Masalah Keluarga

Asssalaamu’alaikum warohmatullaahi wabarakaatuh kepada pembaca sekalian. Rasanya saya tidak perlu perkenalkan diri, apa yang penting pembaca tahu bahawa saya adalah penulis cerita ini.

Kejadian berlaku ketika saya berusia 16/17 tahun, masa berlaku adalah pada waktu dinihari (maksudnya, pagi-pagi buta).

Mak, ayah dan saya ketika itu tidur di ruang tamu dikejutkan dengan panggilan daripada dua orang pemuda lelaki.

“Assalaamu’alaikum.” dalam 2/3×.

Ayah bingkas bangun, begitu juga mak. Ayah membuka pintu dan menjawab salam dari dua orang anak muda tadi.

Ayah bertanya tentang tujuan kedatangan mereka pada awal pagi itu, dua orang pemuda yang datang tadi membawa “bad news” khabar buruk bahawa abang saya telah ditahan oleh polis dan dibawa ke balai atas kes air ketum.

Ayah saya jadi susah hati, mak pun begitu juga. Dipendekkan cerita, ibu saya menghulurkan RM 1,000 agar mereka berdua menutup aib tersebut dan supaya mereka tidak menceritakan pada orang lain.

Agak lama juga abang saya duduk di lokap, ayah saya pergi ke Kelantan dan pergi pulak ke Johor dari Pulau Pinang semata-mata untuk selesaikan kes tersebut.

Ayah saya bayar jamin untuk abang saya, ini sudah kali ke-2 abang saya dibebaskan dari tahanan polis. Itu pun nasib ada seorang abang polis yang baik hati menolong ayah saya selesaikan masalah itu.

Tidak cukup dengan itu, sikap abang saya selalu pulang lewat malam walaupun sudah kali ke-2 dibebaskan dari lokap.

Masa itu ayah saya sedang melakukan kerja, abang buat perangai depan ayah lalu ayah pun marah pada abang. Pagi-pagi buta lagi suasana rumah kami dihiasi dengan kemarahan.

Kakak saya bersama anaknya yang tidur di ruang tamu pun mendengus sebab terganggu dengan suara ayah. Ayah siapa yang tak naik angin kan kalau anak buat perangai macam itu.

Suatu hari, saya pergi ke satu majlis kenduri yang diadakan di tempat kami. Saya agak terkilan apabila terdengar perbualan dari seorang pakcik yang mengatakan bahawa abang kepada si fulan adalah seorang Hafiz al-Quran.

Saya rasa cemburu dan bersedih, wajah siapa yang tidak muram bilamana seseorang menginginkan yang terbaik untuk keluarga sendiri tapi tidak dapat.

Demi Allah saya katakan, saya melayan juga laman sosial dan melihat kebahagiaan orang lain. Ya Allah, begitu bahagia sekali dan amat berbeza sekali dengan kehidupan saya dengan adik beradik.

Adik beradik mereka bagus, berpelajaran, ada masa untuk bermain, bergelak ketawa, sepahkan bilik, gaduh-gaduh manja, ada yang sambut birthday lagi. Semua ini tidak wujud dalam kehidupan keluarga saya.

Ayah saya juga mengharapkan kami ada pelajaran dan mempunyai kerja yang baik, tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Abang seorang lagi sudah berkahwin, ada isteri tapi abang saya suka marah-marah sampai kakak ipar saya pun jadi takut. Yang kakak pula, si suami entah ke mana, sudah empat atau tiga tahun tidak pulang menziarahi mentua.

Saya pula hidup di sekolah seolah-olah tiada apa perkara yang menggembirakan, ada kawan baik tapi kawan baik yang tak berguna, menyakitkan hati dan jiwa.

Dan sekarang ini saya masih dalam kesedihan, kadang-kadang perasaan ini bertukar. Sampai satu tahap saya mahu bunuh diri.

Hampir air mata saya keluar bila mengenangkan balik keadaan hidup saya yang tidak sama seperti orang lain.

Ya, saya tahu pembaca mesti akan menasihati saya agar saya tidak perlu membandingkan kehidupan sendiri dengan kehidupan orang lain.

Saya faham itu, namun maksud saya ialah saya mahu suasana Rahmah, Sakinah dan kasih sayang wujud dalam keluarga dan juga kehidupan saya sehari-hari (termasuk juga dalam persahabatan dan masyarakat).

Memang perjalanan hidup kita tidak sama dengan orang lain dan kita melalui takdir yang berbeza-beza, cuma apa yang kita harapkan agar Allah ubah suasana hidup ini untuk keselamatan jiwa.

Lagipun saya adalah orang yang dikenali oleh masyarakat sebagai orang yang selalu membaca hadis selepas waktu subuh dan asar, menjadi imam bagi dua tempat iaitu di masjid dan di surau, memimpin bacaan doa dan majlis marhaban.

Saya tidak mahu keluarga saya menjadi fitnah, nanti apa pula tanggapan orang pada keluarga saya kerana kelihatan pelik.

“Eh, adik soleh tapi abang?”

Allahu, siapa yang tidak rasa malu kan?

Jadi, buat masa sekarang ini saya mahu berjalan perlahan-lahan membaca satu persatu kejadian. Alhamdulillah, Allah masih beri kekuatan untuk saya teruskan berdoa walaupun ada juga perasaan putus asa.

Mudah-mudahan pembaca sekalian ambil iktibar dari kisah saya ini, saya tahu pembaca sekalian mesti mempunyai keluarga yang lebih baik dari saya maka bersyukurlah seadanya dengan melakukan ketaatan kepada Allah Subhaanahu Wa-Ta’aala.

Wallaahu a’lam.

Sekian, terima kasih.

– Ahmad (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *