Assalamualaikum semua. Terima kasih admin, luluskan confession ini.
Aku Jasmin. Aku menulis sekadar berkongsi cerita kisah yang terjadi beberapa bulan yang lepas. Masih segar kisah ini. Kisah ini, akan aku semat dalam hatiku buat tatapan aku dihari tua kelak.
Sedikit pengenalan diri aku coretkan supaya senang untuk pembaca semua membayangkan situasi yang bakal aku coretkan. Aku pelajar tahun akhir di sebuah IPTA.
Dan semestinya, seperti orang banyak, PKP ini sedikit sebanyak telah menjejaskan ketahanan mental aku. Kelas online yang tidak henti-henti, ujian, quiz, presentation, thesis, assignment dan tutorial seperti tiada tanda untuk reda.
Fizikal aku tampak okay, namun, minda aku letih, penat dan tertekan.
Namun aku gagahkan jua mengukir senyum, sebab, ada ibu bapa adik2 yang melihat dan mengharapkan secebis kejayaan dari ku. Tidak akan aku hampakan mereka. Aku gagahkan jua.
Namun, pada akhir bulan Mei, ibuku tiba-tiba jatuh sakit. Ibu tak boleh berjalan. Kaki ibu tiba tiba lemah, sakit dan ibu menangis tiap kali mahu menapak.
Allah, apa yang perlu aku buat. Aku kena bantu ibu. Tugas ibu, aku, ayah dan adik2 ganti. Maka, bertambah lagi ujian untukku.
Tidak mengapa aku terus kuat. Kalau dulu, tugas membasuh kain, memasak, melakuman kerja rumah, adalah tugas ibu, kini, tugas itu aku yang galas.
Tiap pagi aku akan bangun awal untuk membasuh kain (mesin basuh yang digunakan adalah mesin basuh manual dan perlu diperah sendiri). Selalunya, akan mengambil masa 1 hingga 2 jam.
Dalam masa yang sama, aku akan menggoreng pasir sungai (untuk merawat ibu), membancuh kopi, susu dan menggoreng nasi untuk sarapan. Ayah pula bersiap2 untuk keluar untuk bekerja.
Dan aku akan pastikan semua kerja akan siap sebelum kelas aku bermula. Selalunya kelas aku akan mula pada jam 9/10 pagi. Dan akan berlarutan sampai ke petang (3/4 petang).
Masak makanan tengah hari akan diambil alih oleh ayah setelah beliau pulang dari kerja. Ayah suka masak tom yam, (katanya senang, main campak2 je) maka, berbulan2 bulan lah kami makan makanan berasaskan tom yam paste. Haha.
Kesian aku tengok ayah, letih pulang dari kerja pun tak hilang lagi terus kena berperang didapur. Tapi, mujurlah ada adik2 yang membantu ayah. Ibu, kami tak bagi untuk buat apa2 kerja. Kesihatan ibu lebih penting, biarlah kami susah, asal ibu sihat kembali.
Segala tugasan, akan aku cuba siapkan secepat mungkin. Tiap hari aku stay up, bak kata orang putih burn the midnight oil semata2 untuk menyiapkan segala tugasan yang menimbun. Namun, satu benda yang menjadi kerisauan aku pada waktu itu, adalah thesis.
Aku tidak langsung menyentuh thesis yang perlu dihantar lagi sebulan sedangkan rakan rakanku sudah berpuluh puluh muka surat mereka siapkan.
Tidak mengapa, aku sabar, dan bertahan. Aku percaya, akan ada pertolongan dari Allah, asbab dari aku menjaga ibu dan membantu ayah.
Setelah itu, ibu dibawa pulang ke kampungnya di selatan tanah air untuk berubat. Maka tinggalah aku, ayah dan adik.
Kami masih lagi meneruskan jadual seperti kebiasaaanya. Membasuh kain, melipat kain, mengemas rumah, memasak dan sebagainya. Kami terpisah dengan ibu dan adik perempuanku selama 2-3 minggu.
Rindu usah disebut. Dan pada ketika itu, tarikh untuk menghantar thesis hanya tinggal lagi seminggu. Dengan berbekalkan segala kudrat yang ada, tawakal, doa yang aku pinta dari ibu ayah dan adik2) Aku pun apa lagi struggle menyiapkan thesis.
Selama beberapa hari aku tak tidur, dan ayahlah yang menjadi peneman dikala aku menyiapkan kerja ku (aku ni penakut orangnya). Ouh tak dilupa juga, nescafe latte setiap hari tanpa jemu menemani aku. Haha.
Dan, berkat doa, Allah mudahkan urusan aku menyiapkan thesis tersebut. Sujud syukur aku atas pertolonganNya.
Yang paling manis, thesis yang dihantar tidak ada sebarang pembetulan pun. Alhamdullilah berkat pertolonganMu ya Allah. Tiada daya aku hambaMu yang lemah ini tanpa bantuan Mu.
Dan kini, ibu semakin sembuh, kami dah boleh merasa air tangan ibu yang kami rindu setelah sekian lama makan tom yam ayah. Haha. (Nasib kami adik beradik tak bercakap siam ja dek kerana makan tom yam hari2..)
Segala tugasan, kelas, quiz dan mak nenek ODL telah pun selesai. Rasa bagai beban di bahu aku terangkat. alhamdulillah.
Pengajaran yang aku dapat sepanjang ujian ini adalah, kuatlah dalam menghadapi cabaran hidup, kerana cabaran inilab yang akan menjadikan kita manusia yang kuat.
Berbaktilah kepada ibu ayah, selagi mereka ada. Jangan terdetik walau dalam hati sekali pun yang orang tua kita ini membebankan kita. Kerana ada sesuatu yang manis sedang menuggu disebalik perngorbananmu wahai anak soleh.
Percayalah, Allah itu dekat, malah lebih dekat dari urat nadi kita! Percaya pada Dia. Mohon, merayu padaNya, nescaya dia akan tolong.
Dia takkan mensia-siakan hambanya yang berharap. Jangan sesekali tinggalkan/ buang Dia dari hidupmu. Kerana, pada Dialah tempat kita kembali.
Sekian, terima kasih. Salam sayang dari aku buat mu.
– Jasmin (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit