Hai. Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua. Bersempena dengan Hari Raya Aidil Adha, aku nak kongsikan sebuah kisah tentang diri aku.
Kisah yang aku pendam seorang diri selama ini khuatir disalah erti oleh ahli keluarga dan rakan-rakan aku yang lain. Hanya teman rapat yang tahu. Hanya beberapa yang dapat aku kongsikan.
Aku seorang perempuan, berumur 30 tahun. Single. Dari sebuah negeri di Kepulauan Borneo. Seorang penganut agama aku yang sangat taat sebelum hati aku terdetik untuk mula cinta pada Islam.
Pada Disember 2019, beberapa hari sebelum Hari Krismas aku telah bermimpi. Mimpi yang aku katakan paling indah aku pernah alami selama aku hidup. Sangat indah. Mimpi yang mengubah seluruh pandangan aku terhadap Islam.
Seorang lelaki berkata kepada aku. “Aku nak bawa kau ke sebuah tempat dan tunjukkan sesuatu pada kau.” Berdirinya dia dihadapan aku, tapi aku tak dapat nampak muka dia. Silau. Kawasan sekeliling sangat bercahaya. Dia berjubah, berkopiah.
Aku pandang disebelah kanan aku, seorang wanita yang bertudung labuh. Seluruh muka wanita itu pun tak nampak. Silau. Tapi senyuman dia aku dapat nampak dari sisi.
Belum sempat aku bertanya siapa dia, lelaki tadi menggenggam tangan aku dan memimpin aku berjalan.
Soal hati aku ketika itu, “Siapa dia ni? Pegang-pegang tangan aku sedangkan dia tahu haram?”.
Tapi aku hanya mengikut langkah dia tanpa bertanyakan apa-apa. Dia berjalan di depan aku, memimpin tangan aku. Eh! Berbunga pulak hati aku dilayan begitu. Terasa sweet pulak.
Langkah kami terhenti dihadapan sebuah bangunan serba putih. Sangatlah putih. Rupanya seperti sebuah masjid yang sangat besar.
Terdetik di hati aku “kenapa macam masjid?”. Lelaki tadi melepaskan genggaman tangannya. Sambil memandang bangunan dihadapan kami, dia berkata “Dah sampai pun.
Aku nak bawa kau ke sini.” Aku terus tanya “kenapa macam masjid? Masjid ke ni?”. Tanpa menoleh ke arah aku, lelaki tadi menjawab “masjid lah ni. Aku nak bawa kau masuk. Jom.”
Aku bertanya lagi “kenapa bawa aku masuk masjid?”. Belum sempat dia menjawab, dipimpinnya sekali lagi tangan aku untuk masuk.
Serba putih. Indah. Sangat tenang. Itu yang dapat aku ungkapkan. Tenangnya tak pernah aku rasakan sebelum ini.
Dapat aku lihat seorang lelaki sedang bersujud. Berdirinya aku di tengah-tengah melihat keindahan di dalam bangunan itu. Dalam hati aku berkata “beginikah suasana di dalam sebuah masjid?
Tenangnya, Ya Tuhanku. Tenang ini tak pernah aku rasa sebelum ini. Sangat tenang.” Ku lihat lelaki yang memimpin aku tadi rancak bercerita dengan seorang lagi lelaki.
Membelakangkan aku. Wanita tadi masih disisi aku. Muka mereka masih tidak kelihatan. Wanita itu menemani aku yang terpegun.
Selepas itu, aku terbangun. Mimpi rupanya. Tapi rasanya seolah-olah benar. Rasa tenang itu, aku rindu.
Pada pertengahan 2020, aku sekali lagi bermimpi. Aku telah dihadiahkan sebuah Al-Quran oleh seorang lelaki yang aku jumpa pada awal 2020. Kami sangat berbeza. Jauh sekali berbeza. Agama, bangsa dan budaya.
Aku akui aku sangat sayang pada dia tapi aku cuba untuk tidak menaruh harapan pada dia.
Dalam mimpi tersebut dia berkata kepada aku “aku nak hadiahkan kau ni untuk panduan hidup kau.”
Ia berupa sebuah buku yang tebal. Aku buka dan ia merupakan sebuah Al-Quran. Kemudian, aku terus terbangun dari mimpi. Sayunya hati aku.
Kerana dalam realiti, aku tak pandai baca pun Al-Quran. Tambahan lagi mimpi ia dihadiahkan oleh seorang lelaki yang aku sayang yang mana aku tahu jauh sekali perbezaan kami. Jangankan baca Al-Quran, solat pun aku tak dapat.
Aku bermimpi yang sama pada awal 2021. Orang yang sama. Tapi kali ni dia serahkan Al-Quran kepada bapa aku untuk diberikan kepada aku. Kata yang sama, jadikan ia panduan hidup aku.
Dua kali aku bermimpi bernikah di dalam masjid. Dengan orang yang sama. Bukankah itu agak mustahil? Kerana dia seperti menolak aku kerana perbezaan kami, agama.
Pada beberapa minggu yang lepas, aku bermimpi sekali lagi. Aku bertandang ke masjid, bertudung. Menangis mencari ketenangan yang pernah aku rasa dulu.
Aku akui sekarang aku sudah cintakan, Islam. Aku sedih bila tengok mereka dapat bersolat, aku tidak dapat. Mereka berpuasa sebulan, aku tak dapat. Mereka dapat bersolat tahajjud, aku tak dapat. Mereka bersujud, aku tak dapat. Semua itu aku teringin sangat.
Sekarang aku dah mula tidak berpakaian singkat dan ketat sepertimana aku dulu. Aku bertudung bila mengenakan seragam. Lebih selesa dan kemas.
Aku belajar perkara asas tentang Islam. Tidak kekok kerana aku memang belajar sedikit sebanyak di zaman universiti aku sebagai subjek wajib. Azan solat subuh sangat menenangkan aku. Indah.
Kepada anda yang dilahirkan dan dibesarkan dalam Islam, anda bertuah. Banyak cara pahala yang anda semua dapat buat. Banyak doa yang anda dapat amalkan.
Aku akui ia agama yang indah. Doakan agar ia juga menjadi agama yang terakhir untuk aku.
Terima kasih kerana sudi membaca luahan hati aku selama ini. Luahan yang masih aku simpan rapi.
Salam damai semua.
– Si Tulip Putih (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit