Menantu Adalah Anak Perempuan Jadian Mertua

Assalamualaikum dan hai. Aku seorang isteri, ibu kepada dua anak dan juga mempunyai pekerjaan mulia iaitu suri rumah.

Sudah 6 tahun hidup berumahtangga dengan suami tapi belum ada rezeki berumah sendiri. Lebih tepatnya mertua tidak ingin kami tinggal berasingan dengannya sebab merasakan kewangan kami suami isteri belum kukuh.

Alhamdulillah kewangan mertua kukuh sekukuh kukuhnya sebab tu merasakan mampu sara kami suami isteri dan anak-anak. Kenapa nak sara kami? Sebab suami diminta untuk melanjutkan pelajaran keperingkat yang lebih tinggi lagi.

Mulanya aku pun sama di arahkan untuk lanjutkan pelajaran tapi rezeki mengandung awal dan perlu jaga anak2.

Aku dan suami boleh dikatakan berkahwin awal. Habis sahaja kami tamat belajar diperingkat ijazah, aku dan suami yang masatu belum berkahwin sempat bekerja selama setahun.

Kami bekerja di negeri yang sama dan membuat mertua dan ibubapa ku risau kalau terjadi perkara buruk belakang hari sebab kami bekerja di tempat jauh dari keluarga. Jadi kami pun berkahwin atas restu semua orang.

Setahun berkahwin, aku mengandung. Aku mendapat alahan teruk jadi terpaksa berhenti bekerja. Mertua pula arahkan suami sambung belajar sebab ada peluang.

Mertua sangat baik tidak kedekut dan melayanku dan anak2 sangat baik. Yang tak bestnya aku tetap menantu dan akan kalah dengan yang namanya anak kandung.

Suami hanya ada 2 orang adik beradik. Suami bongsu dan ada seorang kakak yang hanya beza 2 tahun umurnya dengan aku dan suami. Kakaknya ini sekarang sudah memiliki pangkat doktor tapi belum bekerja sebab belum habis belajar.

Sementara dia belum bekerja, maka dia tinggallah dengan kami anak beranak dan mertua. Iparku ni baik cuma pandai moody. Kalau angin tak baik semua orang tak dilayannya kalau angin baik, maka baik la juga dia.

Bayangkan pagi ni kamu bergurau senda tiba2 tengah harinya dia boleh jeling kau dan tak layan. Entah di mana lagi silap mu. Kadang perkara kecil pun dia boleh marahkan contoh aku lupa menutup suis kipas apabila tidak berada di ruangan tu sudah.

Mostly yang buat moodnya tak okay memang berpunca dari aku la yang kadang aku pun tak sedar aku punca. Kalau dah mood tak okay memang jelingan dan kadang sindiran la yang kau dapat. Tinggal free kan tak perlu kisah bil api air.

Kami dulu ada pembantu tapi dah berhenti. Mertua pun dah pencen jadi dia pun dah tak cari pembantu. So kerja rumah 100% aku yang buat.

Mulanya mertua tidak juga selalu menyuruhku buat sebab aku ada anak kecil. Buat mana yang termampu sahaja. Tapi dalam masa sama beliau selalu mengadu kepadaku yang beliau penat dan iparku bila disuruh mesti marah2 dan akan merajuk. Kurung diri di bilik.

Mertua meluah sampai nangis2. Jadi aku yang tempat meluah ni pun mulanya membantu sebab sedar diri juga yang hidup menumpang dan banyak di tolong mertua.

Tapi lama kelamaan pekerjaan tu semua jadi tanggungjawabku dan bila tak dibuat akan jadi amukan mertua. Terasa diri ini pembantu akhirnya. Sedangkan anak perempuannya hanya goyang kaki.

Aku setiap hari memang tidak akan keluar bilik selagi anak2 ku tidak bangun. Sebab boleh histeria anak2 ku kalau bangun tiada aku di sisi. Tapi anak2 ku bukan la sejenis bangun lambat. Jam bangun dia orang pun sekitar 6-8 macam tu. Kadang jam 9.

Dan jika jam 9 baru aku keluar bilik mula la di cakap pemalas bangun tengah hari padahal baru jam 9 ya. Sedangkan iparku yang betul2 bangun tengah hari mertua hanya butakan mata sebab risau anaknya akan merajuk bila ditegur.

Mertua selalu cakap tak nak bezakan aku dengan anak perempuannya tapi 10 kerja yang aku buat akan dilupakan bila iparku buat 1 pekerjaan.

Selalu aku berterus terang dengan mertua pasal ketidakpuasaan ku ini, kenapa aku selalu di marah jika tidak buat kerja. Kenapa aku sahaja yang buat kerja.

Ya mertua sedar semuanya. Meminta maaf, menangis2 menyuruhku tidak ambil hati tapi dia tiada pilihan sebab takut iparku merajuk. Mahu juga aku buat sama seperti iparku kuat merajuk.

Tapi ntahlah terasa berdosa pula sedangkan mertua banyak membantu ku. Dan itu bukan diriku. Aku merasakan perbuatan tu salah dan kenapa aku perlu buat benda salah begitu.

Kedua2 mertua ku sedar akan sikap iparku yang selalu tidak melayanku dengan baik tapi tetap aku yang di suruh berbaik-baik dan ambil hati iparku balik. Aku di jamu dengan kata2 motivasi yang memaafkan itu indah.

Mertua juga cakap sedangkan mereka ibubapanya boleh tidak ditegur apabila dia marah apa lagi aku yang hanya adiknya sahaja.

Suami ku memang sudah bertahun tak ditegurnya dan kami pun tidak tau apa masalahnya sampai tidak ditegur. Dan rasanya aku pun akan ikut jejak juga sebab mula sudah tidak ditegur.

Jika dulu aku tidak kisah tapi sekarang menjadi kisah sebab iparku kini tinggal lama di rumah ni dan Kami sebagai adik memang selalu disuruh mengalah sebab kami adik.

Bayangkan azabnya tinggal sebumbung dengan orang yang tak suka kau. Memang tak di dera fizikal tapi sepertinya didera mental.

Mertua cakap ipar memang dah tak boleh di ubah. Jadi kalau aku boleh berpikir waras, pikirlah waras. Maafkan lah dan ambil yang jernih buang yang keruh.

Mertua jadikan aku menantunya ini sebagai anak perempuan impiannya yang dibentuk sesuai keinginannya.

Mertua impikan anak perempuan yang selalu membantunya, yang bangun awal terus buat kerja rumah, yang pandai buat kerja rumah serba serbi. Yang bila di marah tidak akan melawan dan hanya mengikut kata.

Dia tidak dapat jadikan anak perempuannya seperti itu, maka menantunya ini menjadi sasarannya.

Aku mulanya ikhlas atas dasar membalas budi tapi menjadi tidak ikhlas. Macam aku cakap 10 kebaikan yang aku buat akan kalah dengan 1 kebaikan yang anak perempuannya buat.

Jika anak perempuannya buat kebaikan habis sekampung dicanangnya. Tapi kebaikanku perkara biasa baginya yang memang itu kewajipanku yang perlu kubuat.

Mertua pernah cakap dia salah mendidik anak2. Anak manja dari kecil serba serbi cukup ada pembantu yang buat itu ini. Sebab tu mungkin anak perempuannya itu tidak tahu membuat kerja.

Alasan mertua tidak ambil pembantu sebab dia sudah pencen dan pekerjaan rumah dia boleh uruskan sudah. Tapi sepertinya mcm pekerjaan tu beralih arah kepadaku sudah.

Mahu berumah sendiri tapi suami masih bersekolah dan kami tiada pendapatan lebih. Aku pernah berniaga online tapi tidak terurus sebab membuat pekerjaan di rumah besar ini yang tidak pernah habis sekaligus menjaga dua budak kecil.

Mahu berkerja tapi anak2 tidak mahu berpisah, masih menyusu badan. Ditambah mertua pun tidak menyuruhku bekerja sebab ada mereka yang membantu kewangan kami asalkan tinggal bersama mereka.

Terima kasih admin jika siarkan luahan aku ni. AKHIR SEKALI AKU PENAT.

– Bulan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

3 Comments

  1. Sendiri sanggup jadi bibik. keluar la duk sendiri.
    ”jauh bau bunga, dekat bau tahi” tu je nk bgtau.

  2. sedih sy baca.. mesti akak rasa macam masalah tak selesai pun kan. Sepatutnya bila kita dah kahwin, tanggungjawab tu pada suami.. bukan lagi bergantung harap pada emak/ayah mertua. Bina lah kehidupan rumahtangga ikut kemampuan kita, berdikari sendiri ikut acuan sendiri, belajar berumah tangga sendiri, takde siapa yg sedap2 nak bagi arahan.. sebab tu org cakap dekat2 bau busuk, jauh2 wangi.

    Sebenarnya banyak hati kena jaga bila kite duk sekali dengan kluarga mertua, banyak kepala kena ikut mana boleh. Nak tenang, nak bahagia baik kita duk asing dan jauh. Kekurangan kita pun orang tak nampak.

    Semoga akak bincang elok2 dengan suami.. dan buatlah keputusan yg terbaik buat rumahtangga akak. Kita bahagia, insyaAllah anak2 pun hidup bahagia..

  3. Sedangkan mak kandung pun susah nak jadi adil utk anak2 sendiri.. inikan pula menantu.. sy dulu pun mcm awak, 10 kebaikan yg sy buat buat takkan dpt menangi hati ibu kandung bila 1 kebaikan yg dibuat abg kandung… Baik pindah je.. duit boleh dicari..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *