Merajakan Anak Lelaki Boleh Bawa Barah Pada Institusi Keluarga

Merajakan Anak Lelaki Boleh Bawa Barah Pada Institusi Keluarga

Bismillah dan assalamualaikum khususnya buat pembaca setia IIUM Confession. Pertama sekali ucapan jutaan terima kasih ini ditujukan khas buat admin kerana sudi berkongsi coretan ini buat pembaca di luar sana.

Karya ini dihasilkan kerana saya ada terbaca mengenai kisah atau tip mengajar suami saling bantu membantu dalam rumahtangga serta satu lagi kisah luahan rasa seorang pembaca IIUM  Confession mengenai sikap adik beradik lelakinya yang terlalu dimanja oleh ibu mereka. Dek kerana kisah mereka juga sedikit sebanyak ada terkena dalam kisah hidup saya, jadi kali ini saya juga ingin berkongsi pengalaman saya sendiri yang dilahirkan dalam keluarga yang ‘merajakan’ anak lelaki.

Jika dilihat dari tajuk cerita ini sendiri yang boleh mengundang ala-ala kontroversi barangkali, pasti pelbagai pandangan yang boleh kita olahkan tetapi niat jari jemari saya terpanggil untuk menaip perihal ini adalah tidak lain tidak bukan supaya yang tidak baik kita sama-sama perbaiki dan dapat jadikan tauladan serta yang baik kita jadikan sempadan. Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah S.W.T dan yang tidak baik itu datangnya dari kelemahan diri saya sendiri.

Maaf agak panjang mukadimah cerita ini. So, diteruskan cerita, saya perkenalkan diri saya sebagai Puan X. Saya dilahirkan dalam keluarga yang sederhana dan mempunyai ramai adik beradik. Tetapi bilangan adik beradik lelaki lebih ramai berbanding adik beradik perempuan. Dulu saya tidak sedar akan perihal ini sehinggalah sekarang baru saya sedar yang sikap ‘merajakan’ anak lelaki sebenarnya banyak kesan yang tidak baik berbanding yang baik. Saya tidak menyalahkan ibu saya juga kerana kejadian ini terjadi dari asuhan nenek saya lagi.

Dulu, ketika saya masih kecil, saya melihat yang nenek dan mak saudara saya serta sepupu perempuan saya termasuk mak saya akan melakukan segala tugas-tugas yang akan kita kaitkan dengan orang perempuan seperti mengemas rumah, uruskan pakaian, memasak dan banyak lagi.

Waktu diusia itu, saya hanya banyak bermain bersama sepupu seusia dengan saya sahaja tetapi apa yang masih segar dalam ingatan saya, setelah siap memasak, nenek saya akan panggil kami semua termasuk bapa saudara saya untuk makan. Arwah datuk saya telah meninggal dunia ketika itu. Setelah makan, bapa saudara saya terus cuci tangan dan pinggannya hanya tinggal di tempat yang mereka makan. Kemudian selesai makan, kaum perempuan inilah yang akan kemaskan tempat makan tersebut.

Kejadian ini dilakukan sama oleh ibu saya yang tidak langsung mengajar terutama adik beradik lelaki saya untuk sama-sama membantu dalam menguruskan kerja-kerja rumah. Bila saya menginjak dewasa, saya dan kakak saya yang akan membuat semua kerja rumah ini. Bila saya mula berkerja, saya menjadi bertambah penat kerana harus menyelesaikan tugasan rumah dan berdepan juga dengan tugasan di tempat kerja.

Seikhlas dan sejujurnya, saya bukannya ingin berdengki dengan adik beradik lelaki saya malah saya tahu, insan yang saya tolong ni adalah insan mulia iaitu kedua ibu bapa saya. Tetapi saya mula berasa jelik dengan sikap adik beradik lelaki tidak kira abang mahupun adik saya yang merasakan akan jatuh egonya jika dia sama-sama membantu melakukan kerja rumah dan mereka berpendapat bahawa lelaki tidak perlu melakukan semua kerja rumah. Mereka hanya perlu bekerja mencari duit dan perihal menguruskan rumahtangga adalah 100% tugas orang perempuan.

Walhal perkara ini langsung tidak benar dan tidak tepat kerana saya juga bekerja mecari rezeki dan kaum perempuan di rumah saya menjadi extravaganza penat dek kerana kami perlu bekerja dan tiada muafakat dan sikap saling membantu dalam meyelesaikan perihal rumah juga. Kesan dari situasi ini, saya menjadi seorang yang cepat stress, garang, emosional dan cepat marah. Saya setuju jika terbaca yang seorang isteri juga boleh berubah perwatakan ke arah yang lebih tidak baik jika mereka dipikul dengan pelbagai bebanan dan tugasan.

Sekarang saya telah berumahtangga dan tinggal berasingan. Alhamdulilllah kerana sudah terbiasa melakukan kerja-kerja rumah dan menjaga adik ketika saya masih kecil lagi, saya tidak kekok dan boleh dikatakan agak cekap dalam menguruskan hal anak-anak dan kerja rumah. Tetapi kitaran stress ini mula dirasai oleh adik-adik perempuan saya yang juga mempunyai banyak komitmen lain tetapi terpaksa membuat semua kerja-kerja rumah sedangkan adik beradik lelaki hanya menjadi penghuni rumah yang tidak perlu berbuat apa-apa.

Kenapa saya cakap hidup ‘merajakan’ anak lelaki ini boleh jadi barah kerana ia boleh merebak. Dari asuhan nenek saya sehingga asuhan emak saya, perangai anak lelaki sama sahaja iaitu tiada usaha saling membantu dan tidak tahu membuat apa-apa. Adik lelaki saya juga sudah berumahtangga dan hasilnya segala perihal menguruskan rumah dan anak-anak diserahkan bulat-bulat kepada sang isteri. Jika mereka terpaksa tinggal di rumah orang lain juga mereka sangat tidak pandai menyesuaikan diri dan sikap tidak membantu telah sebati menjadi tabiat dalam diri mereka.

Sejujurnya, saya sedih melihat situasi ini. Saya tidak menyalahkan ibu saya kerana dia juga dilahirkan dari keluarga yang ‘merajakan’ lelaki. Cuma apa yang saya boleh ubah sekarang, saya perbaiki dan perbetul kesilapan arwah nenek dan ibu kesayangan saya supaya kesilapan tidak terus berulang dan barah ini tidak menjadi lebih teruk lagi. Saya mendidik anak lelaki saya untuk sama-sama membantu dalam melakukan kerja-kerja rumah.

Walaupun usianya masih kanak-kanak, saya sudah mula mengajarnya kerja-kerja yang basic dan simple tetapi berharap agar menjadi habit buat dirinya nanti. Contohnya, selepas bangun, kemas tempat tidur. Balik sekolah, letak beg sekolah ditempat yang disediakan. Sidai tuala dan letak baju kotor ditempat sepatutnya. Selesai makan, sama-sama membantu saya mengemas dapur. Sama-sama angkat dan jemur pakaian. Tolong adik-adik dan lain lagi.

Niat saya bukanlah seperti yang diura-ura oleh segelintir pihak bahawa mengajar anak melakukan pelbagai perkara seakan seperti menghambakan atau menganiaya anak tetapi nawaitu saya agar jika dia berada di rumah orang, dia dapat menyesuaikan diri dan menyenangkan hati tuan rumah serta tahu apa yang patut dia tolong dan lakukan.

Sekiranya dia berumahtangga kelak, dia tidak kekok untuk membantu isteri dan menguruskan anaknya. Kita juga tidak dapat menjangka apa yang berlaku apada masa akan datang. Jadi sekiranya saya juga diuji masalah kesihatan atau umur tidak panjang, anak-anak saya sudah banyak belajar pelbagai perkara khususnya dalam melakukan tugasan-tugasan di dalam rumah.

Mohon doakan agar saya dapat mendidik anak-anak saya menjadi insan yang berguna dan bermanfaat ye. Sejujurnya saya juga kagum dengan mereka yang sudah mula memupuk nilai-nilai murni tanpa mengira jantina dan usia serta saya juga percaya pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Buat pembaca diluar sana, siapa pun ada, berusahalah untuk berniat menjadi yang lebih baik. Sekiranya anda adalah seorang suami, ringan-ringankanlah membantu isteri anda kerana senyuman manis pasti akan terukir dibibir sang isteri anda jika sebahagian kerja rumah dapat dilakukan bersama-sama. Begitu juga jika anda sebagai seorang anak, tidak rugi atau jatuh ego mahupun saham anda sekiranya membantu ibu anda melakukan kerja-kerja rumah malah diharapkan ganjaran syurga dan pahala buat anda kerana sentiasa berusaha menyenangkan dan membahagiakan kedua ibu bapa anda.

Saya tahu setiap kita punya ukuran kasut atau ujian yang berbeza. Saya berkongsi kisah ini bukan meminta dilemparkan komen yang tidak baik terutamanya pandangan buat insan mulia kesayangan saya iaitu ibu saya dan juga untuk membuka aib keluarga saya tetapi nawaitu saya berkongsi kisah saya ini untuk kita sama-sama tidak ‘merajakan’ anak lelaki kerana kesan kepada diri mereka juga banyak yang negatif berbanding yang positif.

Jika anda sayangkan anak anda bukan dengan melakukan semua perkara untuk anak anda tetapi sama-sama membantu anak anda belajar menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi kerana kelak jika anda terpaksa melepaskan genggaman tangan anak kesayangan anda, mereka boleh berdikari, bangkit sendiri dan menjadi insan hebat dan berguna suatu hari nanti.

Jom ubah dan sama-sama kita pupuk bahawa tidak jatuh ego lelaki membantu melakukan kerja rumah dan jom sama-sama saling amalkan budaya bantu membantu supaya semua orang dapat sama-sama mengukir sebuah senyuman kebahagiaan.

Ikhlas dan salam sayang dari,

– I. A (pendosa yang ingin ke syurga) (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Share via
Copy link
Powered by Social Snap