Kesan Trauma

Assalamualaikum semua pembaca. Terima kasih admin jika menyiarkan confession ini. Tujuan aku menulis disini adalah untuk meminta nasihat dan pendapat pembaca semua.

Aku seorang wanita yang baru melangsungkan pernikahan. Dari segi luaran, aku kelihatan normal. Namun mental aku sakit disebabkan peristiwa hitam zaman kanak-kanak.

Aku pernah mendapatkan rawatan psy dan aku rasakan yang aku sudah pulih sepenuhnya. Namun aku tersilap, aku masih dibayangi kenangan lalu yang sangat pahit. Jadi makin serius sejak aku berkahwin.

Aku dan suami tidak bercinta, kami hanya kenal sekejap dan terus bercadang untuk menikah. Aku tidak mengenali suami dan suami tidak mengenali aku. Kami hanya kenal diri masing-masing selepas kahwin. Aku bahagia mempunyai suami yang baik dan bertanggungjawab.

Yang menjadi masalah sekarang ini, aku masih tidak mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Setiap kali aku cuba, aku seolah ternampak bayangan dulu. Ya, aku masih trauma.

Aku akan terus menangis sampai tertidur. Suami aku terkejut pada mulanya, tapi setelah aku ceritakan kisah pahit aku, dia mula faham dan tidak pernah memaksa aku.

Sudah 5 bulan usia perkahwinan kami, tapi aku masih tak mampu melaksanakan tanggungjawab aku. Setiap kali terjadi, setiap kali itulah aku akan menangis dan akan murung sepanjang hari sebab terimbau memori pahit.

Aku kasihankan suami aku. Aku tahu dia terseksa menanggung seorang diri. Sekarang dia lebih banyak mendiamkan diri dan jarang bersembang dengan aku.

Aku tahu aku berdosa sebab menyeksa dia, tapi aku tak mampu, aku tak nak ada perasaan ini. Aku sangat sayangkan dia sebab masih bersabar dan menanti saat aku sedia.

Aku banyak kali mencuba tapi tak berjaya. Trauma yang aku alami terlalu besar impaknya. Buat kau syaitan durjana, aku tak akan pernah memaafkan setiap perbuatan kau terhadapku. Aku terseksa hingga sekarang.

Aku sangat memerlukan pendapat dari pembaca semua, apa tindakan yang wajar aku lakukan? Aku risau kesabaran suami aku akn sampai ke penghujung. Aku tak sanggup kehilangan dia.

Doakan aku supaya terus kuat.

– Puan Berdosa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *