Menantu dan Mertua Hantu

Aku nak cerita kisah ibu aku dan juga kakak ipar aku. Tapi sebelum tu aku akan cerita dulu serba sedikit kisah ibu aku.

Ibu aku berkahwin dengan ayah selepas tamat spm dan mereka berkahwin kerana pilihan keluarga. Menjadi menantu pilihan keluarga bukan ‘tiket’ untuk ibu dapat layanan istimewa dari mertua malah ibu aku dapat layanan sangat-sangat teruk seperti seorang hamba.

Walau ibu hanya tinggal sekejap saja di rumah mertuanya merangkap nenek aku, tapi ibu tetap terseksa dengan layanan yang diberi walau dah tinggal berasingan dengan nenek. Tapi aku kagum dengan ibu sebab masih bertahan hingga sekarang.

Nenek aku pula, bila sudah tua perangai dah berubah cuma masih ada sikit-sikit perangai lama. Mulut laser dan tak makan saman dia masih ada. Bila anak-anak dah besar, kami lah tempat ibu meluah perasan dan kami juga lah yang akan membidas semua kata-kata pedas nenek dan kami juga yang jadi bodyguard ibu setiap kali nenek memarahi ibu. Tapi kami masih hormat dan sayang nenek.

Bila ibu pertama kali dapat menantu perempuan, ibu mahu menantu untuk menolongnya bersama di dapur. Tipikal ibu mertua yang mahukan menantu perempuan yang tahu membuat kerja rumah.

Nak dijadikan cerita, kakak ipar aku juga tipikal orang muda zaman sekarang yang bangun lambat dan liat masuk dapur tambah pula kakak ipar aku bekerja. Jadi pagi-pagi memang dia bangun hanya untuk bersiap ke pejabat.

Oh ya, masa tu awal-awal perkahwinan diorang duduk di rumah ibu. Ibu aku juga pernah termarah kakak ipar aku disebabkan tak tolong ibu di dapur sediakan sarapan. Aku paham kenapa ibu bersikap begitu sebab ibu dilayan begitu oleh nenek aku.

Jadi kami adik beradik lah yang selalu menasihati ibu supaya bersabar dan jangan jadi seperti nenek aku. Ibu berubah, ibu layan kakak ipar aku seperti anak sendiri. Sekarang ibu aku sudah mempunyai ramai menantu.

Dalam ramai-ramai menantu ibu, masing-masing ada kelebihan dan kelemahan. Tapi yang paling terbaik kakak ipar aku yang sulung, yang pernah dimarahi ibu tapi kemudian dilayan seperti anak sendiri oleh ibu. Aku bukan nak kata kakak ipar aku yg lain ni perangai hantu, bohsia ke gila harta ke apa. Tak! Semuanya baik baik dan terdidik agamanya.

Tapi disebabkan ibu terlalu baik, bila seluruh keluarga berkumpul, ibu seperti orang gaji. Ibu sorang-sorang didapur sediakan juadah untuk keluarga besar kami. Aku memang tak tahu apa-apa hal dapur, aku hanya mampu tolong temankan ibu berbual dan tukang cuci pinggan. Bila kakak ipar sulung aku ada, memang dia yang akan tolong ibu masak.

Menantu yang lain? Anak dijadikan alasan, padahal apa guna ramai-ramai kat luar tu? Semua boleh tolong jaga dan tengokkan. Aku sendiri malah yang jagakan semua anak buah aku sambil sesekali kedapur temankan ibu aku.

Paling sakit hati, di hadapan aku, bila ibu meminta kakak ipar aku memasak… Dibalasnya “malas!” Dan terus terperap dalam bilik main hanset. Allah, kesiannya ibu aku. Yang takde anak, 24 jam berkepit dengan laki, yang ada anak, jadikan anak sebagai alasan. Bila laki tengah lepak dan anak tengah tidur, main handphone!

Sampainya hati layan ibu aku macam tu. Aku sampai rasa menyesal sebab dulu nasihat ibu untuk jadi mertua yang baik. Sampaikan menantu semua pijak kepala. Ibu seperti biasa kadang-kadang ada juga berkecil hati dan cerita pada aku yang masih single ni. Bila ibu berkecil hati dengan menantunya, secara tak langsung anaknya juga terkena tempias.

Jadi aku dan ayah aku lah yang selalu pujuk ibu supaya bersabar dan redha. Bila makcik aku yang lain selalu cerita juadah yang dimasak dirumah dimasak oleh menantu, aku tahu ibu mesti sedih. Ibu tentu ada angan-angan untuk masak ramai-ramai dengan menantu perempuanya di dapur. Tapi sayang sekali ibu malah menjdi orang gaji mereka. Tak kesian ke mereka terhadap ibu?

Ibu layan kau macam anak sendiri, bila kau berpantang, ibu yang akan menjaga menantunya dan juga cucunya. Ibu dan ayah sanggup jauh perjalanan dari kampung ke bandar demi menantu.bila menantu sakit, ibu lah orang pertama yang jenguk di hospital malah sanggup bermalam di hospital menjaga menantunya.

Aku tak tahu ini memang normal atau tak, tapi salah satu kakak ipar aku jelas awkward dengan ibu walau 2 tahun sudah berkahwin. Jelas tiada tanda cuba bermesra dengan ibu, seolah-olah ibu hanya orang asing. Bukan saja ibu, kami adik beradik iparnya juga dilayan seperti itu. Nak kata jarang berjumpa, tak juga sebab bila abang dan kakak ipar aku busy tak boleh balik kampung, ibu dan ayah yang akan ke sana.

Walau apa pun, itu hanya kelemahan menantu-menantu ibu dan mereka juga ada kelebihan masing-masing. Sebab itu ayah aku selalu suruh ibu aku untuk redha. Takut ibu berkecil hati dan tak redha dengan menantu sekaligus dengan anaknya.

Apa yang aku mahu beritahu, lelaki di luar sana, tolong lah peka dengan sikap isteri anda terhadap ibu anda dan begitu juga sebaliknya. Anda lah yang bertanggungjawab untuk mendidik isteri anda jika mereka berkelakuan seperti kakak-kakak ipar aku ni.

Sayang sekali abang aku buta hati dan nampak semuanya baik-baik saja sedangkan ibu sendiri terpaksa bertahan dengan perangai isteri masing-masing. Aku harap bila aku berkahwin, aku dapat beri ibu dan ayah menantu yang terbaik. Amin.

– Jay (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *