Mental Abuse

Assalamualaikum. Aku terpanggil nak tulis confession ni selepas baca confession Gigi Kuning baru-baru ni. Aku faham sangat point confessor, tapi aku tak pasti sama ada point sampai ke tak sebab ramai yang response bagi solution buat bleaching etc rather than comment tentang point yang nak disampaikan. Put aside. Aku cuba untuk sampaikan point confessor dalam confession aku pula.

Pointnya, lisan. Lisan yang ‘sangat berbisa’ yang boleh merubah hidup seseorang 100%. Dari seorang yang mempunyai self-confidence yang tinggi mencanak kepada seorang yang menjunam self-confidencenya ke lautan dalam…

Ingin aku kongsikan kisah aku dengan pembaca. Aku anak bongsu dalam keluarga aku. Aku ada tiga abang dan dua kakak. Dari kecil, aku memang rapat dengan abang-abang aku berbanding kakak. Rapat tu sehingga aku sangka aku dulu lelaki sebab pengaruh dari abang aku. Aku nak jadi sama macam diorang. *sigh*

Dalam ketiga-tiga abang aku, aku paling rapat dengan abang aku yang kedua. Karakter abang kedua aku ni, kelakar tetapi bermulut celupar. Oleh sebab dia kelakar, mulut celupar dia tu tak nampak sangat sebab cover dengan lawak dia yang buat orang ketawa.

Kisahnya dulu waktu aku sekolah rendah, aku seorang yang sangat berkeyakinan tinggi, semua jawatan sekolah aku pegang dan semua pertandingan aku masuk. Aku jadi penolong ketua pengawas sekolah, masuk pertandingan choral speaking, penyanyi nasyid dan sebagainya. Waktu tu aku rasa dunia tiada masalah. Dapat 5A UPSR dan 8A PMR, antara murid cemerlang di sekolah aku. Oh ya sebelum cerita lanjut, aku sekolah rendah dan menengah harian di sekolah yang semua perempuan. Semuanya berjalan lancar sebagai murid yang cemerlang.

Aku membesar dengan abang kedua aku ni sebab dia tak masuk asrama. Abang aku ni oleh sebab dia terlampau rapat dengan aku, cara cakap dia semuanya kasar dan tak berlapik seolah-olah dia lupa aku ni perempuan. Hati aku sensitif dan lembut. Satu tabiat dia, dia suka memanggil aku hodoh atau si buruk, dalam nada bergurau.

Waktu aku kecil dulu aku tak amik port sangat, rasa macam gurauan semata-mata. Tapi lama-kelamaan bila aku makin besar, benda tu macam dah bertapak dalam minda aku. Aku rasa benda tu betul. ‘Aku seorang yang sangat hodoh’. Aku rasa abang-abang aku semuanya hensem dan kakak-kakak aku cantik kecuali aku. Minda aku mula membenarkan kata-kata abang aku…..tanpa aku sedar….dan kata-kata itu sebenarnya membunuh dalaman aku secara senyap. Panggilan buruk dan gurauan kasar menjadi makanan aku di rumah.

Waktu aku menjejakkan kaki di tingkatan empat ke sekolah asrama bercampur lelaki perempuan, bermulanya aku menjadi selemah-lemah manusia. Aku sangat merasakan diri aku hodoh dan tiada siapa nak kawan dengan aku dan aku sangat tak yakin berhadapan dengan lelaki. Memang disaster betul hidup aku waktu tu. Aku tak berani berhadapan dengan orang langsung. Waktu riadah, tahu aku lepak mana? Tandas, takpun surau. Tempat yang takda orang. Sedih sangat aku kenang masa tu. Keyakinan diri aku sangat rendah kesan kata-kata abang aku. Tingkatan 4 dan 5 kalau boleh masa yang aku tak ingin kenang. Habis SPM, aku ambil form 6 dan masuk U.

Waktu di universiti, aku cuba lupakan kisah silam aku di sekolah. Aku cuba bergaul dengan orang tak kira lelaki dan perempuan. Alhamdulillah aku berjaya overcome sedikit. Ya sedikit.

Memandangkan aku tak confident sangat nak bergaul dengan lelaki, aku cuba mulakan bergaul di alam maya. Sebab realitinya aku tak bercakap dengan lelaki. Tujuan aku satu, aku nak bina keyakinan diri aku dan aku cuma nak tahu apa pandangan lelaki tentang rupa paras aku. Ya aku insecure, terlalu insecure dengan rupa aku hasil kata-kata abang aku yang tertanam dalam kepala aku sejak kecil. Benda tu macam berulang-ulang dalam kepala aku.

Aku berkenalan maya dengan beberapa orang lelaki ni. Aku pun mengambil pendekatan berjumpa, menggigil aku waktu tu Tuhan je yang tahu. Tapi aku nak tahu sangat apa pandangan, reaksi mereka, aku gagahkan hati, aku jumpa 2-3 orang lelaki. Selepas aku jumpa mereka, first impression mereka kata aku cantik. Ada yang nak berkenalan lebih lanjut dengan aku. Tapi malang seribu kali malang, hati aku menidakkan semua tu. Aku rasa mereka macam ‘memerli’ aku, atau menipu. Dan aku tak langsung tak percaya dengan kata-kata itu. Begitu kuatnya mentaliti tu tertanam dalam fikiran aku dari kecil, jika kalian mengerti. Dan kini, aku dah bekerja, tuntutan kerja sedikit sebanyak membuka ruang sosial aku namun nak membuang apa yang dah tertanam bukanlah mudah. Kesimpulannya aku punya social anxiety yang teruk dan bertemu doktor psikatri untuk memulihkan diri dan jiwa aku.

Oleh itu, pesan aku, janganlah mudah mengata/point out fizikal seseorang, tidak kira benar atau tidak, gurauan atau tidak, sebab kita tak tahu cara penerimaannya. Buat mereka yang senasib denganku, yang dihina dari sudut yang lain pula seperti gemuk, hitam dan sebagainya kuatkan hati, bantu dan sayangilah diri. Cari jalan penyelesaiannya selagi mampu. Jangan biarkan diri berterusan lemah kerana kita juga boleh menjadi seperti manusia lain kembali. InshaAllah. Juga pesan aku pada ibu bapa, tegur dan marahlah anak yang bermulut celupar, yang mengata fizikal orang, supaya tak lagi membunuh jiwa-jiwa yang ingin hidup sama seperti orang lain. Sekian dari aku. Doakan aku pulih. Itu saja pintaku. Terima kasih.

– Orkid Liar

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit