Mencari Bahagia Untuk Keluarga Kecilku

Aku A, anak ke 3 daripada 4 beradik dalam keluarga. Aku tak tahu nak cakap macam mana dengan masalah keluarga aku yang aku rasa malang bertimpa tanpa henti. Dahulu masa aku darjah 6 lagi arwah mak aku sakit di santau/sihir angkara hasad dengki kawan baik mak aku.

Tak cukup lagi ditambah hasut pula ahli keluarga ku yang jiwa lemah iaitu kakak ku. Histeria pula. Hidup keluarga porak peranda, abah & arwah ma bergaduh sentiasa kerana kepanasan emosi dan stress. Kami habis berubat sana sini tergadai hingga miskin. Sampai satu tahap kami tidak tahu berubat sihir dimana lagi kami hanya telan rasa sakit dan berserah pada ilahi.

Tiada keceriaan hanya duka kerut di wajah. Yang paling terkesan arwah ibu. Tiba aku dewasa, hanya aku sahaja bergraduat diploma di universiti awam. Adik ku gagal, kakak ku masalah histeria lagi 1 abang aku pula mula2 berkerja sebagai polis kemudian berhenti setelah kahwin terpaksa ikut isteri & menjaga isteri apabila sakit.

Aku nekad untuk berhijrah meskipun masalah keluarga tidak selesai, korang pasti tahu sakit sihir/santau bagai ni boleh kata tiada penghujung dan akan meninggalkan kesan pada si pesakit. Aku amat berharap abah aku byk sabar dan membantu apa yang patut sepanjang aku tiada..

Sehinggalah aku berjaya mendapat kerja tetap di sektor kerajaan tetapi aku ditempatkan jauh dari kampung keluarga, arwah ma aku ketika itu jatuh sakit gagal buah pinggang. Akibatnya aku tahu punca kerana apabila sahaja arwah ma aku sakit dia kerap ambil ubat tahab sakit padahal itu sakit buatan.

3 tahun lalu arwah mak aku akhirnye pergi meninggalkan kami semua… Tinggal kakak ku & abah di kampung, aku di perantauan juga adik ku dan abang aku dirumah isterinya yang mengambil masa 2 jam perjalanan untuk ke kampung ku.

Fasa 1 berlalu aku redha pemergian arwah ma aku yg sudah lama menanggung sakit lebih dari 10 tahun… Aku harap dia tenang disana dan Allah membalas segala galanya yang terjadi kerana Allah lebih tahu. Selang 1 tahun arwah pergi tiba pula episod lain kakak ku mula meracau apabila sendirian. Lebih teruk sekarang sudah mula menjauhkan diri dari aku dan keluarga dan mula murung.

Aku tidak dapat membantu kerana aku bekerja dan punya komitmen terkadang aku call/wasap tidak berbalas. Sebelah rumah aku ada mak sedara belah arwah ma aku, dia cuba berinteraksi namun gagal. Kakak aku mula merapu mengatakan orang sihir dirinya padahal tidak.

Sebelum dahulu yang kes histerianya kami juga mendapatkan rawatan hopital jiwa untuk menyelesaikan masalah ini.. Mungkin kalian akan berkata senang dekatkan diri dengan tuhan, banyak berzikir dan baca al quran.. Namun Allah sahaja tahu meskipun semua itu kami tahu buat, solat hajat & jumpa ustaz syifa..

Segalanya jika mahu berubah itu bermula dari diri sendiri dan hati. Jiwa harus kuat. Dan kakakku terlalu lemah. Aku mendapat rasa kakak ku ini sebenarnya menghidapi penyakit depression. Tiap2 malam histeria, janganlah cakap rumah di kampung macam rumah tiada seri lagi semua barang pecah, cermin pecah, almari tendang, histeria kakakku jenis amuk yang agresif terkadang perlu berkasar pertahankan diri dari ditendang pukul.

Korang mesti tertanya mana adik ku, abang ku.. Ahh ketika masa kejadian mereka tiada pun ditempat.. Aku yang haru selalu nye nak jadi penyakit amuk itu mesti time aku pulang kampung. Aku menangis mengenangkan nasib kenapa begini. Hari raya orang balik kampung gembira tapi aku? Dihari raya orang masak2 enak, datang bual2 beraya tapi aku… Sunyi sepi. Hidup tanpa arwah mak aku sekarang aku rasa tiada makna lagi.

Aku kuat bekerja, buat partime untuk tampung kos diri ku, hutang lagi, hantar kampung lagi. Bagi mengurangkan penyakit amuk kakak ku tu kami dah cuba rawatan doktor dan terpaksa menyuruh dia makan ubat setiap hari. Kalau dia lupa.. Maka tak tentu lah emosi dia nanti. Masalahnya sampai bila? Ya Allah…

Disebalik kehuru haraan aku lupa Abah aku makin tua. Bila balik kampung lihat rumah, sangat bersepah, ruang tidur hanya di sofa tidak terurus… Tahun ini abah aku berhasrat ingin kahwin dan aku bersetuju… Kerana aku fikir nanti ada peneman buatnya. Aku juga harap ibu baruku boleh membantu menemani kakakku yang bermasalah ni.. Selesailah pernikahan ringkas hanya buat di masjid, akad bersama senaskah al quran sahaja.

Fasa seterusnya bermula, tanggungjawab abah ku berbahagi 2, siang menjaga kakakku malam balik rumah isteri baru. Hari2 berulang macam itu. Kakak ku pula memang bermasalah mula2 macam ok tapi bila lama merasakan abah aku mula tidak pedulikan dia, dia mula buat perangai. Perangai yang dibuatnya tidak menegur abah aku. Mula tidak menyukai tindakan abah aku melebihkan isteri baru.

Situasi lebih panas apabila mak sedara aku mendapat tahu dan memberitahu perempuan yang dikahwini abah aku adalah perempuan yang tidak baik. Aku mula jadi bingung bagaimana harus aku menilai dan buat. Mak sedara aku mula protes dan marah2 memandangkan rumah sebelah sebelah sahaja.. Menyalahkan abah aku tidak lagi menjaga kakak ku.

Masalahnya kakak ku juga tidak mahu berinteraksi dengan orang sekeliling dan beli makanan pun tidak mahu makan. Hanya minum susu sahaja. Abah aku yang selalu beli bila ada diwaktu siang. Mak sedara aku mula call aku untuk bagitahu (macam report) abah aku tak balik rumah lagi, abah aku pergi sana sini, aku jadi stress tak tentu arah ape perlu aku buat.

Aku cuba bercakap dengan abah aku namun abah aku mula merajuk cakap tidak mahu balik rumah, cakap aku memihak mak sedara aku, aku tidak faham perasaannya. Ya salah aku sebab aku tiada sewaktu situasi susah bila kakak aku mengamuk bagai. Hanya abah aku yang hadapi masalah mental kakak ku ini, siapa boleh sabar? Abah sudah tua. Aku rasa aku hilang akal nak selesaikan perkara ini.

Isteri baru abah aku pula langsung tidak datang kampung kami sedangkan aku membuka hati tangan berlapang dada seluas luasnya naik la.. Masokla ke rumah buruk kami… Tapi tidak. Kerana dia telah di marahi oleh mak sedara aku. Isteri baru abah aku cuma pekerja kedai di kampung yang sama sahaja..senang cerita semua orang kenal. Aku mula tidak tahan dengan masalah ini kerana menjadi pendengar tapi aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Abah aku mengadu kat aku katanya dibenci..

Mak sedara aku mengadu katanya kakak ku tidak lagi dipeduli dibiarkan berkurun dalam rumah. Aku tidak mahu memarahi semua aku mohon semua bersabar namun aku di hamburkan maki hamun mengatakan kebodohan abah ku menikahi berubah lebih mengikut isteri muda baru.

Aku serba salah apa aku mahu tegur abahku yang usianya mengjangkau 60-an mengajarnye tenatang tanggungjawab menjaga anak? Wajarkah aku? Sedangkan aku belum berbakti membalas jasanya susah penat lelah bekerja membesarkan aku dulu? Aku sampai mendapat migrain tidak dapat bertenang memikirkan masalah keluarga. Belum masuk masalah sendiri mahupun ditempat kerja. Aku malu.

Aku malu dengan kehidupan keluarga aku.. Aku memedam rahsia ini… Menunjukkan aku happy dikhalayak ramai namun hati gusar 1000 kali risau siapa tahu melainkan Allah. Aku berbincang asing dengan abang & adik ku menggesa mereka berfikir sesuatu namun masih tiada cara. Kami buntu..

Yang paling banyak berfikirnya aku sebab aku anak perempuan yang satu satunya semua anggap aku harapan. Aku tidak mampu nak galas semua beban ini ya Allah. Aku bimbang. Aku bimbang aku dibuang keluarga.. Abah aku meninggalkan kami semua.. Kakak ku berbuat sesuatu yang memudaratkam dirinya…

Aku takut ya Allah. Jiwaku sungguh meronta, apa harus aku buat bila aku kejauhan ini. Aku baru sahaja ditawarkan kenaikan pangkat namun aku masih tiada jawapan untuk terima atau tidak mengenangkan masalah aku ini bimbang aku tidak mampu menggalas amanah dengan baik kepada tempat kerja aku. Ataupun aku harus berhenti kerja pulang sahaja ke kampung dan.. Memperbetulkan segala masalah..

Apa aku yang harus bekorban? Apa aku mampu melakukan sendiri? Apa gunanya aku seorang sahaja yang berubah dan yang lainnya tidak… Apakah ujian ini aku seorang sahaja yang menanggung. Aku ingin merasa sekelumit bahagia hanya untuk keluargaku yang kecil ini.. “Ma…. kalaulah ma ada disini….”

Tolong berikan aku semangat.

– Anak yang buntu (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *