Kesalahan Kita dan Orang Lain: Satu Renungan II

Untuk part I, (https://iiumc.com/kesalahan-kita-dan-orang-lain-satu-renungan/).

Bismillahirrahmaanirrahiim (Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani).

Pada 15 Oktober 2019, selepas aku tulis satu artikel kat IIUMC ni, dengan tajuk yang lebih kurang sama, macam-macam la mai kat otak ni. Itu artikel pertama aku hantar selepas terlampau lama berfikir yang makan tahun, perlu ke aku hantar. Biasalah wey dilema selalu wujud.

Kat situ aku andaikan perasaan korang dengan aku selari bila mai sesuatu konflik atau masalah. Kat artikel yang sama juga aku senaraikan 3 langkah yang aku buat bila keadaan tu berlaku.

Itu pelan kasar yang kau dengan aku boleh guna terhadap orang-orang yang mempunyai personaliti normal atau secara puratanyalah. Dengan kata lain, orang-orang yang boleh jalan dengan slow talk, bukan cakap lambat atau lembap.

Kat sini bukan aku abnormalkan orang lain yang ada personaliti berbeza ye, cuma aku nak korang sama-sama pening untuk faham dan kawal orang-orang yang boleh kita cakap “tak makan saman.”

Benda pertama yang korang kena buat bila berhadapan dengan manusia-manusia istimewa ni, dengan kata lain penternak sikap sabar aku dan korang adalah (1) cantikkan niat. Niat yang cantik ni macam garisan agar kita tak masuk wilayah memperlekehkan orang dan tak memperlihatkan ketidakbijaksaan diri sendiri.

Aku cakap macam tu sebab hanya dengan niat yang cun, apa yang kita cuba cakap akan disampaikan maksud sebenarnya kepada mereka yang kita harap. Disampaikan tu “kerja Tuhan” la maksudnya kat sini.

Kita mungkin ada SOP sendiri tentang apa-apa isu pun, tapi SOP kita tak tentu kena lagi dengan orang yang banyak jenis ni. Mimik muka, nada suara, susunan ayat dan situasi semasa, semua tu boleh buat salah faham.

Aku nak tekankan sikit kat sini, jangan sekali-kali persoalkan salah faham yang berlaku, berkemungkinan salah faham itu lagi menzahirkan keikhlasan seseorang, tapi jangan juga guna sebab ni untuk berala-kadar dengan usaha. Kerana apa? Usaha itulah yang akan ditanya kelak, “sebanyak mana kita berusaha?”

Pasang niat cantik ni jangan main bedal je, teliti betul-betul kat hati sebab niat pun kena tanya nanti kat sana tu, tak payah nak buat-buat lupa ye kawan-kawan. Lepas cantik niat tu, habis disulam benang emas bertatah delima segala bagai, susunlah (2) pelan kemas-kemas.

Pelan kemas-kemas ni (a) bila nak cakap, cari masa yang sesuai, (b) apa yang nak dicakap dan (c) macam mana nak cakap. Bagi memberi impak yang gempak kepada (a), (b) dan (c) tu, letak sekali perasa tawakkal ye. Korang jangan jadi pembaris pula, pergi cari kat kedai perasa tawakkal tu.

Tawakkal inilah nak tengok keanjalan kita berhadapan dengan sesuatu keputusan tu setakat mana. Anjal ni maksudnya kau dan aku tak patah mengikut keberjayaan sesuatu keputusan tetapi melantun balik.

Tawakkal ni juga boleh kekalkan kau kat posisi yang sama dan cuba berkali-kali walaupun korang mungkin dah barai yang tahap tak ada orang dah boleh nampak melainkan kau bercerita. Tawakkal ni jugalah yang menyebabkan kau tak terduduk hilang pedoman tapi cantum balik habuk-habuk yang ada untuk bangkit berjuang. Tawakkal ni elastik tau, macam dah tak ada istilah kecewa yang melampau.

Yang ni kalau aku nak go deep, aku rasa kena tahu isu, kalau nak pukul rata semua isu aku rasa tak kena. Jika, aku guna ayat jika ye, jika ada antara korang rasa gunalah apa-apa isu, komen sikit kat bawah pun tak apa. Aku cuba fikirkan dan buat post baru andai itu mungkin membantu dan ini bukan promote diri ye. Aku guna perkataan “cuba” kat atas tu, cuba fikir untuk tolong. After all, it’s up to Him.

Akhir sekali, (3) doa. Ya, betullah tu korang agak, tentulah doa wey. Kita ni plan cantik-cantik bolehlah, keputusan kat Tuhan. Jadi, nak mula menterjemahkan langkah-langkah tu ke dalam tindakan, minta dengan Tuhan dulu. Minta dari awal lagi.

Apa-apapun dalam hidup ni kena libatkan Tuhan. Orang tak percayakan Tuhanpun tak sedar, dalam dia tak percayakan Tuhan tu lah dia mencari Tuhan. Kalau tak manalah dia ada masa nak fikir, “Tuhan ni ada ke tidak.” Tengoklah betapa lemahnya seorang manusia.

Pernah kawan aku tanya, aku rasa benda ni korang dah pernah baca kat mana-mana tak pun ada sesapa yang sembang ke. Ayat dia lebih kurang macam ni la, “aku rasa aku ni tak ada masalahpun.” Jadi, aku jawab kat dia, “kau tak rasa ada masalah tu, itulah masalah kau sebenarnya.”

Mungkin korang rasa aku ni kaki kelentong. “Dia ni kat orang yang ada masalahpun mungkin dia cakap, kau fikir sangat kot masalah kau.” Macam ni, setiap masalah itu berbeza, sama juga dengan penerimaan ke atas permasalahan tersebut.

Personaliti dan keupayaan orang untuk bertindakbalas (response) dan bertindak (dari segi kelakuan) juga berbeza. Jadi, untuk mengenalpasti orang tu macam mana, mestilah kena kenalpasti dulu pattern perangai dia.

Contohlahkan, aku cakap kat orang yang tengah struggle depresi macam kenyataan kat atas tu, “Kau fikir sangat kot masalah kau.”

Kenyataan macam ini mungkin akan serpihkan lagi situasi dia yang dah tinggal tulang tu, sebab depresi tu ibaratnya ada satu perasaan asing yang tak dapat dikenalpasti oleh orang yang mengalami (sebab dia tak tahu pun ada perasaan macam tu seumur hidup dia) tapi perasaan itu ingin didengari bukan ditolak dan diperkotak-katikkan.

Ianya satu perasaan yang sangat memenatkan dan perasaan yang ingin diurus dengan keadaan yang sepatutnya diurus bukan dinafikan dan buat macam tak ada apa-apa.

Akhir kata, dalam kita fokus nak selesaikan apa-apa masalah dalam hidup ini, jangan abaikan perasaan kita, tetapi uruskan secara bijaksana. Jangan tolak terus perasaan itu atau biarkan perasaan tu memenjarakan daya fikir kita.

Baiklah, cukup tiga langkah yang aku buat dan aku kongsi kat sini. Mungkin ada yang sama dengan apa yang korang buat, tak mustahillahkan. Macam yang aku dah cakap kat artikel sebelum ini, apa-apapun yang korang rasa tentang artikel ni aku terima dengan fikiran terbuka. No hard feeling at all. Moga kita berjamaah menjadi diri kita yang lebih baik dan baik.

“The world is full of nice people. If you can’t find one, be one.”

Terima kasih tuan tanah, izinkan aku bertapak disini.

Terima kasih pembaca bijaksana, sudi baca tulisan aku.

Sekian.

– cokmAr (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *