Jiwa Yang Tertekan

Assalamualaikum. Saya seorang wanita yang masih belum berkahwin dan berusia dalam lingkungan 30 tahun ke atas. Sebulan yang lepas ada kenalan lelaki saya yang menyatakan hasratnya untuk menikahi saya.

Untuk pengetahuan semua, saya dan lelaki tersebut (saya gelarkan sebagai M) telah berkawan hampir 7 tahun.

Kami adalah rakan sekerja di sebuah syarikat yang agak terkenal di dalam negara. Kira – kira 6 tahun yang lepas (di awal persahabatan kami), M pernah meluahkan rasa hatinya kepada saya.

Dalam senyum terpaksa, saya hanya ketawa sewaktu M berterus terang tentang perasaannya pada saya.

Walaupun tidak secara jelas, tetapi saya menolak hasrat hatinya waktu itu kerana bagi saya kami tidak lebih sebagai rakan sekerja yang merantau mencari rezeki di tempat orang.

Dan untuk pengetahuan pembaca, saya telah menjalinkan hubungan sejenis (biar saya namakan pasangan sejenis saya sebagai U) sebelum mengenali M lagi.

Dan semestinya pada waktu itu saya tidak memberitahu M tentang hubungan sejenis saya bersama dengan U. Saya tahu perbuatan saya itu haram dan berdosa besar. Tapi sukar bagi saya berpatah balik kembali kepada fitrah.

Berbalik kepada M, tidak lama selepas dia meluahkan rasa pada saya, dia mengambil keputusan berhenti kerja atas sebab – sebab tertentu.

Saya pula masih bekerja di syarikat yang sama selama lebih dari 4 tahun. Namun ombak ujian datang tanpa diduga bila saya dinasihatkan untuk meletakkan jawatan atas tuduhan salah laku.

Sejak sudah tidak bekerja di bawah satu bumbung dengan M, saya jarang mengikuti perkembangan berita mengenai beliau.

Jarang sekali bertanya khabar ditambah pula saya mengalami kemurungan selepas hilang pekerjaan. Namun M masih orang yang sama yang tidak pernah sesekali pun menilai setiap perbuatan saya.

Beberapa bulan yang lepas, salah seorang sahabat baik kami bertunang. Saya agak terkejut pada waktu itu dengan pelbagai rasa yang terbit.

Gembira sahabat saya ini bakal menamatkan zaman bujang namun dalam masa yang sama agak sedih kerana dia akan berpindah jauh.

Pada hari pertunangannya, tiba – tiba M menghantar pesanan teks kepada saya setelah hampir setahun kami tidak berbual akibat kekangan masa.

M menyatakan hasrat hatinya untuk menyunting saya sebagai isteri yang sah.

Saya benar – benar terkejut namun dalam masa yang sama semacam Allah menjawab segala doa – doa saya.

Sebulan sebelum M meluahkan hasrat memperisterikan saya, saya pernah berkata – kata di dalam hati yang mana saya tidak akan berkahwin sampai bila – bila.

Mana mungkin ada lelaki yang mahukan saya yang penuh dengan sejarah silam dan dosa. Namun kehadiran M semacam memberi sinar di jalan yang kelam.

Pada awalnya saya agak keberatan untuk memberi kata putus atas beberapa sebab.

Pertama, hubungan sejenis saya dengan U masih berjalan seperti biasa.

Kedua, status saya yang mungkin anak tidak sah taraf (saya masih mencari kebenaran status saya ini)

Namun kesungguhan M seakan membuka ruang hati saya untuk menerimanya sebagai suami. M yang saya kenali sekarang sangat matang bila berbicara.

Untuk pengetahuan para pembaca, saya telah berterus terang kepada M mengenai status saya yang mungkin anak tidak sah taraf(akan memberi masalah untuk mencari wali jika dia ingin menikahi saya).

M ternyata tenang sewaktu saya kabarkan perkara ini. Ada juga beberapa isu yang saya luahkan dan M menerimanya secara terbuka. Bagi M tiada manusia yang sempurna termasuk dirinya.

Dan perkahwinan ini baginya adalah permulaan untuk kami membina kehidupan yang lebih baik terutamanya dalam mendalami ilmu agama dan memperbetulkan kesilapan yang lalu.

M meminta saya melakukan solat sunat istikharah untuk meminta jawapan dan petunjuk adakah dia jodoh buat saya.

Berhari – hari saya tunda untuk memohon jawapan melalui solat istikharah ini. Akhirnya dengan rela hati saya bersujud memohon petunjuk.

Sebelumnya, saya melakukan solat sunat taubat. Ya, taubat atas segala kesilapan saya yang lalu termasuk hubungan sejenis saya dengan U. Di atas tikar sejadah saya meraung memohon keampunan padaNya.

Selepas rasa sedikit tenang, baru lah saya melakukan solat sunat istikharah. Walaupun tidak mendapat apa – apa jawapan melalui mimpi, tapi rasa sayang saya kepada M semakin bercambah.

Rupa – rupanya dalam diam, M juga melakukan solat sunat istikharah sebelum saya. Dan dia juga pasti dengan keputusannya untuk menikahi saya.

Rasa terlalu bahagia saat ini namun saya masih gusar memandangkan saya masih belum berterus – terang mengenai hubungan sejenis saya dengan U.

Ditambah pula M selalu bertanya kepada saya bila waktu yang sesuai untuk dia membawa saya pulang ke kampung berjumpa ibu bapanya.

M juga tidak keberatan untuk berjumpa keluarga saya.

Sebetulnya pada hujung minggu beberapa hari selepas kami berjumpa, saya ingin berjumpa dengannya untuk jujur mengenai hubungan sejenis saya yang masih berlangsung. Namun saya hanya mampu merancang, DIA berkehendakkan yang sebalikanya.

Hari yang sepatutnya kami berjumpa, tiba – tiba kawasan kediaman saya dilanda banjir.

Dipendekkan cerita, kami tidak dapat bertemu dan beberapa hari selepas dilanda banjir, U mengesyaki tentang saya dan juga M bila dia terjumpa gambar M dan saya berjumpa tanpa pengetahuannya di dalam telefon bimbit saya.

Akhirnya malam itu saya terpaksa menceritakan segalanya kepada U mengenai hasrat saya dan M yang ingin bernikah.

Saya juga mempersoalkan kepada U sampai bila kami terus begini. Hubungan ini tidak mungkin boleh dibawa ke mana – mana. Ternyata U amat kecewa dengan apa yang saya ucapkan.

Baginya segala pergorbanannya dari segi tenaga dan wang ringgit seakan dipandang sepi.

Tidak dinafikan U terlalu banyak berkorban untuk saya tanpa mengharapkan balasan kecuali saya setia kepadanya. Tipu jika saya katakan tidak ada langsung perasaan sayang. Namun sampai bila kami harus begini.

Mencipta dosa demi dosa. Dalam terpaksa, U katakan telah melepaskan saya kepada M dan jangan lagi muncul di depannya. Namun keesokannya dia merayu agar saya tidak meninggalkannya.

Saya dalam dilema. Mengenangkan segala pergorbanannya yang tetap dengan saya ketika berhadapan waktu yang sukar dan juga dengan rasa hati yang ingin kembali kepada fitrah.

Sejak dari kejadian itu, U jelas menanggung derita rasa kecewa, sedih dan putus asa. Ada kalanya berhari – hari dia tidak tidur. Jika lena pun hanya seketika.

Beberapa hari selepas U mengetahui mengenai M, dia telah menyekat no telefon bimbit M dari menghantar WhatsApp kepada saya.

Hampir seminggu barulah saya dapat menghubungi M dan menceritakan segalanya. Walaupun terkejut, M masih memberikan kata semangat dan meminta saya terus kuat dan berfikiran positif.

Katanya anggap semua ini ujian untuk kami dalam niat ingin menuju ke gerbang perkahwinan. M tidak pernah berhenti mengingatkan saya agar selalu berdoa kepada Allah agar dibukakan hati U untuk melepaskan saya dengan rela hati tanpa dendam.

Kini, setelah hampir sebulan U mengetahui hasrat saya ingin berkahwin, kami seakan hidup di dalam dunia sendiri.

Saya dapat merasakan tiada lagi kemanisan dalam rumah yang kami diami. Saya juga berperang dengan rasa hati yang penuh dengan rasa bersalah kerana memilih untuk meninggalkan dia sebagai ‘kekasih’.

Masalah yang menimpa ini juga menyebabkan saya menjadi tertekan, sensetif dan mudah berfikiran negatif.

Saya takot seandainya M akan meninggalkan saya sedangkan setiap hari saya angankan kami akan bernikah dalam suasana yang penuh damai dengan berpakaian nikah bewarna putih.

Saya risau seandainya pihak keluarga M mencari calon jodoh lain untuk M. Walaupun berulang kali M meminta saya banyakkan berdoa dan melakukan solat bagi mendapatkan ketenangan jiwa, namun saya masih belum merasa tenteram.

Saya juga mula merasakn M sudah bosan dengan sikap saya yang asyik berfikir yang bukan – bukan. Kegusaran saya semakin memuncak bila mana M selalu mengingatkan saya untuk menerima segala ketentuan samada kami berjodoh atau tidak.

Katanya lagi, segalanya yang berlaku dan bakal berlaku ada hikmah tersendiri. Beberapa hari lepas, M juga jarang membalas pesanan teks dari saya.

Alasannya kadang kala tidak perasan pesanan teks dari saya sedangkan bertahun perkenalan kami, M tidak pernah tidak untuk membalas segala pesanan teks dari saya walaupun beliau sibuk dengan tugas harian.

M juga sudah jarang berkongsi kata – kata nasihat atau semangat yang acap kali dia lakukan sebelum ini. Namun saya masih meletakkan harapan besar agar kami dapat berkahwin.

Dalam masa yang sama, dalam sujud yang terakhir sewaktu mengerjakan solat, saya selalu memohon agar jodoh kami kuat dan saya akan terus tabah seandainya dia bukan ditakdirkan menjadi suami saya.

Saya juga tidak berhenti berdoa agar U dapat merelakan saya pergi tanpa meninggalkan titik benci dan juga besar harapan saya agar U dipertemukan dengan lelaki soleh yang dapat membuka hatinya untuk bernikah.

– SHAKILA (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *