Madu Atau Hempedu

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Selepas terbaca artikel, https://iiumc.com/mengidam-bau-ex-v/ mengenai kisah pasangan yang masih saling mengasihi tapi terpaksa berpisah, terasa ingin berkongsi kisah saya pula.

Mulanya saja mencari artikel mengenai kisah rumah tangga, terjumpa artikel ni.

Saya membina rumah tangga sekitar tahun 2018. Dikurniakan sepasang cahaya mata yang bijak comel berusia 3 dan 2 tahun.

Asal kisah saya dan suami (saya gelar Durian) sebelum membina rumah tangga bukanlah kisah yang bersifat stereotype, bercinta, bertunang, berkahwin. No.. Kisah kami penuh ranjau dan duri. Banyak yang perlu ditempuh sebelum dapat menjadi suami isteri.

Secara ringkasnya, saya berkenalan atas urusan kerja. Bermula sebagai kenalan biasa. Tiada fasa bercinta. Sering terserempak atas urusan kerja. Saya hanya memandang Encik Durian dengan penghormatan sebagai senior. Kami bekerja di bidang perkhidmatan. Swasta.

Beliau bercerai sekitar tahun 2015. Anak2 beliau seramai 3 orang berada dalam jagaan suami dan keluarga beliau. Melalui kenalan saya dimaklumkan beliau bercerai bukan kerana hal nafkah kerana mereka hidup mewah.

Tetapi puncanya kerana masa. Kesibukan kerja. Kurang kualiti masa bersama keluarga. Tidak semua wanita sanggup bertahan dengan kesibukan suami. Ya. Mungkin itulah ujian mereka. Full stop.

Beberapa tahun perkenalan, kami semakin serasi. Beliau menyuarakan hasrat. Setelah membuat perhitungan, saya perlahan2 menerima.

Halangan utama kami adalah restu keluarga. Puncanya, kerana saya adalah wanita muda berpendidikan tinggi, ada background akademik dan masa depan kerjaya yang cerah. Sedangkan suami adalah lelaki sedikit berusia yang pernah berkeluarga, ada anak-anak.

Walaupun ada kerjaya dan kewangan yang kukuh, namun sejarah kehidupan dan komitmen yang banyak menyebabkan keluarga saya sangat membantah.

Antara alasan utama kerana malu. Tiada lagi dalam sejarah keluarga memiliki anak tiri. Kahwin dengan lelaki jauh usia (sekitar 15 tahun).

Namun entah apa yang merasuk, saya yang selama ini orang yang sangat mentaati keluarga, menjadi contoh sebutan dan idola adik2, sepupu yang selama ni menjadi kebanggaan keluarga bertindak diluar garis kebiasaan sehingga saya sanggup bertindak bernikah tanpa pengetahuan dan izin keluarga.

Ya, saya telah membelakangi keluarga yang selama ni saya sangat sayangi. Sehingga apabila perkara ni sampai ke pengetahuan keluarga, saya di hadapkan ke “mahkamah” keluarga, saya dibawa ke pusat rawatan Islam kerana keluarga berpendapat saya dikenakan ‘ilmu’…

Untuk makluman, sebelum ni suami pernah menghantar wakil dan ditolak mentah2 oleh keluarga saya. Secara mudahnya, saya diminta secara halus untuk bercerai.

Namun setelah melalui banyak ujian, mungkin jodoh kami kuat, keluarga saya terpaksa akur. Keluarga sepakat untuk kami bernikah semula mengikut undang-undang. Jadi dimata rakan2 dan keluarga lain, saya dan suami bernikah dengan restu keluarga.

NAMUN, hakikatnya apa yang menghantui saya sehingga ke hari ini adalah sikap orang tua dan adik beradik yang mula berubah.

Ayah yang selama ni seorang yang mudah berjenaka telah menjadi pendiam bila bersama saya dan suami. Semua seakan menjadi bisu bila saya ada.

Setelah kehadiran anak pertama saya, Allah hadirkan sinar dalam kehidupan kami. Keluarga saya perlahan-lahan mula menerima. Alhamdulillah. Keluarga suami pun sangat mengalu-alukan saya. Kami bahagia dengan kehidupan kami.

Walaupun suami berbeza usia dengan saya, namun kami serasi. Saling meraikan. Dia suami yang menjaga solat, suka bersedekah, tidak cerewet, sangat memahami. Contohnya bab makanan, hal rumah. Apa saja yang dihidang, suami makan.

Kalau saya penat, suami tolong uruskan seperti membasuh baju, uruskan anak. Mungkin kerana sifat inilah yang menyebabkan akhirnya keluarga saya mula menerima kehadirannya. Ya, seperti yang pernah dikatakan ustaz yang pernah merawat saya dulu, dia lelaki bertanggungjawab.

Namun, ibarat perumpamaan disangka panas hingga ke petang rupanya ribut melanda di pertengahan hari. Bagai benar apa dikata, masakan lidah lagi tergigit. Hidup berumah tangga penuh ujian. Tidak semua indah. Penuh perisa. asam garam pahit manis.

Sudah namanya kehidupan. Selagi hidup selagi itu akan diuji. Sudah kami lalui fasa bahagia, kini bermula fasa ombak badai. Ribut.

Segalanya bermula bila ex-wife mula hadir. Mula menghubungi semula anak2 yang sudah remaja. Mula menghasut anak2 memusuhi saya. Kehidupan manis mula berubah rasa.

P/s: Rasa lega sedikit dapat meluah rasa. Tapi sudah lewat malam. Ada masa saya sambung ye. Jika admin tak siarkan pun tak apelah. Rasa lega dapat menulis. Saya guna gelaran buah sinonim dengan karakter kami. Tak apelah ye.

– Delima (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *