aku bersetuju untuk menunggu sehingga sebulan.

Dalam perjalanan pulang aku dan rakanku melewati 1 lorong. Kami mengambil keputusan untuk terus pulang ke rumah walaupun perut berkeroncong minta makanan. Tidak ada apa yang mampu untuk kami makan. Setelah sebulan menggunakan duit akhir ptptn untuk mencari kerja duit dipoket hanya tinggal sekeping. Sekeping RM10 untuk survival sehingga dapat kerja baru.

Dalam perjalanan tersebut ada seorang pak cik tua duduk di hujung penjuru memainkan seruling dan di hadapannya terletak satu bekas yang berisi beberapa keping duit syiling. Aku pandang pak cik tersebut dan hatiku berkata "aku tidak mampu menolongmu pak cik aku hanya ada RM10 sahaja". Aku menarik tangan kawanku untuk berlalu. Baru beberapa langkah aku tersentak apabila pak cik tersebut memainkan lagu "aku miskin hina berselubung duka". Aku tak ingat sangat lagu ni tapi lirik tersebut sangat menyentuh hati.
Serta merta air mata bergenang. Aku menggenggam duitku yang tinggal RM10 dan aku meminta rakanku untuk menukarkan duit tersebut kerana aku masih perlukan duit untuk tambang pulang ke rumah.

Aku mengambil RM5 dan aku masukkan ke dalam bekas di hadapan pak cik tersebut.

Aku menangis sepanjang perjalanan. Hampir-hampir sahaja aku mengabaikan pak cik tersebut hanya kerana sifat pentingkan diri sendiri.

Aku dan rakanku berpisah laluan kerana laluan untuk pulang ke rumah adalah berbeza. Semasa menunggu bas aku melihat telefon bimbitku.
Tup!! Ada 2 miscall dari nombor yang tidak aku kenali. Memang sikapku bila keluar bersama rakan-rakan atau keluarga aku sama sekali tidak akan memegang telefon. Aku akan biarkan telefon di dalam beg tanpa nada dering.

Aku menelefon nombor tersebut semula dan seorang wanita berbangsa cina menyambut panggilan dan memperkenalkan diri. Wanita tersebut memaklumkan di mana dia wakil daripada syarikat xxx. Syarikat yang menggagalkan temuduga aku 2 kali. Syarikat yang menolak aku dan rakan-rakanku walaupun sudah 2 kali datang untuk temuduga.

Wanita tersebut memaklumkan di mana jawatan yang aku minta sudah tidak ada kekosongan dan mereka telah memutuskan untuk memberikan aku satu jawatan lain. Gembira sememangnya aku gembira. Seakan tidak percaya dengan apa yang berlaku. Setelah 2 kali gagal temuduga di syarikat sama kini ditawarkan pula dengan jawatan yang berbeza. Yang pasti jawatan tersebut berada di tahap yang lebih tinggi sedikit dibanding dengan jawatan yang aku pohon. Namun bukan jawatan yang ingin aku tekankan kerana setiap manusia adalah sama. Hanya amal dan taqwa yang membezakan.

Namun siapa menyangka. Sesungguhnya rezeki di tangan Allah.

Aku kabarkan hal tersebut kepada rakanku. Rakanku memaklumkan nombor tersebut juga ada menghubunginya tetapi apabila rakanku hubungi semula mereka hanya maklumkan yang mana mereka akan semak semula dan akan hubungi kemudian. Sehingga hari ini sudah hampir 2 tahun mereka tidak hubungi rakan aku itu. Maka fahamlah maksudnya. Mungkin sahaja dia hubungi rakanku setelah 2 kali menghubungiku tetapi tidak bersambut.

Alhamdulillah siapa sangka aku beroleh rezeki hanya beberapa jam selepas aku menemui pak cik tersebut.

Aku teringat suatu ketika dulu aku pernah mendengar ceramah yang mana penceramah tersebut ada berkata :

"sedekah yang paling besar nilainya adalah ketika kita berada dalam kesempitan dan hadiah yang paling berharga adalah menghadiahkan sesuatu yang kita sayang kepada orang lain."

Ikhlaskah kita memberi ketika dalam kesempitan. Ikhlaskah kita memberi sesuatu yang paling kita sayang.

Mungkin sahaja rezeki ini Allah berikan atas doa pak cik tua tersebut. Terima kasih Allah terima kasih pak cik.

Ingin sahaja aku bertemu semula dengan pak cik tersebut tapi sayangnya aku sudah tidak mengingati paras rupanya.
Maafkan aku pak cik. Aku tidak berniat melupakanmu.
Semoga pak cik sihat walafiat, murah rezeki dan semoga kini pak cik hidup dengan keadaan yang lebih selesa. Aku rindu tiupan serulingmu walau itulah kali pertama dan terakhir aku mendengarnya..

Buat rakan-rakan, marilah bersama kita amalkan sedekah. Setiap pendapatan yang kita dapat setiap bulan, infakkanlah sedikit kepada yang memerlukan. Sesungguhnya sedekah adalah pintu rezeki. Semoga kita semua dimurahkan rezeki oleh Allah. In shaa Allah.

#maaf cerita agak bosan
#aku hanya mahu berkongsi kisah ini yang tidak pernah ku ceritakan kepada orang lain.
#semoga kita semua dapat manfaat daripadanya.

– budak kaca mata

Hantar confession anda di sini -> iiumc.com/submit

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *