Kisah Hidup

Assalamualaikum pembaca yang dikasihi Allah sekalian.

Aku dapat ilham untuk menulis di sini setelah tertengok satu video di tiktok yang mana seorang gadis merakam video ayahnya sedang memandu kereta ketika hujan kemudian lap cermin depan menggunakan kain disebabkan wiper dan aircond rosak.

Video tu memperoleh hampir 400k views dengan hujanan komen yang mendoakan si ayah dan anaknya. Beruntung betul keluarga tersebut. Bahagia walaupun hidup dalam kesusahan.

Sebenarnya aku sendiri pernah berada dalam situasi persis mereka. Ayah aku seorang penoreh getah dengan pendapatan 3 angka sahaja sebulan. Itu pun jika cuaca baik, jika hujan tidak dapat menoreh (motong getah) dan mengutip sekerap (kumpul getah).

Ayah aku membesarkan kami 9 beradik dalam keadaan serba kekurangan tetapi alhamdulillah kami sekeluarga diberi kesihatan yang baik dan cukup sifat.

Walaupun miskin, alhamdulillah ayah mempunyai sebuah motor dan kereta untuk menghantar kami ke sekolah. Motor dan kereta buruk.

Aku ingat lagi, semasa aku sekolah rendah ayah membawa kami naik motor yamaha merah yang dah cukup uzur. Motor yang tiada body kit, hanya enjin yang masih hidup dan boleh bergerak.

Waktu itu kami 6 orang masih bersekolah. Jadi ayah akan ulang alik mengangkut kami seorang demi seorang setiap pagi.

Pernah sekali tu motor ayah terlanggar sesuatu. Aku dan adik jatuh sehingga luka di lutut. Ayah juga tercedera tetapi tidak dilayan sakitnya.

Ayah menyuruh aku dan adik naik atas moto dan ayah menuntun motor tu balik rumah sebab dah rosak. Jauhnya lebih kurang 3km. Kesian ayah.

Biasanya lepas ayah hantar kami ke sekolah dia akan bergegas masuk ke kebun pula untuk motong getah. Tu belum masuk isu berperang dengan nyamuk lagi. Terserempak dengan king cobra lagi.

Gigih ayah mencari rezeki. Namun tidak pernah sesekali ayah mengeluh akan kesusahan yang dia hadapi.

Ayah seorang yang pendiam. Tidak banyak berceloteh. Kurus kering kerana tidak cukup makan. Dibiarnya isteri dan anak-anak mengisi perut dahulu barulah dia turun ke dapur mencari makanan yang masih ada. Itulah ayah.

Aku pernah ternampak ayah makan nasi kosong sebab tiada lauk. Kebetulan waktu tu musim hujan jadi ayah tidak dapat motong dan tiada pendapatan. Mujur beras masih ada.

Telur ayam pula dikutip di dalam reban ayam dan digoreng. Lauk hanya dijamah oleh kami adik beradik. Mak dan ayah jamah nasi kosong sahaja. Sedih bila diingati semula.

Semasa aku sekolah menengah aku dapat biasiswa. Wang biasiswa banyak aku gunakan untuk beli lauk di rumah. Dapatlah kami merasa makan sedap sikit.

Ada lebihan wang baru aku guna untuk beli buku dan alat tulis. Kadang-kadang belanja adik-adik makan chicken chop atau kfc.

Suka betul mereka bila dapat jamah makanan sesedap itu. Maklumlah kami tak pernah jumpa makanan sedap. Biasa makan nasi dengan telur atau sardin sahaja. Kadang-kadang ada ikan bilis.

Berbalik kepada biasiswa, ayah pernah marah aku guna wang kerajaan secara tidak berhemah. Oleh itu, aku daftar tuisyen luar dan bayar menggunakan biasiswa.

Syukur alhamdulillah dengan bantuan biasiswa, berkat kesusahan hidup, berkat mak ayah dan guru-guru aku memperoleh 9A dalam SPM. Hadiah buat mak dan ayah.

Bila dah dewasa sikit aku berjaya ditawarkan belajar di universiti. Aku ingat lagi ayah dan mak menghantarku ke universiti dengan kereta wira yang tiada aircond.

Nak turunkan tingkap kena pusing tombol dekat pintu dulu. Cat luntur dan berkarat. Bunyi macam enjin kapal terbang.

Setiap kali lalu depan orang semua mata memandang kami. Aku malu. Tapi aku tanam tekad untuk berjaya dengan cemerlang di menara gading. Itulah kali pertama dan terakhir ibu bapa aku menghantar aku ke universiti.

Seingat aku, sepanjang 4 tahun di Universiti ayah hanya pernah memberiku RM50 sahaja. Itu sahaja yang dia mampu.

Aku faham. Jadi tidak pernah aku meminta. Berjimat selagi boleh. Buat part time dan berniaga untuk dapatkan duit poket. Ada lebihan, aku hantar duit kepada mak ayah di kampung.

Cepat benar masa berlalu. Pejam celik pejam celik sekarang umurku sudah hampir menjangkau 30 tahun. Baru berkahwin. Bekerja dalam sektor pendidikan.

Ayah alhamdulillah masih sihat walafiat walaupun sudah berusia 67 tahun. Masih motong kadang-kadang.

Kami adik beradik mengirim wang setiap bulan. Ayah juga masih kurus cuma tidaklah kurus kering.

Mak? Sudah kembali ke negeri abadi awal tahun 2023 akibat stroke. Suatu trauma buat aku ketika kehilangan mak.

Seorang wanita kuat yang melahirkan 9 orang anak, diuji dengan kemiskinan, berjauhan dengan keluarga yang berada di negara gajah putih. Insya-Allah jika ada masa akan aku coret cerita tentang mak.

Buat pembaca semua, doakan kesejahteraan buat ayahku. Doakan dia diberi kesihatan yang baik. Doakan juga arwah mak aku tenang di sana dan diampunkan dosa-dosanya.

Doakan juga kesejahteraan dan kebahagiaan aku serta dilancarkan rezeki untuk membantu keluarga.

Aku juga turut mendoakan kesejahteraan buat kalian dan keluarga kalian.

Sekian sahaja coretanku pada hari ini, terima kasih kerana sudi membaca. Semoga kita semua berada dalam lindungan Allah. Aamiin.

– Amalina (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *