Lelaki Teragung

Orang kata kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah berkorban nyawa. Setiap orang akan ada satu figura penting yang membentuk jati diri kita.

Aku juga sama. Orang yang paling penting yang aku berjanji untuk jaga dia sebaik mungkin.

Rezeki setiap orang tidak akan sama dan rezeki aku, Allah kurniakan seorang Lelaki Teragung dalam hidup aku. Abah adalah Lelaki Teragung dalam hidup aku melebihi suami aku sendiri.

Maaf Encik Suami, awak bukan yang pertama dalam hati saya. Abah bukanlah sempurna, jauh dari sempurna tapi Abah cukup sempurna seadanya di mata aku.

Abah ajarkan aku pelajaran tentang kehidupan yang membentuk aku dan adik adik. Apa yang aku miliki sekarang adalah asuhan dan didikan Mak dan Abah.

Mungkin ini satu satuya nota kenangan aku coretkan tentang Abah.

Umur aku 10 tahun, keluarga kami pindah ke Timur Semenanjung.

Aku dikelilingi kawan kawan yang rata ratanya susah. Aku selalu cerita pada Mak dan Abah pasal kawan kawan di sekolah. Susah mereka sampai tak ada duit untuk belanja sekolah asrama, baju lusuh, jalan kaki jauh nak ke sekolah.

Keluarga kami bukanlah kaya pun, takde kereta pun masa tu tapi aku takdela rasa keluarga aku susah time tu. Abah aku jiwa nya besar. Abah ambil 5 orang anak angkat kat sekolah dan abah tanggung yuran dan pembelian barang koperasi.

Aku tumpang jugak belanja di koperasi atas nama anak anak angkat Abah tu.

Tiga dari mereka adalah kawan aku sendiri. Habis UPSR akan ada rombongan sekolah. Kawan baik aku tak ada duit nak ikut serta.

Aku merayu pada Abah untuk tolong bayarkan duit rombongan kawan baik aku tu dan syaratnya periksa tengah tahun aku dapat No 1.

Aku dapat No 1 peperiksaan pertengahan tahun dan Abah tunaikan janji bayar duit rombongan kawan baik aku.

Mak Abah cakap kalau kita usaha pasti kita akan dapat apa yang kita impikan dan kalau ada rezeki lebih tak salah kalau kita kongsi dengan orang lain. Bila aku besar aku nak buat sama macam Abah.

Sewaktu aku di Form 1, aku minta Abah belikan kasut Dr.Marten. Tapi tak jumpa Dr.Marten sebab aku duduk di negeri jauh dari Kuala Lumpur.

Sebab keputusan peperiksaan cemerlang Abah tetap belikan high cut boots untuk aku jenama Dr. Cardin. Masa tu aku feeling- feeling kumpulan Feminine.

Hadiah paling aku sayang dan paling bermakna untuk aku. Masa tu manala aku tahu mahal rupanya harga kasut boot tu.

Kemudian masa Form 3, waktu minggu peperiksaan.

Abah ambil cuti seminggu supaya dapat hantar dan ambil aku ke sekolah untuk aku menduduki peperiksaan.

Abah pesan, dengan ilmu kita boleh ubah masa depan. Abah tak boleh bagi apa apa, Abah hanya boleh bagi pelajaran pada aku dan adik adik.  Hari pertama PMR, kertas Bahasa Melayu.

Mujur waktu tu dah ada kereta, jadi Abah hantar aku pagi tu dengan kereta. Hujan lebat waktu tu, lebat selebatnya sampai perkarangan sekolah tak ubah macam sebuah tasik di kelilingi air.

Air naik sampai ke betis. Masa tu aku masih dalam kereta. Kalau redah hujan mesti habis kasut sekolah aku dengan baju sekali basah.

Abah cakap tak ada cara lain, Abah akan gendong  aku sampai ke dewan peperiksaan sambil aku pegang payung. Aku cakap takpela aku redah je, tapi Abah tetap tak bagi aku basah.

Takut terjejas aku jawab exam nanti. Nak tak nak, aku pun setuju. Abah pun gendong aku dari tempat kereta sampai ke kelas walau masa tu aku macam malu sikit orang tengok.

Pegawai yang jaga dewan peperiksaan pun terkejut tengok Abah gendong aku. Kemudian aku masuk dewan.

Dari dalam dewan aku pandang Abah kat luar, masih berdiri penuh kebasahan. Abah cakap dia akan tunggu sampai aku start jawab kertas peperiksaan.

Dalam debar airmata aku mengalir dan aku lap cepat cepat tak nak Abah nampak.

Baru aku sedar, lelaki yang sedang tunggu aku di luar dewan peperiksaan, tunggu aku dengan penuh pengharapan. Dalam hati aku berdoa Allah mudahkan aku jawab exam dan aku berjaya ubah masa depan.

Aku cemerlang dan dapat 9A dan kali ni aku tak minta hadiah pelik-pelik kat Abah. Abah tetap bagi aku hadiah, Abah peluk dan dan belanja makan. Abah bagi pen mahal, dia suruh aku pakai pen tu sampai masuk universiti.

Aku berjaya masuk boarding school ternama. Ada suatu hari waktu aku balik cuti sekolah, mak ceritakan suatu kisah pada aku. Kisah dah lama berlalu sewaktu kami masih kecil.

Abah pergi kerja naik motor, menuju ke hujung bulan ada kalanya duit tak cukup. Pernah sekali motor Abah habis minyak dan Abah hanya ada RM1 dalam wallet.

Abah isi minyak dan minta di isi dengan nilai RM1. Pump Attendance tu tersalah isi terlebih RM 0.50.

Abah tak ada duit nak bayar tapi esok harinya Abah datang bayar balik RM0.50. Aku tanya Mak, kenapa Abah datang untuk bayar balik, bukan salah Abah pun.

Mak jawab, Abah pergi kerja naik motor dan dengan naik motor tu lah Abah dapat rezeki yang halal untuk bagi anak isteri makan. Cerita Mak lekat dalam ingatan aku.

Aku belajar dua perkara, erti kejujuran dan erti pengorbanan. Selama ni aku tak rasa susah sebab Abah tak pernah tunjuk sisi susah pada anak anak.

Abah hanya tunjuk jiwa besar Abah, Abah tolong anak anak kampung yang susah. Abah belikan hadiah yang aku nak tanpa aku sedar Abah banyak berkorban. Abah tak nak kami susah!!

Aku masuk universiti dengan tajaan biasiswa. Banyak ups and downs.

Adakalanya aku buat Abah marah dengan perangai tak semenggah aku. Aku juga hampir gagal sebab terleka bercinta.  Waktu tu aku tengah frust cinta pertama.

Abah pujuk aku dan Abah cuma cakap kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai.

Aku tak faham pada mulanya tapi kemudian baru aku dapat relate maksud Abah. Kalau tak nak tanggung risiko frust, jangan bercinta!! Akan ada lelaki yang terbaik untuk aku.  Insaf aku kejap.

Fast forward..

Apa Abah harapkan semua aku capaikan. Pendidikan memang ubah kehidupan aku dan adik adik.

Sebelum kahwin aku dah capai apa aku nak, punya kerja yang bagus, bergaji besar, mampu beli rumah sendiri dan bercuti keluar negara setiap tahun. Rezeki aku, Allah kurniakan suami yang sekufu.

Aku belikan Abah kereta baru, bulan bulan aku bayarkan sekali dengan maintenance. Abah tinggal drive je.

Duit belanja Mak Abah memang kami adik beradik bagi setiap bulan sekali pakej bayarkan TNB dan Astro. Memang Mak Abah tak susah. Kami rajin bawa Mak Abah bercuti dalam dan luar negara.

Recently Mak meninggal dunia. Dunia Abah jadi gelap dan aku tak pernah tengok Abah bersedih.

Aku tak sampai hati nak tinggalkan Abah berdua dengan adik bongsu. Adik adik yang lain tinggal di negeri yang berbeza, melainkan aku dan si bongsu. Lepas berbincang dengan suami, kami decide untuk tinggal di rumah Abah.

Kalau kami balik rumah kami, kami angkutla Abah sekali. Aku mungkin once a month visit rumah aku and rotate visit rumah suami pula. Aku pernah janji dengan arwah Mak untuk jaga Abah sebaik mungkin kalau ditakdirkan Mak pergi dulu.

Memandangkan PKP haritu dan aku berkerja dari rumah sehingga kini, Abah dan suami tolong setupkan home office untuk aku di rumah Abah. Aku tahu, Abah takkan nak duduk di rumah aku.

Alasan Abah rumah aku banyak sangat security level, terlalu pricavy dan takde langsung kawasan kedai kedai minum nak mengopi, apatah lagi pasar. Manela nak ada pasar bagai, Jaya Grocer dengan Village Grocer adela.

Kenapa dua benda tu penting, sebab lepas Subuh, Abah suka pergi minum kat kedai kampung dan Abah adalah seorang kaki shopping. Abah suka betul shopping kat pasar.

Lepas duduk sekali dan merangkap tukang masak Abah, baru aku faham tahap shopaholic Abah yabg arwah Mak selalu bebelkan dulu. Ikan ada kat rumah pun tetap Abah ke pasar beli ikan. Sekali beli macam ada 10 orang dirumah.

Aku bukanlah selalu masak di rumah sendiri, habis kerja aku akan ke gym dan suami akan jemput aku di office. Kami banyak makan diluar.

Tapi sejak duduk dengan Abah, aku la jadi chef kehormat. Abah adakalanya mintak aku masakkan lebih untuk sedekah pada jiran tetangga.

Aku masak resepi kebanyakannya pertama kali aku masak dan resepi arwah Mak. Sediakan makan pagi, tengah hari, petang dan malam. Itupun rotate dengan si bongsu.

Cukup memenatkan. Aku belajar untuk manage time kerja, sambil urus hal rumah. Aku bagitau pada suami, penat nya uruskan rumah.

Tapi suami aku cakap, besar pahala aku masakkan untuk Abah. Terus tak jadi mengeluh. Sekarang aku dah boleh adapt dengan rutin baru. Bukan itu sahaja, bila kami keluar makan,

Aku juga jadi ‘dbkl’ habiskan makanan Abah. Arwah Mak dan Abah memang makan berkongsi, sekarang aku dan suami la pulak jadi ahli ‘dbkl’ baru.

Recently, Abah minta aku belikan deep freezer, dengan alasan tak muat dah peti ais kami. Aku belikan je janji Abah tak sedih lagi.

Abah ada tanyakan kat aku, suami aku setuju ke aku decide duduk rumah Abah. Abah cakap kalau suami tak bagi aku tak boleh buat keputusan sendiri. Hakikatnya suami aku sendiri yang ajak pindah duduk dengan Abah.

Baru baru ni, Abah bercuti dengan adik lelaki aku. Aku siap bagi duit kat Abah untuk holiday. Accomodation semua aku sponsor walaupun aku tak dapat ikut serta.

Memandangkan Abah suka shopping boleh agak duit aku bagi Abah habiskan dengan shopping. Abah sibuk beli chocolate beratus ringgit untuk cucu cucu dan untuk anak anak Abah belikan kami cookware.

Abah lately dah up to date, dah tau cookware bagus dan berjenama sejak berhousematekan aku..hihi.. sejak aku pindah rumah Abah aku banyak beli koleksi cookware yang aku suka untuk guna di rumah Abah.

Masih guna jugak cookware arwah Mak. Bila aku tanya Abah apa dia belikan untuk diri sendiri, jawapan Abah takde apa apa.

Bila aku tanya lagi kenapa tak beli untuk diri sendiri. Abah jawab tatau nak beli apa. Memang begitula perangai Abah, akan dahulukan orang lain dari diri sendiri.

Sisi lain Abah, Abah suka tanya pasal kerjaya aku. Pasal career plan aku. Abah cuba untuk faham dunia professional aku. Bukan pada aku saja, bahkan adik adik aku sekali Abah suka ambil tahu.

Di hujung perbualan Abah mesti cakap, buatla keputusan terbaik untuk diri sendiri tanpa membelakangkan Allah. Aku yakin Abah bangga kami semua ‘jadi orang’ akhirnya.

Aku belum punya rezeki anak tapi aku yakin Allah ingin aku berbakti pada Abah sebaik mungkin. Semoga dengan bakti yang sedikit ini menjadi asbab aku ke Syurga.

Adik adik yang lain walau tak ada di depan mata mereka rajin ‘video call’ dengan Abah. Tetap pulang jenguk Abah atau Abah ke rumah mereka. Selalunya aku akan bawa Abah ke rumah adik adik yang lain.

Sejak aku jaga Abah, aku paling takut kalau Abah saki atau cedera. Abah ada penyakit 3 serangkai. Aku perlu ambil tahu segala hal ubat Abah dan monitor waktu makan ubat.

Baru baru ni,  kaki Abah luka. Itupun lepas aku paksa Abah pergi clinic. Adik adik cuba bawak tapi tak jalan,

Abah berkeras tak nak pergi. Terpaksala aku guna kuasa veto, terus bawak Abah jumpa doctor. Abah takut masuk hospital lagi. Malam tu aku memang standby baju siap siap in case kena bawak Abah ke hospital.

Aku tak berapa tido lena sambil jaga Abah.  Itu pun aku buat dressing 3x sehari bersihkan luka abah. Mujurlah aku masih work from home so senang untuk aku jaga Abah dan monitor waktu makan ubat.

Abah siap cakap dia redha kalau sampai ajal. Sungguh aku takut. Tiap hari aku doa Allah jagakan Abah untuk kami dan kurniakan kesihatan yang baik untuk Abah.

Hakikatnya aku belum bersedia untuk kehilangan Abah. Aku masih ingin berbakti untuk Abah. Aku masih ingin belajar sisi baik Abah. Aku nak Abah tanya pasal kerja aku macam selalu.

Aku belum puas membahagiakan Abah. Aku doa Abah panjang umur dan  sihat tubuh badan agar aku dapat terus berbakti untuk Abah.

Duit aku boleh cari, harta aku boleh kumpul. Kalau Abah tak ada hilangla DOA seorang bapa untuk aku. Ya Allah aku masih mengharapkan DOA lelaki teragung ini untuk aku.

Ok aku terpaksa stop. Chef nak kena goreng cempedak untuk Chief makan petang.

Note: To encik suami, thank you sebab sayang Abah saya macam Abah sendiri. Thank you sebab bagi saya peluang berbakti untuk Abah. Semoga awak juga terus jadi Lelaki Teragung untuk saya.

– Moulin De La Galette (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *