Mengubah Dyslexia kepada Wira

Assalamualaikum dan Salam Ramadhan kepada semua pembaca.

Banyak artikel yang saya baca menggambarkan penulis kurang berpuas hati dengan ibu bapa masing-masing. Saya bukan seorang individu yang menghakimi sesiapa, kerana pengalaman masing-masing pastilah berbeza. Namun, saya ingin kongsikan kisah yang berbeza agar ruangan di sini lebih beraura positif.

Saya dilahirkan dalam keluarga yang baik dan hidup secara sederhana, Alhamdulillah, saya amat bersyukur dengan keadaan keluarga saya. Mak merupakan seorang surirumah sepenuh masa sejak kami pindah ke Kluang, mengikut ayah yang ditukarkan tempat kerja. Waktu ini umur saya dalam 3-4 tahun.

Saya mempunyai dua orang adik. Mereka sepasang. Yang bongsu perempuan. Tetapi kisah kali ini berkenaan dengan adik lelaki saya.

Beliau adalah seorang Disleksia (Dyslexia). Apakah dia Disleksia? Salah satu kaeadah untuk mudah mengenali Disleksia adalah melalui tulisan mereka. Mereka menulis secara terbalik seperti “mirror image” atau anak sukar membaca kerana nampak perkataan atau huruf itu bergerak-gerak atau menari-nari.

Tontonlah cerita hindustan “Taare Zameen Par” yang menampilkan Aamir Khan sebagai seorang guru yang mendekati anak muridnya yang disleksia. Cerita ini amat bagus dan menarik untuk ditonton pasangan ibu bapa dan guru. Saya jamin tidak akan menyesal.

Disleksia bukannya satu penyakit, tetapi salah satu gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Lazimnya, masalah pembelajaran yang dihadapi adalah seperti membaca, menulis, mengeja, dan kemahiran mengira. Oleh itu Disleksia merujuk kepada mereka yang menghadapi masalah untuk membaca dan menulis walaupun mempunyai daya pemikiran yang normal.

Adik saya sering dianggap lembap oleh guru dan rakan-rakan kerana sukar menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan keyakinan diri seorang kanak-kanak. Saya masih ingat bagaimana ketika adik saya di Tahap 2 (jika tidak silap, Darjah 3), sewaktu sesi perjumpaan kad laporan, guru sekolah beliau berkata, “Puan, anak puan ini memang tiada harapan. Susah untuk saya ajar.”

Ibu mana yang tidak akan sedih mendengar ungkapan sebegini diucapkan untuk anak mereka. Untuk berlaku adil, zaman itu adalah sekitar pertengahan 1990-an. Maka pastinya guru-guru tidak terdedah dengan Disleksia mahupun Autisme. Pelajar bermasalah pembelajaran khas pastinya dimasukkan ke dalam Kelas Khas Pendidikan. ‘One Size Fits All’.

Mungkin waktu ini ramai tidak tahu bahawa tokoh terkenal seperti Albert Eistein, Leonardo da Vinci, Thomas Edison, pelakon Tom Cruise dan Orlando Bloom adalah orang yang mempunyai dyslexia.

Balik rumah sahaja, saya masih ingat lagi bagaimana Mak terus susun perancangan pembelajaran khas untuk adik saya. Setiap hari Mak akan pastikan beliau mengajar adik saya mengikut perancangan beliau. Setiap hari, tanpa gagal. Penuh kesabaran.

Bermula dengan menulis, membaca, mengira. Sebelum ini memang Mak pastikan kami semua belajar. Malah Mak yang menjadi guru kami di rumah. Tetapi kali ini berbeza. Mak sendiri mencari kaedah bagaimana untuk mengajar seorang Disleksia. Beliau pelbagaikan kaedah pembelajaran.

Awal pagi, sediakan sarapan. Kemudian hantar anak ke sekolah. Uruskan hal rumahtangga. Masak. Waktu tengah hari, anak-anak balik. Kemudian, hantar pula ke sekolah agama. Penat. Malam pula, fokus mengajar anak-anak.

Beberapa tahun berlalu, adik saya mendapat keputusan yang agak baik dalam UPSR beliau. Tidak ingat pula keputusannya. Sama ada 2A 2B, atau 1A 3B. Bayangkan, darjah 4 baru mula reti membaca, tetapi beliau bukan di kelompok terakhir dalam sekolah beliau ketika darjah 6.

Melalui bantuan awal yang betul, kita boleh membantu kanak-kanak disleksia untuk menguasai bidang pembelajaran mereka. Bukan setakat disleksia, malah mana kanak-kanak pun.

Kepada ibubapa di luar sana, andalah adiwira sebenar. Anda korbankan diri anda untuk anak seperti kami. Anda adalah ‘Iron Man’ kepada anak anda. Ibu pula adalah Wonder Woman keluarga. Anak-anak mencintai anda. Betul. ‘We Love You 3000!’

“I had to train myself to focus my attention. I became very visual and learned how to create mental images in order to comprehend what I read.”
– Tom Cruise, Actor

– Jafni Johari Jiken (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *