Salam semua. Aku adalah seorang menantu perempuan pertama dalam keluarga suamiku.
Suamiku mempunyai 4 orang adik beradik. Adik ipar aku bernama Ilham (bukan nama sebenar) mempunyai teman istimewa.
Sebelum ini hanya tayang di media sosial sahaja.
Suatu hari, aku balik rumah mertua dan aku sedikit terkejut ada seorang perempuan yang tidak aku kenali berada di dapur sambil berbual dengan mertuaku.
Ya itu lah teman istimewa Ilham. Aku namakan dia Jamilah.
Aku menyambut baik dan bersalaman dengannya seperti kebiasaan aku menyambut tetamu.
Untuk pengetahuan semua Ilham dan Jamilah masih belajar dan berada di semester pertama di sebuah IPT.
Kini setiap bulan Ilham akan selalu membawa Jamilah bertandang ke rumah mertuaku. Tidur juga di situ. Menaiki motosikal bersama-sama.
Aku agak terkejut kerana kedua-dua mertuaku luluskan setiap gerak geri anak mereka.
Untuk pengetahuan semua, kedua-dua mertuaku tegas dalam bab agama.
Aku akui zaman bercinta aku bersama suamiku ada juga keluar berdua tetapi tidaklah sampai bawa ke rumah orang tua masing-masing tetapi mereka tahu sahaja kami keluar berdua.
Aku tetapkan dalam pendirianku, selagi belum halal aku tidak akan sesekali beri laluan kepadanya untuk hadir seorang diri ke rumah orang tuaku melainkan ada hal penting. Inikan pula bermalam di rumah.
Sama juga aku tidak akan sesekali pergi ke rumahnya seorang diri apatah lagi bermalam. Masing-masing mempunyai rasa malu dan hormat kepada keluarga kedua-dua belah pihak.
Alhamdulillah selepas 3 tahun perkenalan kami berkahwin. Aku bersyukur kerana keluarga mertuaku menerima dan melayaniku dengan baik sekali.
Berbalik kepada cerita Ilham dan Jamilah. Baru-baru ini adik ipar perempuan aku berkahwin.
Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Cuma ada satu benda yang kurang enak dipandang dan didengar.
Sehari sebelum adik iparku kahwin, Ilham membawa Jamilah bersama untuk tidur di rumah mertuaku. Ramai saudara mara yang hadir pada malam itu.
Ramai juga yang bertanya siapa Jamilah itu. Aku pula yang jadi malu.
Orang tua-tua kata tak manis apatah lagi bermalam di situ. Betul kan?
Aku dan suamiku menjangkakan yang Jamilah akan hadir pada hari kenduri sahaja. Aku lihat kedua-dua mertuaku tidak banyak bicara.
Aku positif sahaja mungkin Jamilah baik orangnya dan sudah berjaya menawan hati bakal mertuanya.
Tidak cukup sampai situ.
Mertuaku memberikan baju yang serupa dengan ahli keluarga yang lain kepada Jamilah untuk dipakai pada hari kenduri adik iparku sebagai penyambut tetamu dan memberi goodies bag.
Dalam gambar keluarga besar pun Jamilah turut bergambar bersama kami.
Tidak dinafikan Jamilah baik orangnya dan menghormati orang tua.
Aku tiada rasa iri tapi entah lah aku tak terkata dan dapat rasakan kedua mertuaku terlalu sporting bab ini.
Buat pembaca sekalian, apa pendapat anda mengenai hal ini?
Adakah perkara biasa bila seorang anak selalu membawa kawan perempuannya tidur di rumah ibu bapa walaupun bilik berasingan?
– Dira (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit