Mencipta Bahagia

Assalamualaikum. Terima kasih admin siarkan coretan saya, sekali lagi terima kasih kerana mewujudkan ruangan ini. Untuk kita berkongsi kisah dan cerita. Moga ada iktibar dan pengajaran untuk kita jadikan panduan.

Saya pernah berkongsi cerita, (https://iiumc.com/pujuk-hati-dan-diri-untuk-kecapi-bahagia/). Lepas tu kembali jadi silent reader.

Allahu, terkadang sesak dada membaca luahan. Istighfar panjang bila baca komen. Moga kita sentiasa dihimpunkan dalam kebaikan.

Panjang pula, mukaddimah.. huhu. Kali ni lebih santai sekadar ingin berkongsi cara saya mencipta bahagia. Berfikir juga, rasa tak layak. Sekadar mencuba, mungkin ada yang boleh diaplikasi mengikut kesesuaian persekitaran kehidupan.

Darah sama merah, akal dan hati kita berbeza. Demikian juga ujian, perit dan sarat hanya diri dan Tuhan yang tahu. Terkadang tanpa sedar disekeliling kita hambur dengan marah dek kerana rasa duka kita.

Tak salah untuk rasa terluka dan kecewa, tapi nak layan sampai bila? Kita juga berhak rasa bahagia! Yakin dan percaya pasti ada caranya.

Muhasabah setiap masa, apa benar kita ini hamba yang bersyukur? Setiap pagi azan subuh adalah motivasi saya. Saya akan bangun sebelum azan subuh. Sebab nak dengar azan subuh.

Ya Allah, syukur masih dipinjamkan nyawa. Syukur masih benarkan aku menyebut nama Mu. Syukur setiap saraf masih berfungsi dengan baik sehingga aku boleh mendengar, melihat dan bertutur.

Kurniakanlah muazzin itu syurga, kerana dia sedang mengingatkan kami perintah Mu.

Demikianlah setiap kali saya mendengar azan, saya percaya saat mendoakan orang lain tanpa pengetahuannya doa itu akan kembali pada kita. Lazimilah kalimah yang baik pada lidah kita.

Memberi, tidak semestinya dengan wang saja. Kata-kata yang baik juga pemberian. Ikutlah kemampuan, mulakan tanpa terlalu menghitung jumlah dan bilangan.

Dulu saya sediakan tabung untuk letak sumbangan harian. Bila-bila masa saya keluarkan sebagai sumbangan.

Tapi bila semua dihujung jari. Saya letakkan sejumlah wang dalam akaun dan set favourite nombor akaun NGO dan pihak yang memerlukan.

Setiap pagi saya transfer dan bila-bila masa saya mahu menyumbang transfer saja. Set alarm waktu mustajab doa. Beri sumbangan dan berdoalah sungguh-sungguh.

Berkongsi adalah antara cara hidupkan suasana harmoni. Saya duduk sendiri masak banyak siapa nak makan. Siapa macam saya, atau yang dah berkeluarga sesekali masak ja lebih. Wasap jiran atau rakan awal-awal nanti nak masak lebih bagi dia. Saya taklah reti masak.

Tapi saya percaya dengan doa, jadi masa masak tu doa banyak-banyak. Bacalah ayat pelembut hati surah Taha ayat 1-5, doa lima bismillah dan doalah apa yang kita nak bagi akan eratkan ukhuwah dan kena dengan tekak mereka.

Sedia bekas atau plastik makanan macam kat kedai untuk bungkuskan. Kalau bagi dengan bekas lawa, nanti mereka risau pula nak balas apa.

Bila membeli suka beli lebih untuk dikongsi kadang bagi guard. Bagi kuih RM1 atau minuman kotak ja. Hidup ni sebenarnya simple, kalau di semenanjung lagi best ada roti gardenia 80 sen tu boleh beli dan bagi ja sesiapa.

Masak sarapan lebih sikit letak kat pantry, lekat sticky note jemput makan moga hari kita bahagia. Masak mee goreng ke, buat sandwich ke atau goreng cekodok guna tepung segera adabi.

Ikutlah kemampuan dan kesesuaian. Terkadang mudah ja, tapi kita yang buat perkara tu susah.

Fikir lebih nanti  orang tak makan, nanti orang complain tak sedap. Susah? Bolehlah sponsor biskut atau minuman. Beli sebungkus sebulan ikut bajet masing-masing dan gembiralah bila rakan kita habiskan.

Kadang beli tuala good morning, bagi makcik pakcik permbersihan atau orang potong rumput di jalanan. Sentiasa ada cara. Mulakan tanpa alasan!

Nak makan sendiri pun susah, memang tak mampu nak kongsi apa-apa. Rezeki janganlah dilihat hanya pada harta. Kita ada kudrat, alhamdulilllah. Kongsikanlah kudrat itu. Rajin-rajinkan diri basuh cawan atau pinggan kawan atau ahli keluarga kita.

Tolong buang sampah, jiran punya sampah bersepah tak perlu marah kemaskan saja, tolong kutip sampah bila jumpa. Kelemahan orang,  lihatlah sebagai ruang dan peluang kebaikan untuk kita. Halangan kita, bila kita selalu buat kita rasa kita ni bibik tak bergaji.

Hingga lupa malaikat yang mencatat dan ruang yang Allah bagi untuk kita berkongsi dan memberi. Saya suka bawa tisu dan plastik kecil.

Jumpa sampah kutip guna tisu, supaya tangan saya bersih dan simpan dalam plastik dulu. Wujudkanlah suasana harmoni, pasti ada ganjaran untuk kita. Bukankah Allah sentiasa memerhati?

Sebelum tidur doalah Allah kejutkan kita di sepertiga malamnya. Agar kita punya ruang bermunajat dan mengadu padaNya.

Dari 24 jam yang Allah bagi peruntukkanlah sekurang-kurangnya sejam bersama DIA. Kadang dah bangun tapi liatnya nak solat, buka tv alhijrah jam 1 hingga 5 pagi ada bacaan surah, live dari makkah dan bacaan doa.

Kadang saya buka ja tv alhijrah atau radio ikim niatkan moga rating mereka naik agar mereka dapat terus bertahan dalam mendidik dan menyebarkan kebaikan.

Belanja siapa saja tanpa mengharap apa-apa. Kadang bila ke kedai atau isi minyak. Suka beli minuman bayar dan asingkan pastikan ada resit. Bagi cashier tu atau pam attendan.

Andai mereka gembira moga ada pahala untuk kita. Setiap kali memberi dan berkongsi amalkan doa ini, Inna Haaza larizquna malahu minnafad (Surah Sad, ayat 54).

Baca dan carilah motivasi. Saya suka baca buku La Tahzan. Kalau nak baca yang simple boleh baca buku The bingkisan hati. Ada juga page fb nya pegilah follow. Kalau nak dapat wasap selalu. Subscribe The Daily Surat Chenta. Malam-malam akan adalah kata-kata penguat jiwa.

Alhamdulillah tahun ni dah 35, yup masih solo. Untuk yang sama seperti saya rilek saja. Jangan difokus status itu.

Kerana yang pasti, kita adalah seorang anak, seorang ahli keluarga, seorang anggota masyarakat dan seorang hamba. Adakah semua tanggungjawab itu sudah terlaksana dengan cemerlang.

Hingga status bujang itu juga yang selalu buat hati lara? Bukankah tuhan sudah berpesan rezeki, jodoh dan ajal rahsia dan kerja Tuhan?

Bila ada yang bertanya anggap saja mereka cakna mohonlah mereka doakan kebaikan. Tidak perlu dibalas dengan ucapan yang boleh merenggangkan hubungan.

Doa saya, andai ada jodoh di dunia moga Allah permudahkan dan sentiasa dikuatkan hati menghadapi apa juga yang datang menguji. Andai tertulis takdir hidup sendiri, moga Allah sentiasa pelihara dari fitnah dunia, siksa kubur dan azab neraka.

Memilih itu perlu, jangan terburu-buru. Terlalu memilih? Saya masih berpegang, kehidupan saya. Saya yang kena tanggung dan jawab. Tiada istilah, terima saja mungkin lepas kahwin akan berubah. Huhu.. itu masuk perangkap ciptaan sendiri namanya.

Ikhlaslah dalam mendoakan. Bila nampak orang gembira, doakanlah mereka bahagia. Usah dibiar ada rasa iri, jangan dibiar terselit kata, ‘semua nak tunjuk, semua nak tayang’. Rosak hati kita. Bila kita sendiri yang merosakkan hati kita, adakah kita akan bahagia?

Kita boleh menipu sesiapa tapi tidak hati sendiri. Ada banyak perkara, tutup mata dan berhenti membanding beza hidup kita dengan orang lain.

Untuk insan yang pernah hadir memberi pengalaman pahit, maafkan dan lepaskanlah segalanya dengan ikhlas.

Ya, melupakan itu tidak mudah tapi kita boleh berusaha. Percayalah, tiada yang hadir dalam hidup kita sia-sia melainkan untuk kita belajar sesuatu darinya. Bukankah kita telah belajar, agar tidak buat perkara yang sama?

Banyakkan sujud dan berdoa. Betapa baiknya Allah, Dia tahu payahnya khusyuk dalam solat. Lalu kita diberi pelbagai pilihan solat yang lainnya. Susah nak tahajud?

usahankanlah solat dhuha? Sibuk bekerja, maka buatlah solat rawatib. Andai tak mampu juga, solat witir satu rakaat. Hanya satu rakaat dan waktunya pun panjang. Berusahalah, bahagia akan terasa saat dekat dengan Allah.

Perbanyakkan berdoa, set alarm untuk peringatan. Dah berapa kali istighfar? Dah muhasabah? Allah rindu. Ukhrawi kita jangan dipisahkan kerana kesibukan mengurus duniawi.

Dalam mendidik hati dan diri, terkadang kita perlu bermula dengan paksaan. Paksa hati untuk bermuhasabah, rendahkan ego, bina sikap bertoleransi dan mengalah.

Percayalah, ada banyak perkara mengalah bukan bererti kalah tidak juga kerana mahu membiar saja. Tapi kita punya Allah maha bijaksana.

Saat kita bersandar hanya pada Dia, pasti yang terbaik untuk kita. Bukan lambat atau cepat pastinya pada waktu yang tepat. Teruskan melangkah tanpa menghitung lelah!

Hidup tidak akan pernah sunyi dari masalah. Apa fokus dan tujuan hidup kita? Andai benar kita yakin untuk menyerahkan hati ini pada Allah? Saat kita sudah berusaha, usah diungkit-ungkit pihak yang tidak berubah.

Kita hanya manusia yang tugasnya berusaha sebaiknya, hidayah dan hasil itu serahkanlah dengan redha dan ikhlas pada pencipta kita.

“… dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku); sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hambaNya”. – Suraf Ghafir, ayat ke-44.

Ini antara doa kesukaan saya. Ulang, ulang dan ulang. Moga terhadam dan dikurnia ketenangan.

Terkadang kita perlu berhenti memikirkan masalah. Berusaha muhasabah dan melihat sisi pandang yang berbeza. Tiada siapa menjanjikan hidup ini mudah, kita saja yang selalu berharap dan berdoa agar dipermudah. Mungkin  ada perlunya skrip doa kita diubah.

Ya Allah, engkau sebaik-baik perencana. Kuatkan hati, akal fikir dan fizikal ku menghadapi apa juga ujian Mu.

Pelihara aku dari perkara yang boleh mendatangkan murka Mu. Kurniakan aku hati yang sentiasa takut azab Mu, hqti dan jiwa yang sentiasa meletakkan engkau yang pertama dan utama.

Kita sama-sama hamba, pendosa yang mengimpikan jannah. Cukup setakat ini saja. Moga ada kebaikan, maaf andai terasa sia-sia dan lagha. Bahagia itu dirasa tanpa perlu dikhabarkan pada sesiapa. Percayalah bahagia itu boleh dicipta, tanpa mengharap sesiapa.

Saat kita memberi dan berusaha jangan diharap balasan manusia, hakikat hidup saat mengharap manusia maka bersedialah untuk kecewa.

Jangan hidup untuk dunia yang ini. Dunia ini bukan tempat tinggal kita, tapi tempat kita meninggal. Bersama sediakan bekalan , moga saat bertemu tuhan kita ada jawapan. Imtihan, moga kita diberi kekuatan, ketenangan dan kebahagiaan.

– Kenanga (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *