Masalah Mulut & Nafas Berbau

Assalamualaikum & salam sejahtera buat admin & pembaca IIUM Confession. Izinkan saya perkenalkan diri sebagai ‘hamba Allah’ sahaja. Saya seorang lelaki, berusia pertengahan 30 an & berkerja sendiri.

Seperti anda semua, saya juga penggemar IIUM Confession kerana saya suka membaca & mendengar pengalaman hidup orang lain yang sudi berkongsi.

Bukan untuk ‘menyibuk’ tetapi lebih kepada mengambil pengajaran buat diri saya. Juga untuk menimba pengalaman hidup dari kaca mata orang lain.

Setelah membaca dua kisah berkenaan masalah mulut berbau, Allah gerakkan hati saya untuk berkongsi kisah saya sendiri & bagaimana cara untuk mengatasi masalah tersebut dengan izin Allah.

Terus kepada tujuan utama, saya terkesan pada dua kisah iaitu Mek & Maya (nama samaran) yang mengalami masalah mulut berbau, (https://iiumc.com/aku-nak-sangat-jadi-macam-orang-normal/).

Kenapa? Dahulu, ketika di alam sekolah menengah saya juga pernah diuji dengan ujian yang sama.

Dari sudut cabaran pada mental & emosi, barangkali lebihkurang sama sahaja. Mengelak dari bercakap, tak ada keyakinan diri apatah lagi saya memang seorang yang pemalu (sederhana).

Reaksi kawan-kawan yang kerap menutup hidung & riak wajah yang tidak selesa setiap kali saya berbual membuatkan saya sedar akan masalah mulut berbau. Rasa bersalah & kasihan pada kawan-kawan buatkan saya tekad untuk mencari solusi.

Namun awal usia remaja apalah sangat yang boleh difikirkan untuk masalah sebegitu. Seingat saya umur saya ketika itu baru menjengah ke 14 tahun.

Setiap hari sebelum ke sekolah saya akan beli gula-gula & pastikan cukup untuk sampai habis waktu sekolah. Dan saya akan makan mengikut masa yang sesuai/waktu yang memerlukan saya untuk bercakap.

Diawalnya perkara ini sedikit sebanyak membantu. Rasa lega sangat-sangat bila curi-curi tengok wajah kawan-kawan selesa. Tak ada yang tutup hidung. Tak ada yang beriak wajah tak selesa.

Namun lama kelamaan, saya terfikir sampai bila nak makan gula-gula? Kerana ada ketikanya bekalan gula-gula saya juga akan kehabisan bila ada kawan-kawan akan minta bila tahu yang saya selalu bawa gula-gula.

Jadi solusi pertama belum membuatkan hati saya lapang. Saya mula tertekan, sedih & semakin tak banyak bercakap.

Alam persekolahan adakalanya terasa membebankan bila tidak dapat bergaul sepertimana kawan-kawan yang lain sedangkan saya seorang pelajar yang duduk dalam kategori kelas pelajar pandai.

Saya percaya, setiap orang yang ada masalah berkenaan diri, amatlah sukar untuk berkongsi. Mungkin takut ditertawakan atau disebarkan. Begitu juga dengan diri saya. Terasa begitu aib.

Namun bila dipendam, semakin lama akan semakin hebat tekanan emosi/mental.

Namun Allah Maha Penyayang. Waktu cuti sekolah selepas PMR, ditakdirkan satu malam saya dan sepupu (lelaki) sepakat untuk tidur di rumah nenek.

Pada malam itulah saya bagi hint pada sepupu yang paling rapat dengan saya. Bagi hint bukan apa, sebab malu nak direct share masalah saya.

Saya cuma kata saya ada masalah tapi malu sangat nak cerita. Tapi sebab kami rapat, dia pujuk saya share. Berjam-jam juga kami berbual sambil-sambil dia pujuk saya.

Akhirnya saya luahkan masalah saya & kami sama-sama menangis. Hehe. (Maaf rasa kelakar bila teringat)

Akhirnya sepupu bagitahu cubalah LISTERINE. Pastikan pakai yang versi original (yang warna kekuningan tu ya) bukan yang versi warna biru (yang ni rasa manis sikit). Versi original ni lebih kuat rasa pedas ketika berkumur. Ala-ala wasabi gitu.

Keesokan harinya, saya terus cuba. Saya pakai setiap kali selepas gosok gigi. Pagi dan sebelum tidur. Tapi disebabkan cuti sekolah, saya tak fikir sangat kesannya sebab tak perlu berbual rapat-rapat dengan kawan-kawan sepertimana di dalam kelas.

Bila masuk sahaja musim persekolahan, segalanya selesai begitu sahaja. Berbual dengan kawan-kawan tanpa ada langsung rasa ragu-ragu bila perasan tak ada seorang pun yang tutup hidung atau bereaksi tidak selesa seperti mana beberapa tahun sudah.

Alhamdulillah. Masa tu hanya Allah saja yang tahu betapa lapangnya hati ni.

Yang baiknya sepupu saya ni, dia sentiasa ambil tahu perkembangan masalah saya sampailah saya bagitahu, masalah mulut berbau dah selesai.

Jadi buat Mek & Maya (bukan nama sebenar), atau sesiapa jua yang ada masalah mulut/nafas berbau, cubalah pakai LISTERINE (disarakan versi ori) sekurang-kurangnya dua kali sehari pagi & sebelum tidur.

Saya doakan semoga Allah permudahkan segala apa jua permasalah kita semua. Aamiin. Sekian, salam sayang dari saya.

– Hamba Allah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://IIUM Confession.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *