Mangsa – https://iiumc.com/forumv2/
Hampir lapan tahun aku menderita. Sakit yang sukar untuk digambarkan. Perasaan yang susah diterangkan. Kadang-kadang bila orang bertanya keadaan aku sekarang, hanya senyuman dan “Alhamdulillah. Aku okay je” jawapan yang akan diutarakan. Bukan tidak mahu berkongsi rasa dan perasaan, terkadang terasa diri ini seolah menyusahkan orang lain. Terkadang, tak semua mahu tahu apa yang terjadi pada diri ku. Mereka bertanya sekadar untuk berbasa-basi. Bukan negatif, tapi lapan tahun mengajar aku banyak benda. Jujur, dulu aku memandang yang indah-indah sahaja. Sehinggalah satu hari kawan yang aku anggap akan sentiasa bersama suka dan duka, lebih percaya pada cakap-cakap orang. Kawan yang aku kenali sejak kecil, mula menjauhkan diri. Mempersoalkan hakikat kesihatan aku. Katanya,
“Ala, kau stress je tu. Cuba chill je. Takdelah kau terjerit-jerit’.
“Serius kau sakit? Tapi, Dr cakap kau sihat je. Takde pun dia cakap apa-apa. Permainan perasaan je tu”
Dan banyak lagi. Ye, sakit aku bukan sakit yang boleh dibedah, makan ubat dan terus sihat. Aku mangsa sihir. Sihir.
“Tahyul gila kau. Nampak je moden. Hahahaha”
Kawan, kalaulah kau tahu apa yang aku rasa, apa yang aku alami..Tapi, aku sama sekali takkan mendoakan yang buruk buat kau. Untuk makluman kau, aku jujurnya tidak mempercayai yang aku akan terkena sihir. Pada hemat aku, siapa pulak nak sihir aku. Aku orang biasa-biasa je kot. Bukannya kaya pun, tapi cukup rezeki. Bukannya cantik sangat, tapi sedap mata memandang.*okay, perasan* Bukannya pandai pun, dan bermacam-macam lagi bermain di benak fikiran aku. Takpelah, Allah dah tetapkan qada dan qadar aku. Ini ujian buat aku. Ujian kesihatan dan ujian persahabatan.
Aku juga tak tersangka kau lebih mempercayai mulut orang kononnya aku yang bermain bomoh. Hantar pada orang yang sekarang kau anggap teman dunia akhirat. Kalaulah aku yang bermain bomoh, sudah pastilah aku sama sekali tak akan berani mengajak ustaz-ustaz memagar rumah dengan ayat suci al-quran, menjalankan perubatan dalam kaedah Islam. Ustaz-ustaz yang aku jemput ke rumah pun kau kata ustaz fake. Padahal ustaz tu aku jemput dari Darussyifa’, Darussalam. Takpelah, kalau kau masih lagi tidak mempercayai aku. Tapi, terima kasih kerana pernah datang dalam hidup aku sebagai kawan dan terima kasih juga kerana pergi dari hidup aku. Buat sahabat dan mereka yang masih lagi wujud dan memberikan sokongan moral pada aku, jujur aku terhutang budi buat kalian. Terima kasih. Semoga Allah membalas jasa kalian dan melindungi kalian daripada segala ancaman.
Dan percayalah kalian yang masih tidak mempercayai masihnya wujud lagi amalan sihir menyihir, santau memantau, saka pada zaman sekarang, ianya masih lagi wujud! Lagi pun, Allah sendiri ada menyebut mengenai kewujudan makhluk ghaib di muka bumi dalam AL-Quran. Siapa pulak kita untuk mempersoalkannya. Nantilah, ada masa aku akan coretkan mengenai kesengsaraan menderita penyakit yang takde orang boleh nampak. Cuma, aku pohon doa kalian, doakan aku sekeluarga dan juga mangsa-mangsa yang lain kembali pulih. Buat mereka yang mengamalkannya, hentikanlah. Takut tak sempat memohon ampun dan maaf pada Dia dan mereka yang dizalimi.
– -F-