Mertua & Adik-beradik Ipar Melampau – Alhamdulillah & Terima Kasih

Assalamualaikum, pertama sekali terima kasih kerana siarkan confession panjang yang saya tulis di page ini semalam. Saya tidak sangka akan dapat banyak respons, baik positif mahupun negatif, saya terima dengan hati terbuka, Alhamdulillah dan terima kasih pada yang banyak mendoakan saya at, semasa saya tulis confession itu hari itu, tersedu-sedu saya menaip sebab tidak pernah saya meluahkan. Terima kasih sangat-sangat pada yang mendoakan saya kuat.

Ramai juga yang mendoakan saya supaya rujuk dengan bekas suami, namun maaf, mungkin saya belum kuat, dan luka masih belum sembuh selepas last incident di rumah mertua, tidak apalah, biarlah benda tu saya cuba lupakan dulu. Namun, tidak mudah sebenarnya untuk saya kembali dengan bekas suami. Ya, sayang tu masih ada. Saya sayang sangat dengan bekas suami, terlalu sayang sehingga saya tahan untuk terus tinggal di rumah tersebut. Ada juga saya lihat komen mengatakan saya bodoh sebab lepaskan bekas suami, namun sekiranya berada di tempat saya, anda akan tahu mengapa saya buat keputusan tersebut. Saya tidak mahu bekas suami menjadi anak derhaka, buruk bagaimanapun, itu ibu yang melahirkan bekas suami, yang membesarkan bekas suami. Khilaf saya, saya tidak dapat menjadi insan yang boleh bersabar lagi untuk tahan, saya gagal bersabar. Bekas suami masih contact saya, dan pujuk saya. Selalu juga dia tunggu di tempat saya kerja dan memujuk saya dan berjanji akan bawa saya duduk jauh dari keluarganya, namun saya tidak sampai hati memutuskan hubungan anak beranak. Saya cakap pada bekas suami, isteri boleh diganti namun bukan seorang ibu, bukan juga adik beradik. Bekas suami menangis. Kami menangis bersama-sama. Ujian yang kami terima, kami redha.

Saya keras hati? Ya, saya tak nafikan. Mungkin sebab dah lama saya berlembut dengan mereka yang suka mengambil kesempatan. Saya bukan bodoh, apabila saya sedar saya dipergunakan, saya selalu pujuk suami supaya kami pindah dan tinggal sendiri. Saya akan ajak suami berbincang sampaikan pernah juga bergaduh kerana suami tidak akan tinggalkan ibunya. Lagipun rumah mertua dikira rumah pusaka. Ada juga yang berkata saya suka mengungkit, maaf ini saya sangat tidak dapat terima, sepanjang tiga tahun saya di rumah itu, saya tidak pernah mengungkit di hadapan mereka. Suami ada ajak saya berbincang dan saya tahu kalau ikutkan gaji dia sahaja, mana mampu menanggung semua, saya cakap takpe abang, saya akan tolong. Family abang, family saya juga. Saya tidak kisah kerana saya mampu. Saya cuma mengungkit pada hari saya ditampar mertua dan dibelasah kakak ipar, ya saya mengungkit hanya pada hari itu kerana saya tidak tahan. Saya tahun mereka tidak akan berubah, mungkin semakin teruk. Ramadhan kali ini memang la sedih tanpa suami namun saya akan kuat. Saya berbuka dengan ibu saya pada hari pertama berpuasa. Di rumah mertua dahulu, kalau tibanya bulan puasa dan raya, saya akan awal awal susun perbelanjaan untuk mereka, semua persiapan raya mereka. Selalu juga bekas mertua, kakak ipar dan suaminya request kami bawa mereka berbuka di restoran mewah dan makanan sedap-sedap. Baju raya yang mahal-mahal, dan pernah kakak ipar mengajak saya teman dia ke kedai emas, tanpa mengesyaki apa, saya drive kan sahaja bawa dia ke kedai emas, di sana dia pilih gelang tangan dan terus minta saya bayarkan. Terkejut, saya terus cakap tidak mahu, kerana budget cukup-cukup untuk bulan puasa dan raya, untuk persiapan raya satu keluarga, kakak buat muka, keluar kedai masuk kereta dan hempas pintu kereta saya. Lama juga kami tidak bertegur sapa. Tapi tidak apalah, saya tetap halalkan semua, saya hanya manusia biasa, ada khilafnya, sifat sabar saya ada limit. Pada yang kata saya berkira, ya mungkin betul. Sebab saya yang bekerja, tidak berehat untuk siapkan projek. Saya bukan malaikat.

Selepas saya mulakan hidup baru, saya semakin dekat dengan Tuhan. Sebelum ini saya hanya tunaikan solat wajib, itu sahaja. Alhamdulillah, kini Malam-malam saya bangun dan solat untuk minta ampun atas dosa saya meminta cerai daripada suami. Saya harap sangat saya diampunkan.

Bekas kakak ipar masih mengganggu dengan menghantar message bukan-bukan, mendoakan saya mati cepat dan memaki hamun namun saya tidak reply kerana apa yang penting saya nak mulakan hidup baru. Bekas adik-adik ipar saya yang masih belajar juga ada yang telefon saya, pada mulanya saya fikirkan mereka betul-betul rindukan saya dan mahu saya dan abang mereka berbaik namun meleset apabila di akhir perbualan mereka berkata "kalau cikngah takde, siapa nak bagi elaun kat adik tetiap bulan? mak dengan abang kalau bagi pun sikit." Hati saya perit lagi, tidak habis-habis. Bekas kakak ipar pun ada message cakap "ko jangan nak lepas tangan, perempuan jahanam. Yang ko pergi potong astro dengan wifi rumah ni kenapa? Ko tunggu aku suruh laki aku cari ko". Saya screenshot dan saya hantar pada bekas suami, dan cakap – Abang, saya minta maaf tapi saya dah tak sanggup dah. Selepas itu, saya putuskan semua contact dengan bekas suami, saya tukar nombor apa semua. Sebab itu kadang-kadang saya tahu bekas suami masih tunggu saya di tempat kerja saya, tapi dia hanya duduk dalam kereta, mungkin perhatikan saya dari jauh. Mungkin.

Akhir kata, saya maafkan semua perkara, saya hanya maafkan, tetapi tidak lupa. Saya cuma terbayang, mungkin ada lagi orang di luar sana senasib dengan saya, namun lebih teruk. Sekurangnya saya masih boleh hidup sendiri, boleh berdikari, saya masih ada keluarga saya. Bagaimana mereka yang tidak bekerja? Tiada pendidikan? Hanya bergantung pada suami? Sebab itu saya selalu pesan pada adik perempuan saya, belajar betul-betul, bekerja, jadi kita boleh hidup sendiri kalau ada apa-apa. Kita tidak terlalu bergantung pada suami. Mungkin ramai yang tidak setuju, tapi tidak apalah, masing-masing ada pendapat sendiri.

Salam Ramadhan semua. Kita doakan yang baik-baik untuk diri kita semua.

– Mrs. A

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

1,236 Comments

  1. Dear Confessor,

    Kita satu batch, grad 2007..masa baca confession sis kelmarin, hati sy bagai dicarik2..pd masa yg sama sy yakin, sis bukan calang2 orgnya sbb tu sis diberi ujian yg luarbiasa..di kala sy merenung nasib, doa utk berumahtangga blm dikabulkn, ada insan2 yg sebaya sy telah hebat diuji dgn dugaan hidup yg luarbiasa..baik sis, sy, atau sesiapapun dlm ni, jln hidup kita x sama, dan ujian kita pun pasti berbeza..

    Pada sy sis adalah alumni IIUM sejati..inilah gaya seorg bekas graduan IIUM menghadapi dugaan hidup (sorry i didn’t mean to be bias, tp kita akan kenal style uni kita sendiri)..sis tegas dlm lembut, dan sis pasti apa yg paling patut dilakukan..buatlah apapun yg dirasakn terbaik, Allah akan pimpin sis mengharungi badai ini..

    Sy doakan, Allah gantikn segala kedukaan sis dgn kebahagiaan dunia akhirat..dan semoga Allah memberikn taufiq dan hidayah-Nya kpd keluarga ex-husband sis..kadang2 Allah uji seseorg sbb nak angkat darjatnya, dan kdg2 Allah timpakan sesuatu yg x elok sebagai menyelamatkn kita dr terperangkap utk jangka masa yg lebih pjg..segalanya Allah dah susun dgn begitu baik sekali, hikmahnya akan kita dpt lihat kemudiannya..

    Sebagai org yg teraniaya, berdoalah agar mereka diberi petunjuk..mereka pasti terhukum dgn kesilapan mereka seumur hidup, tp hidayah Allah akan menyelamatkn mereka dr terus hanyut..terima kasih kerana berkongsi, sy pasti bukan mudah juga bg sis utk menceritakn segala yg terbuku di hati..ketabahan sis akan inspire ramai lagi org2 yg hebat diuji di luar sana..semoga 1 hari nanti akan ada novel atau drama psl kisah sis ni, biar lebih ramai dpt pengajaran.. :’)

    Teruskan ketabahanmu..u’re not alone..Allah dan doa kami semua mengiringimu..♥

    P/s : Thank u for everything, The Garden of Knowlegde and Virtue.. ♡♥♡

  2. Sy sokong tindakan sis, bercerai lebih baik. InsyaaAllah dpt jodoh n family mertua yg lebih baik lps ni. Lagi satu pasal ugutan tu better sis buat report, tkot dieorg apa2 kn sis, org zaman skrg xblh buat kira lg2 lah dh tahu prangai gila mcm tu. N amal doa2 pendiding tkot dieorg bomoh kn sis plk nnti. Sy doakn sis sentiasa tabah n sentiasa d bwh lindunganNya.

  3. berbeza dgn kakak ipar aku. dia putuskn hbgn anak lelaki dgn mak. smpai skg kak ipar aku yg puaka tu dh ada title. dia minx cerai dgn abg aku. and abg aku now is nothing..tula pengajaran paling besar dlm family aku

  4. Gaji sang isteri bukan hak keluarga sang suami.. Sang suami pun haram mintak duit isteri, Harta isteri tnpa kerelaan.. Tp tu la kan.. Kite kawin, kite kawin skali ngn family suami/isteri.. X pe la.. Anggap la bukan jodoh.. Mungkin ini adalah dugaan dari tuhan.. Setiap dugaan nnt ad ganjaran tuhan nk bagi..

  5. Moga Mrs. A tabah mengharungi cabaran hidup yang telah ditetapkan Allah Ta’ala. Sometimes LOVE is just not enough … Hang in there. Insya’Allah, ader Hikmah nyer tu. Salam Ramadan. ✌️

  6. tu lah, kalau dah ada pekerjaan elok, boleh survive. kalau yang megharapkan suami je, tu yang jadi mcm dalam drama tu. anyway good luck in future kak!

  7. sedihnya ya Allah smoga kakak tabah cmni la agaknya sstgh org yg nk dftar perceraian hari tu tp mata berkaca xmmpu brkata2..mgkin tersurat kita nmpk..yg trsirat hnya Allah yg tahu

  8. Sy hrp kak A simpan segala bukti mesej2 dri bkas kkk ipar tu…jgn pnah delete stu pun…supaya in future if dia ade buat apa2 pada kak A, skurang2nya kak A ade bukti utk tunjuk pde polis…semoga kak A tabah

  9. Yg baik dr Allah yg buruk dtg dr diri kita sndiri..Pd bekas kakak ipar kalau baca ni…cukup2lah mengacau hidup puan ni, semoga dpt hidayah allah..rakan2 fb doakan yg baik2 pada puan ni bekas bekas ipar puan ni ..amin

  10. Te
    ruskan hidup puan dengan tenang dan aman. Apalah gunanya berkahwin jika hanya untuk menanggung penderitaan. Mungkin Allah ingin menganugerahkan nasib yang lebih baik kepada puan selepas ini. Saya doakan agar hidup puan bahagia dan dirahmati. Jangan
    bersedih ya! Selamat berpuasa.

  11. Perkara mcm ni mmg banyak berlaku. Malah ada yang lebih teruk suami pun sama naik. Pengajaran yang baik utk kaum hawa: SENTIASA BERSEDIA DENGAN MEMPUNYAI PENDAPATAN SENDIRI.

  12. Syukur alhamdulillah,,..semoga allah per mudah kn,,tp jika gangguan,,berterusan,,anda harus report police,,..sbb kt xtau hati org,,klo mental??..jadi tujuan report ni,,untuk lebih berjaga”..keselamatan anda,,…insya allah,,..jaga diri baik”..semoga dapat melalui dgn tabah,,dan jgn pernah kembali kepada keluarga pelampau mcm tu,,sygi diri anda..sygi ibu bapa kita,,lg bagus….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *