Lelaki, Usah Terlalu Jujur Pada Isterimu

Assalamualaikum semua.

Tuan-tuan yang budiman,

Aku surahkan luahan ini agar menjadi pedoman bagi kalian yang belum terlajak berlaku terlampau jujur kepada isteri. Hal ini kerana, aku berada didalam suatu masalah pada hari ini, berpunca daripada keterlanjuran diriku yang jujur berlebihan kepada isteriku semasa awal perkahwinan.

Tuan-tuan,

Genap 6 tahun yang lepas, seminggu selepas majlis perkahwinanku berlangsung, aku telah memberitahu segala rahsia, isi hati dan kisah silamku.

Di antaranya ialah, aku pernah ditunangkan dengan seorang perempuan. Tujuan aku murni dan suci, iaitu berlaku jujur kepada isteriku tentang pertunangan itu atas dasar tiada rahsia antara pasangan suami-isteri.

Tapi Tuan-tuan,

Sampai ke hari ini, acapkali perkara yang tidak masuk akal dikaitkan dengan kisah silamku itu. Sesungguhnya perempuan (baca: isteri) tidak pernah melupakan info/maklumat yang pernah disampaikan.

Mereka menyimpan segala maklumat itu untuk digunakan pada kemudian hari, sewaktu kita sedar, mahupun diwaktu kita sedang alpa menyelesaikan masalah akhirat dan dunia. Walhasil, riwayat pertunangan yang diceritakan adalah kisah silam yang tiada erti lagi untuk diungkit

Maka Tuan-tuan,

Ingin aku ingatkan kalian agar tidak polos (baca: naif) di dalam berlaku jujur kepada isterimu. Cukuplah sekadar jujur apabila pergi Mekkah, niatnya untuk melaksanakan rukun islam ke-5, dan pulangnya sendirian bersama julukan ‘Haji’ sahaja.

Ingatlah pesan pujangga; perempuan yang baik tidak bertanya kisah silam lelaki.

Tuan-tuan yang dimuliakan,

Sesungguhnya anda semua sedar, begitu juga diriku, bahawa isteri yang kita miliki sekarang adalah perempuan terbaik yang ditakdirkan untuk diri masing-masing.

Tetapi, untuk mengelakkan maslahat yang kecil (baca: mendedahkan kisah pertunanagan), adalah suatu kaedah untuk mengelakkan terjebak dengan maslahat yang lebih besar; diungkit, diperli, dikait-kaitkan dengan perkara-perkara yang tidak munasabah.

Ketahuilah, golongan kita ini, sekiranya di jolok dengan isu atau masalah yang munasabah, tentu kita mampu selesaikan dan tangkis dengan jayanya (baca: bil hikmah wal mau’izhah hasanah).

Tetapi sekiranya disodorkan dengan isu konyol (baca: perkara yang bukan masalah, tetapi dijadiikan isu kerana tiadanya konsep kontemplasi bagi sesetengah kaum perempuan), tentunya kita akan malas untuk menangkisnya; kecewa kerana masa dibuang untuk perkara ini (baca: banyak masalah akhirat dan dunia yang masih lagi tidak selesai).

Akhir kalam,

Diharapkan Tuan-tuan yang belum terlajak perahu, ambillah luahan ini sebagai teladan.

Untuk Tuan-tuan yang telah meluahkankan segalanya kepada si isteri, sayugia didoakan agar anda semua tabah dan sabar di dalam tuduhan-tudahan tidak benar yang dilemparkan kepada anda dengan ucapan, “mohon bersabar… ini semua ujian”.

P/s : silalah tag isteri masing-masing agar luahan ini dapat dijadikan rujukan di dalam urusan rumah tangga (terutamanya kepada si suami yang asyik kena tag dengan si isteri.. kah3)

– Aku bukan FS-mu (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *