Hai semua. Saja nak tulis cerita tentang kehidupan aku dan laki sementara anak masih tidur haha. Kisah santai saja ini.
Aku dan laki berkahwin pada tahun lepas semasa PKP. Kami berkahwin secara sederhana dimana tiada hantaran dan hanya mas kahwin dan cincin kahwin.
Kami mengadakan akad nikah pada hari Jumaat dan membuat majlis doa selamat selepas solat Jumaat. Alhamdulilah segalanya berjalan lancar.
Kami teruskan kehidupan seperti biasa cuma hidup berdua sebagai laki bini di rumah sewa yang jauh sedikit dari keluarga.
Aku dan laki kerja swasta dalam bidang profesional. Tempat bekerja kami berdua sangat dekat dimana tak sampai 5km.
Ada hari kami makan tengahari bersama di kedai makan berdekatan dengan tempat kerja laki aku. Ada hari aku buat bekal untuk kami makan di pejabat.
Aku berhenti bekerja semasa kandungan berusia 6 bulan. Bermulalah kehidupan aku sebagai pengurus rumah tangga dimana sebelum tengahari aku habiskan pagi dengan tidur mati sepuas hati, haha.
Petang hari aku melipat pakaian, kemas rumah, memasak dan menunggu laki pulang kerja dengan setianya, haha. Malam hari aku berborak dengan laki tentang kehidupan.
Cukup bulan, aku lahirkan seorang anak perempuan. Aku dan laki terkejut beruk sebab semasa ultrabunyi hari itu, doktor yakin anak lelaki haha.
Mak dan mak mentua memang tahu aku mengandungkan anak perempuan sebab bentuk perut aku bulat. Apapun, nasib baik aku dan laki beli baju warna unisex. Fuhh.
Alhamdulilah keperluan anak cukup laki aku sediakan menggunakan duit KWSP.
Sejak aku dan laki menjadi seorang ibu dan bapa, pada beberapa minggu pertama, kami tak cukup tidur sebab anak bangun setiap 1-2 jam untuk menyusu.
Aku masih ingat lagi yang laki aku hampir terbabas memandu motosikal gara-gara terlalu mengantuk. Alhamdulilah dia selamat dan mencuci muka di Petronas untuk segarkan diri.
Laki aku memang nak anak lelaki. Tapi alhamdulilah dia boleh terima anak perempuan. Aku sudah risau jika dia tak dapat menyayangi anak kami. Huhu.
Awal tahun ini, laki aku dapat surat diberhentikan kerja atas sebab tidak diserap masuk ke dalam syarikat yang menguruskan strata.
Pada bulan itu juga laki aku mencari dan memohon kerja yang dia minat. Tak ada satu pun yang sangkut kecuali kerja Gig.
Alhamdulilah mampu menampung kehidupan kami bertiga walaupun umpama kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang hahaha.
Apa yang bagus kerja Gig itu adalah laki aku boleh pilih nak bekerja pada hari dan pukul berapa.
Ada hari laki aku tak bekerja dimana dia boleh tolong jagakan anak sementara aku bersuka-ria meluangkan masa dengan diri sendiri.
Anak aku tak lama lagi sudah boleh makan makanan pepejal (solid). Aku target nak cari kerja berdekatan dengan keluarga mentua untuk memudahkan aku menziarah mereka pada waktu rehat nanti.
Sementara nak dapat kerja profesional, aku akan mohon kerja biasa dulu supaya dapat menambah duit simpanan dan lain-lain.
Minggu ini, kami masih menunggu syarikat tempat laki aku temuduga untuk memberi maklumbalas sama ada diterima kerja atau tidak.
Aku berdoa pada setiap hari supaya laki aku berjaya mendapatkan kerja impiannya.
Jika laki aku tak dapat kerja itu, tak apa. Aku akan doakan sehingga makbul. Mungkin laki aku tak dapat kerja di syarikat itu, mana tahu dapat di syarikat lain pula? Hehe.
Aku berharap dan yakin suatu hari nanti kami akan keluar daripada kehidupan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang ini.
Kenapa aku yakin? Sebab aku menunaikan solat fardu dan mengaji al-Quran pada setiap hari.
Selagi aku menjaga dua perkara itu, aku yakin kehidupan kami akan menjadi lebih baik perlahan-lahan.
Aku doakan kepada yang masih menunggu zuriat akan dikurniakan zuriat yang menyejukkan mata dan hati pada suatu hari nanti supaya kita bersama-sama dapat merasai perasaan menjadi seorang ibu dan bapa.
Aku juga berdoa supaya kita dapat mencapai impian kita yang lain satu demi satu suatu hari nanti. Aamiin.
Itu saja cerita santai dari aku. Terima kasih sudi membaca.
– Bunga Melati (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit