Mimpi Paling Jelas

Sepanjang aku berumah tangga, semenjak dua menjak ini aku rasa ralat. Mimpi malam tadi membuatkan aku semakin ralat.

Sedekad aku berkahwin, mimpi malam tadi paling jelas rupa anak aku, yang mungkin hanya khayalan gambaran aku sendiri. Tapi raut wajahnya sangat jelas.

Matanya, keningnya, rambutnya, comelnya, saiznya dan fizikalnya. Keningnya lebat seakan aku, mulut mengikut ibunya.

Aku terjaga dari tidur yang ketika itu masih di dalam mimpi, aku ada anak! Masih bayi dah siap dibedung.

Aku terus rangkul, aku peluk aku cium, aku tenung… dia senyum manis. Lelaki. Aku peluk lagi, aku cium lagi. Wangi bau bayi.

Aku suka bau bayi sebab aku dari kecil suka bayi, aku masih ingat bau adik bongsu aku masa bayi…

Aku angkat anak aku itu untuk imbangi beratnya. Sangat jelas dan nyata. Gembira buka kepalang! Tapi dalam aku bermimpi tu, aku masih berdialog sendiri.

“Eh bila isteri aku mengandung, bila pula dia melahirkannya?”

“……hmm..”

“Ah, lupekan. Alhamdulillah akhirnya aku ada zuriat, lama aku menunggu, terima kasih ya Allah”.

Aku tatap muka dia puas-puas. Mimpi di dalam mimpi, aku tahu ia hanya mimpi. Tapi aku hargainya.

Aku terjaga.

Tapi aku tak menceritakan kepada isteriku. Ya, itulah ralatnya. Aku tidak sampai hati.

Aku masih berusaha mendapatkan zuriat pertama, aku pertengahan 30 an. Aku bukan jenis mengalah aku mencuba. Tapi zuriat takkan lahir tanpa adanya rahim dari ibunya.

Pendekatan aku dan isteriku mungkin agak berbeza. Aku masih percaya juga cara tradisional yang tidak merosakkan akidah aku.

Ralat itu datang sejak kami berselisih faham dan agak bergaduh, puncanya aku ingin mencari tukang urut untuk mengurut urutan wanita, kalau pun tidak untuk peranakan, untuk keselesaan badan pun cukuplah.

Sedekad aku berkahwin, ini lah sekali aku serius nak cari tukang urut, sebab saja-saja usaha, tak cuba tidak tahu. Sebab bagiku mengurut tidak memudaratkan, malah meringankan badan.

Cumanya, aku tahu isteri aku tidak suka berurut kerana dia tidak suka badannya disentuh-sentuh masa mengurut walaupun yang mengurut itu wanita.

Aku hormat padangannya itu, cuma aku rasa seronok kalau dia setuju, mengurut untuk santai santai sahaja. Aku akan uruskan cari orang itu dan hanya mengurut di rumah sahaja.

Tapi niat aku itu tidak digemari atas asbab di atas. Berlaku perselisihan faham dan dia rasa aku menekannya. Walhal tidak, aku cuma ingin usaha apa apa pun. Walaupun mungkin impaknya kecil, usaha tetap usaha.

Kami bergaduh emosi. Aku menerangkan dengan jelas niatkan, tanpa paksaan. Tapi isteriku terus beremosi dan isteriku mengeluarkan kata-kata yang aku benar-benar rasa ralat dan kecewa.

Iaitu, sambil menangis menahan emosi bergelora, dia menyatakan sudah tidak mahu berusaha, dan aku kena terima niat dia itu. Sebab dia sebelum ni pernah berusaha dan kecewa, kecewa tu meremukkan hati dia.

Dia tak sanggup tanggung kecewa selepas berusaha tu lagi. Dan, jika aku mahu berusaha mendapatkan zuriat juga, dia sanggup keluar dari perkahwinan ni.

Aku tersentak, Habis aku ni bagaimana? Aku perlukan rahim seorang isteri. Sebab aku sayang perkahwinan kami, dia isteri yang istimewa bagi aku.

Tapi aku sikit pun pernah terlintas sejauh tu atas dugaan dalam perkahwinan kami ini. Inikan nak keluar dari perkahwinan.

Aku tak pernah rasa sekecewa ni. Kecewa ya Allah. Aku termenung, aku masih mahukan zuriat. Tapi bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.

Aku ni macam mana?

Aku sayangkan dia seperti mana kami bercinta dulu. Aku bersyukur, kerjaya aku mampu menanggung keseluruhan isi rumah. Rumah, kenderaan, nafkah aku sediakan semua.

Aku tak ralat membayarnya asalkan kami selesa hidup. Dia surirumah dan dia melayan aku dengan baik.

Perselisihan itu malam, dan selepas isteri aku berkata begitu. Esok harinya aku berasa tidak seperti hari sebelumnya. Aku tidak tahu nak meluah dimana.

Aku kecewa, aku sedih. Sayang aku juga menyurut, gembira aku hilang, buat aku termenung bila duduk sendirian.

Aku tidak melihat dia sama seperti hari sebelumnya. Aku melihat isteriku menjadi kosong. Harapan aku hilang.

Keinginan batin aku juga menyurut bila melihat isteriku sebab perkara itu. Aku rasa malas nak bermanja seperti selalu. Tak pernah aku rasa sesurut ini.

Sudah 2 bulan aku begini. Aku pendam. Aku tidak tahu nak bercerita di mana, lelaki tidak semudah wanita untuk meluahkan. Tidak banyak telinga ingin mendengar.

Juga aku takmau bergaduh lagi. Sakit jiwa dia, sakit jiwa aku. Dulu ayahku baran dan memukul ibuku. Beberapa kali ingin bercerai.

Tapi anak-anak menyatukannya. Aku belajar untuk tidak ulang sikap ayahku. Sebelum kahwin aku dah niatkan. Kini ayahku sudah berubah, ibuku gembira.

Jadi aku tidak mahu sesakkan fikiran ibu aku dengan cerita ini. Juga tidak mahu mengubah persepsi baik ibuku terhadap isteriku.

Hendak cerita pada isteriku pula, ah bergaduh lagi. Serabut kepala.

Tapi yang jelas sayang aku padanya tiba-tiba menyurut. Sebab aku kecewa yang amat. Sampai hati dia kata begitu, aku sikit pun tak pernah tengking atau naik tangan. Aku tak nak jadi ayahku. Tapi kenapa dugaannya macam ni.

Aku memang dambakan perkahwinan yang macam ni. Tapi ujian zuriat ini makin meningkat sama meningkat dengan umurku.

Cuma bezanya, seakan noktah usahanya itu terlalu awal. Tersekat di lubuk jiwa, tersekat di fikiran. Sedangkan perkahwinan ini masih panjang jalannya.

Juga, sejak dua menjak ini, makin kerap makin kuat ku diganggu fikiran ku sendiri, baik bila celik juga bila mimpi. Sampai munculnya mimpi malam tadi yang aku rasa atas waras fikiranku sendiri.

Tapi apa pun aku hargainya, dapat juga ku lihat wajahnya.

Maaf pembaca, aku hanya ingin meluah, tapi cukuplah di sini. Semoga Allah bukakan pintu hati kami berdua. Semoga ada zuriat buat kami.

Tunjukkanlah jalannya ya Allah. Walaupun yang aku nampak hanya samar.

Anak angkat? Aku tepuk jiwa tanya iman, kalau mahu ambil anak angkat, tetapkan niatnya menjaga anak angkat tersebut sepenuh jiwa, bukan kerana ingin dapat zuriat.

Aku takut berlaku tidak adil. Allah, aku redha walau tidak ku damba. Yang pasti,aku akan kekalkan perkahwinan ini. Terima kasih ya Allah beri bayangan wajah zuriatku, cukup meredakan sementara hatiku.

Terima kasih mendengar luahanku, sedikit sebanyak dapat melepas sesak di dada. Alhamdulillah wujudnya platform IIUM Confession ini.

Sekian..

– Jejari Tidak Runcing (bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *