Assalamualaikum. Terlebih dahulu saya minta maaf kalau penulisan saya ini agak lintang-pukang kerana ini merupakan kali pertama saya menulis di page ini.
Merujuk tajuk di atas,saya sebagai ibu bapa yang mempunyai anak-anak di bangku persekolahan ingin meluahkan kerisauan saya tentang beberapa masalah di sekolah-sekolah anak-anak saya.
Terlebih dahulu saya ingin memaklumkan bahawa beberapa masalah yang berlaku ini mungkin hanya berlaku di sekolah-sekolah anak-anak saya. Sekolah anak-anak tuan puan mungkin berbeza.
Masalah yang pertama ialah isu beg berat. Masalah ini boleh diselesaikan jika guru yang mengajar matapelajaran pada hari tersebut memberi kerjasama dengan waris.
Saya tidak faham kenapa guru-guru susah sangat nak beritahu buku apa yang akan digunakan pada keesokkan harinya.
Dalam group whatsapp dan telegram, ramai ibu bapa yang bertanya, buku apa yang perlu dibawa esok?. Segelintir guru akan membalas “SEMUA BUKU”.
Bayangkan mata pelajaran Matematik ada 5 buah buku termasuklah buku text. Takkanlah dalam masa 40 minit hingga sejam akan guna semua buku itu?.
Apabila ditanya kepada anak-anak,guna tak semua buku itu? Jawapannya TIDAK. Hanya guna sebahagian sahaja.
Masalah yang kedua ialah guru bukan opsyen mengajar Bahasa Inggeris. Saya faham sekolah kekurangan guru tetapi biarlah guru tersebut mempunyai asas yang lengkap untuk mengajar subjek tersebut.
Bayangkan cikgu mengajar speaking bunyi loghat daerah yang terlalu pekat. Saya bukan mahu condemn atau inginkan guru yang bercakap pure British accent. Tidak tuan puan.
Janganlah dipaksa guru tersebut mengajar subjek opsyen yang bukan dia mahir.
Kesian guru tersebut terkial-kial apabila kena berhadapan dengan ibu bapa yang berpendidikan tinggi dan berasa sangsi dengan kebolehan guru tersebut mengajar subjek tersebut.
Masalah yang ketiga ialah guru menggunakan wang mereka untuk membeli kelengkapan mengajar. Masalah ini timbul apabila guru-guru ini mula tidak ikhlas mengeluarkan wang mereka.
Habis diungkitnya kepada ibu bapa bahawa mereka membeli bahan-bahan mengajar menggunakan duit mereka.
Saya sebagai ibu bapa sangat sedih apabila mendengar masalah ini. Sekolah anak saya pernah usulkan kutipan wang untuk membeli kertas A4 dan peralatan alat tulis tetapi pihak pentadbiran menolaknya atas alasan taknak jadi isu berbangkit.
Faham tak kenapa saya sedih?. Saya sedih sebab ada golongan guru yang berkira dengan anak-anak murid.
Bila guru marah atau tidak puas hati sesuatu perkara dengan parents, mulalah mengeluarkan kata-kata seperti saya tidak halal sesen pun duit ringgit saya beli semua ini untuk mengajar anak-anak encik semua.
Luluh hati seorang ibu apabila seorang guru tergamak berkata begitu. Saya terasa seperti saya menghantar anak-anak saya belajar dengan seseorang yang tidak ikhlas mengajar.
Mungkin saya yang terlampau berfikir, maafkan saya kalau silap saya berfikiran seperti itu.
Masalah yang terakhir ialah guru yang mengajar mempunyai pusat tuition di luar sekolah.
Saya merayu dan memohon kepada guru-guru yang mempunyai perniagaan sampingan di luar waktu sekolah supaya mengutamakan pelajaran pelajar daripada perniagaan guru-guru.
Sudah banyak kali terjadi guru mengajar lebih kurang untuk menghabiskan silibus. Mengajar seperti pensyarah memberi kuliah.
Guru menggunakan taktik umpan pelajar ke pusat tuition. Di sana,pelajar diajar seperti yang sepatutnya guru tersebut mengajar di dalam kelas di sekolah.
Saya tidak tahu sejak bila budaya mengajar seperti ini terjadi. Mungkin sudah lama dan ibu bapa yang lain mungkin tak sempat nak mengambil tahu hal ini secara mendalam.
Apabila terjadinya perkara seperti ini,saya dalam keadaan paksa rela memberi keizinan kepada anak-anak saya untuk belajar di pusat tuition tersebut. Saya tahu jika saya tidak mengizinkannya,anak-anak saya akan ketinggalan pelajaran.
Saya sebagai ibu bapa,saya tahu saya ada hak untuk melaporkan semua masalah ini kepada KPM. Tetapi,saya tidak ingin melakukannya buat masa ini.
Saya lebih utamakan masa depan anak-anak saya. Masa depan anak-anak saya terutamanya yang bersekolah rendah di dalam tangan guru-guru mereka. Markah anak-anak saya,guru-guru ini yang akan memberikan.
Saya tidak dapat membayangkan apa yang akan terjadi terhadap masa depan anak-anak saya jika saya memanjangkan kerisauan saya ini kepada KPM.
Kalaulah saya tersilap langkah, habislah peluang mereka untuk mendapat pendidikan yang baik di peringkat seterusnya.
Saya memang risau memikirkan tentang hal pendidikan anak-anak saya. Saya berasal dari keluarga susah dan saya sedang berusaha keluar dari kehidupan susah tersebut dan saya tidak mahu hidup anak-anak saya hidup susah seperti saya.
Saya tidak tahu di manakah lagi tempat yang sesuai untuk saya meluahkan kerisauan saya melainkan di page ini kerana jaminan maklumat peribadi saya dan anak-anak tidak akan terdedah kepada umum.
Saya minta maaf seandainya kerisauan saya ini tidak disenangi oleh mana-mana pihak.
Terima kasih admin kerana menyiarkan kerisauan hati saya dan terima kasih semua yang sudi membaca luahan hati saya yang tidak seberapa ini.
– Anak-anak Mak dan Ayah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit