Pertama sekali, terima kasih kalau luahan ni disiarkan.
Saya sudah 8 tahun berumahtangga dan sudah mempunyai dua orang anak. Baru-baru ni, saya melahirkan anak yang kedua, dan mak saya telah memaksa ayah saya benarkan dia tinggal di rumah saya dengan alasan mahu menjaga saya dalam pantang. Saya izinkan walaupun tidak ada persetujuan dengan suami, kerana dia tak mahu terjadi lagi drama macam masa saya bersalin anak sulung.
Namun, beberapa minggu sebelum mak datang, mak saya telah menjemput dua orang adik-beradik saya supaya ikut sekali kerana kononnya saya boleh tumpangkan mereka sementara mereka cari kerja di sini. Saya bantah, sebab saya tak mampu tumpangkan lebih dari seorang, atas sebab kewangan dan rumah yang sangat kecil.
Mak berkecil hati lalu memaki saya anak derhaka dan suami saya ‘loser’ kerana tak mampu sewa rumah yang besar, dan menyuruh kami berdua ‘rot in hell’. Saya diamkan dulu dan bersabar. Dua hari kemudian, mak sumpah saya supaya mati bersalin. Saya berasa sedih lalu menyuruh mak jangan datang. Suami saya pun tak bagi.
Tapi mak datang juga, dengan alasan tiket flight dah beli. Mak datang dengan salah seorang adik saya. Saya dan suami berdiam diri saja. Sesampai di rumah saya, mak saya cakap macam ni, “Oo.. ingat rumah kamu at least ada la halaman.. rupanya sempit je.” Mak saya menyuruh ibu mertua saya tak perlu datang untuk jaga saya, sebab mak ada boleh jagakan. Walaupun saya ketika itu baru 4 hari keluar dari hospital, dalam pantang, saya tak merungut walaupun terpaksa uruskan diri sendiri.
Saya langsung tak merungut walaupun terpaksa mop lantai sebab mak saya makan dalam bilik, bawa makanan dari dapur tapi tak bawa pinggan sekali, biar makanan tumpah dan pijak pula. Saya tak boleh biar lantai kotor sebab anak sulung saya selalu bergolek di lantai tu.
Mak duduk dalam bilik saja (bilik anak sulung saya, dia terpaksa berkongsi katil dengan kami). Mak akan masak satu lauk, dan biar adik saya makan benda yang sama sampai terpaksa korek periuk, makan nasi dengan kuah saja. Tahan dua hari. Mak cuma rehat dalam bilik dan tutup pintu.
Saya terdengar mak saya merungut kepada adik saya tu, yang suami saya tak berduit, dan saya pula tak pandai uruskan anak. Tak bagi anak saya masuk bilik sebab tak mahu dia terdengar dan report. Saya diam saja.
Hari ketiga, mak beritahu saya yang dia nak balik. Saya tanyalah kenapa. Dia bagi alasan yang adik saya minta nak balik. Sambil tu, muka mak saya mencuka, memandang sekeliling rumah saya yang kecil ni, dengan pandangan yang jelik. Saya kecil hati. Saya fahamlah mak bosan duduk sini, kami tak mampu ada rumah besar, dan suami pula kerja sepanjang hari tak boleh bawa mak berjalan-jalan.
Jadi keesokan hari, saya paksa suami saya bawa mak beli barang dapur. Mungkin mak nak masak benda lain, daripada biar adik saya ratah kuah dengan nasi je. Tapi di supermarket, mak cuma beli yogurt dan buah-buahan, tak beli pun bahan-bahan untuk memasak. Jadi, saya belikan ayam, sayur, keju, daging dan sebagainya.
Sesampai di rumah, mak terus berkurung dalam bilik dengan adik saya, biarkan saya yang dalam pantang ni uruskan barang-barang mereka yang baru dibeli. Suami pula sedang memasak, dengan satu tangan mendukung baby.
Tiba-tiba mak saya keluar dari bilik, ambil sesuatu di meja makan, dan bawa makanan masuk dalam bilik. Makanan tumpah lagi, sampai meleleh ke ruang tamu.
Hati saya sakit. Saya belum hilang penat mengemop semalam sampai nak bentan tapi mak kotorkan lantai lagi. Saya merungut-rungut seorang diri. Suami saya terdengar, tapi sebab sibuk memasak sambil dukung anak yang menangis, dia diam saja. Anak saya tu pula jenis menangis menjerit macam budak kena cekik.
Mak saya keluar dari bilik lagi, mulalah sibuk-sibuk, “Hei kamu buat apa dengan anak kamu tu??”. Suami saya pun menjawab, kalau boleh makanlah di meja, jangan bawa makanan masuk bilik. “Isteri saya penat mop lantai. Dia dalam pantang. Mak datang sebab apa sebenarnya?”
Mak saya jawab, dia datang sebab saya yang merayu mintak mak datang, sedangkan dia sebenarnya tak hingin datang sini. Saya jawab kenapa mak bohong. Saya ada bukti mesej saya kepada mak dan ayah yang saya tak izinkan mak datang selepas mak maki-maki kami sebelum ni.
Terus mak masuk bilik, tutup pintu dengan adik saya. Saya panggil mak keluar bilik supaya kami boleh berbincang secara bersemuka, daripada kutuk dan mengumpat di belakang saja. Tapi mak menyuruh adik saya halau saya keluar dari bilik. Mak tuduh saya meroyan sebab tak tahan sakit pantang dan penat jaga baby menangis.
Kali kedua saya cuba masuk bilik (sebab nak ambil baju anak saya yang sulung tu, tu bilik dia dan dia nak mandi), adik saya tolak saya sampai jatuh. Mak saya tersenyum saja. Nasib baik tak terbuka jahitan saya masa tu. Saya ugut nak panggil polis. Adik saya takut, dan mak saya hantar mesej kepada bapa mertua saya, suruh dia carikan hotel untuk mereka.
Bapa mertua saya tak mahu tolong mak, sebab mak dah hina dan maki anak dia, iaitu suami saya. Tapi mak saya bersumpah dia tak pernah hina suami saya, walaupun saya ada screenshot mesej mak saya tu dan forward pada semua orang yang terlibat. Jadi, mak mertua saya yang tolong, walaupun hati dia berat dan marah.
Mereka duduk di hotel sehari saja, lepas tu balik rumah. Dah sampai rumah, mak fitnah saya ni pendera anak, yang saya ni kurung mak dalam bilik dan ugut untuk panggil polis sebab saya meroyan luar kawalan. Mak juga kata yang dia sangat penat menjaga saya dalam pantang (sedangkan dukung baby pun tak pernah) tapi saya halau dia pula. Mak batu apikan adik-adik, supaya mereka bencikan saya.
Ok. Saya malas nak berterusan bergaduh dengan mak, jadi saya hentikan setakat tu. Saya biarkan mak layan perasaan dia sendiri. Hari raya, saya mohon ampun dan maaf. Tu saja mesej saya kepada mak sebab lepas ni saya tak mahu dah berurusan dengan mak.
Tapi tak sampai sebulan lepas tu, mak hantar mesej maki hamun lagi. Saya tak faham kenapa. Mak maki saya babi, sumpah saya jadi babi, suruh saya dan suami masuk neraka sebab anak derhaka. Dan mak juga ugut yang dia boleh ambil anak-anak saya bila-bila masa pun sebab dia ada hak, darah daging dia.
Mak juga menyuruh adik saya hantar mesej ke anak sulung saya, maki hamun dan berkata yang kami ni ibu bapa yang jahat, dan supaya jangan datang tengok mereka lagi kerana mereka akan panggil polis tangkap saya. Ugut untuk mesej mertua-mertua saya, porak perandakan keluarga mertua saya.
Saya jawab kepada mak, jangan risau, saya sampai mati takkan balik ke situ dah kalau tak bersebab. Saya faham mak mungkin cemburu tak dapat berkongsi kasih sayang dengan cucu-cucu dia di sini. Saya doakan mak gembira dengan keluarga sempurna yang mak bina di sana, dan kalau boleh jangan ganggu keluarga saya di sini.
Saya screenshot dan beri pada ayah. Saya minta ayah tolong tengokkan adik saya tu. Ayah saya kata mak tu kecil hati sebab apa yang saya tulis di Facebook, sedangkan benda terakhir di situ yang saya tulis adalah tentang Pokemon dan tak ada kena-mengena dengan mak.
Tapi adik-adik saya hantar mesej bukan-bukan kepada suami saya, konon suami saya dayus membiarkan isteri buat apa yang di suka dan ugut untuk kacau keluarga mertua saya. Suami saya block mereka kerana tak mahu bergaduh.
Mak saya salahkan ayah saya tak pandai urus keluarga, sebab itulah adik-adik saya berperangai begitu. Mereka bergaduh teruk hingga mak saya menyuruh adik saya pukul ayah saya. Ayah lari dari rumah sebab tak mahu terus bergaduh. Biar mak reda dulu.
Saya pula terpaksa suruh mertua-mertua saya block semua orang. Anak sulung saya juga dah block mereka. Saya sedih tak dapat berhubung macam keluarga normal yang lain, tapi saya rasa ini cara terbaik untuk pertahankan keluarga saya yang kecil ni. Biarlah mak hina dan fitnah kami, asalkan anak-anak kami tak perlu lalui semua tu. Saya gembira walaupun kami tak berduit, kami tenang dan tak ada batu api.
– Anak Derhaka
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit