Kisah Hari Raya Ku

Namaku Zee. Pastinya nama samaran. Umur pun dah dekat umur nak ambik duit KWSP. Setiap kali tibanya Ramadan dan Syawal, pasti aku terkenang kisah 30 tahun dulu.

Aku membesar di sebuah kampung nun di pantai timur. Rumahku tidak jauh dari pusat bandar. Tapi zaman 30 tahun dahulu, tidak banyak kemudahan di kawasan desa, bukan seperti sekarang. Yang ada cuma kedai runcit biasa. Pasar mini ada di kawasan berdekatan bandar.

Perkhidmatan pos bergerak akan datang ke kampung seminggu sekali. Perkhidmatan bas yang ada cuma sejam satu. Biasanya penduduk kampung ke bandar dengan menaiki teksi sapu.

Ayahku seorang pesara yang mempunyai beberapa keping tanah dan juga sejumlah wang simpanan. Ayahku seorang yang berjimat cermat dan berperwatakan garang, namun hatinya juga tidak sampai hati jika ada saudara mara yang datang ke rumah untuk meminjam wang.

Tapi bila saudara mara tidak membayar hutangnya, dia akan marah-marah dan tempiasnya akan kena pada kami ahli keluarganya.

Bila Hari Raya akan tiba, biasanya ibu, aku dan adik perempuanku ada pakaian baru. Kain dah dibeli siap-siap 2,3 bulan sebelum hari raya. Tapi untuk adik-adik lelaki ku, selalunya mereka tiada baju raya walaupun sehelai baju Melayu.

Bagi ayahku, tidak penting untuk memakai baju baru. Dia sendiri akan memakai baju Melayunya yang lama untuk ke masjid.

Setelah aku berjaya melanjutkan pelajaran ke ITM, aku mula membeli pakaian raya untuk adik beradik lelakiku, dan juga sarung kusyen untuk ibuku.

Untuk persiapan raya, nasib baik ayahku tidak berapa berkira. Dihulurkan juga sejumlah wang kepada ibuku untuk membeli ketupat, lemang, kelapa,bawang, minyak, ayam dan sebagainya.

Dari segi persiapan makanan, memang tip top sebab ibuku memang pandai memasak. Kami pun mempunyai selera yang sederhana: biasanya kuih-muih raya kami adalah kuih siput, semperit, kuih tat nenas, suji dan kek gula hangus. Semua kuih-muih ini menjadi kegemaran diriku hingga kini.

Kami memang hidup serba sederhana. Aku selalu tolong ibuku memasak juadah seharian menggunakan dapur minyak tanah. Aku juga menolong ibuku parut kelapa menggunakan mesin untuk mendapatkan santan.

Semasa aku masuk Tingkatan 4 di sebuah MRSM, seorang rakan satu dorm aku pernah membawa kek yang agak gah namanya untuk dinikmati bersama rakan-rakan lain.

Kata rakanku, juadah yang dibawanya ialah double chocolate cake. Terpinga-pinga aku mendengarnya, maklumlah aku dah terbiasa dengan kek gula hangus.

Biasanya di zaman itu, sambil menunggu ketibaan Hari Raya Aidilfitri, kami yang muda remaja ni akan menonton rancangan televisyen seperti rancangan masakan dan rancangan hiburan. Aku tak ketinggalan menonton Chef Wan membuat kuih muih dan pelbagai juadah.

Aku masih ingat lagi semasa aku menonton Chef Wan memasak di dapur yang luas dan kemas, aku berkata di dalam hatiku, ‘ Suatu hari aku akan buat dapurku sebijik macam dapur Chef Wan!’

Alhamdulillah, setakat ini walaupun dapurku tidaklah kelihatan seperti Dapur ala Perancis Chef Wan, aku ada peralatan lengkap untuk memasak untuk keluarga kecilku.

Tidak dilupa juga rancangan terbitan Azwan Ali di TV3 iaitu rancangan Sampaikan. Selesai sahaja aku menolong ibu di dapur, aku dah berada di depan tv sambal menukar sarung kusyen, langsir dan mengemaskan apa yang patut.

Rasa seronok menonton Azwan Ali membaca ucapan Hari Raya dari remaja seusia denganku yang telah menghantar poskad kepada penerbit rancangan. Mulalah aku rasa, menyesal tak hantar ucapan kepada kawan-kawanku melalui pos, untuk dibaca oleh Azwan.

Biasanya pukul 2 pagi aku dah tak larat. Aku akan tutup peti tv dan masuk tidur kerana kepenatan.

Ketika zaman itu, medium hiburan yang tidak kurang penting ialah majalah seperti URTV dan komik Gila Gila dan Ujang. Ayahku memang mengharamkan majalah URTV dan Gila Gila dari rumah kami. Jadi aku terpaksa tumpang membaca majalah yang dipinjam dari rakan-rakan sekolahku.

Selalunya ada edisi khas untuk Hari Raya. Ada rakan-rakanku yang kumpul duit semata-mata nak beli majalah-majalah ini.

Semasa aku memasuki pengajian di university, aku tumpang membaca majalah Mangga dan komik Ujang yang dibeli oleh rakan-rakan sekolej. Biasanya majalah Mangga dan URTV akan memaparkan koleksi pakaian raya yang digayakan oleh artis-artis terkenal masa itu seperti Awie, Erra, Ella & Hans Isaac.

Esoknya, seusai solat Hari Raya, kami melawat adik beradik ibuku yang tinggal 2 batu dari rumah kami dan adik beradik ayah yang tinggal di bandar. Bersumbatlah kami dalam kereta Datsun ayah.

Seingat aku, kereta kami tiada pendingin hawa. Kami membuka tingkap sepanjang perjalanan. Tapi kami tak mengeluh dan memang kami gembira dapat ke sana ke mari pada waktu itu. Tambah girang hati kami, bila dapat duit raya seringgit.

Di zaman itu, seringgit dah boleh beli sebungkus nasi lauk ayam. Kalau dihimpun duit raya, dapatlah beli sepasang kasut sekolah yang paling gah waktu itu. Kasut Sugar Baby kalau tak silap aku, dalam RM20-30.

Berbeza dengan zaman anak-anakku beraya sekarang. Rata-rata mereka akan dapat duit RM200-300 dari saudara mara mereka.

Selesai minggu pertama di bulan Syawal, anak-anakku akan mengajak ayahnya ke kedai buku atau kedai permainan untuk membelanjakan sebahagian wang tersebut.

Satu perbezaan di zaman sekarang ialah anak-anak kurang menonton televisyen di Hari Raya, tapi banyak menghabiskan masa dengan telefon bimbit mereka. Mereka juga kurang menolong ibubapa membuat persiapan di rumah, melainkan kita yang minta mereka untuk berbuat demikian.

Jadi aku cuba libatkan anak-anakku dalam proses menyediakan kuih raya dan juadah Hari Raya, walaupun cuma menganyam ketupat. Aku nak memori ini berkekalan untuk anak-anakku, sebagaimana memori yang lalu terpahat dalam ingatanku.

Adik-adikku dah besar panjang sekarang. Seorang dah jadi pakar bidang perubatan. Aku pernah belikan sepasang baju Melayu untuk dia. Tahun ini, dia yang belikan baju Melayu untuk ayah kami.

Aku dan keluarga kecilku pernah duduk di Jepun selama 4 tahun semasa aku menyiapkan tesis Phdku. Kami dapat rasa suasana raya di perantauan yang tidak kurang meriah dengan kehadiran pelajar-pelajar lain di Kedutaan Malaysia di Tokyo.

Ayah kami dah berumur akhir 70an. Dia dah kurang deria pendengaran dan sedikit nyanyuk. Ibuku dan adik beradik lain yang tinggal berdekatan yang setia menjaga ayah kami.

Sekali sekala, macam 4 kali setahun, aku dan keluarga akan pulang untuk menjengok ibubapa di kampung. Dengan anak-anakku berhimpit-himpit dalam kereta, dengan jalanraya dan lebuhraya yang sesak.

Aku tak boleh bayangkan kalau anak-anakku terpaksa naik kereta yang tiada pendingin hawa seperti aku dahulu. Maunya cair anak-anakku.

Tapi setakat ini memang semua anak-anakku tak kisahpun menempuh perjalanan yang jauh asalkan telefon bimbit mereka ada data tanpa had dan powerbank yang penuh.

Alhamdulillah untuk dua zaman yang berbeza. Semua kurniaan Tuhan masya Allah.

– Ziana Zahari (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *