Hai pembaca semua. Pertamanya, terima kasih kepada Admin sebab up cerita aku, juga terima kasih kepada pembaca sebab sudi baca.
Selepas sekian lama menjadi silent reader, harini terbuka hati aku nak kongsi sebuah cerita yang masih menghantui aku hingga sekarang.
Kisah ni berlaku beberapa tahun yang lepas ketika aku dan suami baru membina keluarga.
Dengan izin Allah, kami dikurniakan seorang anak yang comel pada awal perkahwinan. Anak kami sangat montel, macam makhluk tayar Michelin, sedangkan kami laki bini kurus melidi sahaja.
Setiap hari sebelum kerja, aku bekalkan beberapa stok susu badan kepada pengasuh dan memang anak minum habis. Menginjak 6 bulan, aku mula memperkenalkan solid food kepada anak.
Suatu hari, aku dapat aduan dari pengasuh yang anak aku tak mahu menyusu botol langsung.
Aku anggap ia normal, mungkin nak tumbuh gigi dan aku pun tak risau sangat sebab dia masih nak menyusu badan dan makan. Hanya tolak botol. Jadi aku minta pengasuh beri guna sudu dulu.
Kami cek anak kami setiap hari bimbang kemungkinan dia didera tapi akhirnya kami tolak kemungkinan tersebut sebab tiada unsur penderaan dan pengasuh pun berusaha bantu.
Hari berganti hari, tiada kemajuan. Stok susu yang dibekalkan kepada pengasuh tak habis dalam kuantiti yang banyak (jarang berlaku). Air masak pun kurang minum walaupun jadual makan masih normal.
Bimbang stok susu sedia ada sudah tercemar, aku ambil keputusan buang stok-stok susu sedia ada, dan ganti dengan stok baru. Memang sedih, sebab tu adalah stok susu 2-3 bulan banyaknya. Masih tiada kemajuan.
Kemudian kami ikhtiar perkenalkan susu formula. Yang murah dan yang mahal, yang soy based dan biasa, semua kami cuba. Tukar botol murah hingga beratus-ratus pun sudah. Bawa ke pakar-pakar berlainan, tiada sebarang masalah dikesan.
Kami buntu. Anak kami mula sakit dengan kerap dan hilang berat. Menangis siang malam. Aku mula ambil cuti kerap, stop hantar pada pengasuh untuk sementara dan jaga sendiri.
Sampai satu tahap kami terpaksa tebalkan muka beberapa kali minta keluarga datang untuk ambil alih, sekiranya kami memang betul-betul tak dapat cuti. Tak tergamak nak hantar kampung sebab anak hanya nak susu badan direct.
Simpanan wang kami makin merosot dengan kritikal sebab ikhtiar itu ini tanpa putus. Mental kami memang koyak, nangis jangan cerita berapa banyak kali. Hingga terdetik dalam hati aku agaknya dah sampai seru untuk aku berhenti kerja.
Kemuncaknya apabila keluarga aku datang ke rumah kami pada suatu hari untuk bantu ketika anak kami demam panas. Abah aku mencadangkan untuk minta bantuan dengan seorang kenalannya, Ustaz A.
Aku dan suami skeptikal, tapi hanya mampu mengiyakan sebab kami pun dah buntu. Bukanlah tak percaya, cuma kurang yakin.
Malam tu abah hubungi Ustaz A dan beliau minta ambilkan beberapa gambar sekitar rumah kami. Abah ambil gambar berhati-hati tanpa dedahkan ruang-ruang privasi.
Tak berapa lama kemudian, Ustaz respon pada satu sudut gambar rak kasut.
“Ada makhluk menumpang pada kasut ni” “(ustaz tandakan arrow), ambil dan buang ke tempat jauh”
Ya, seperti tajuk di atas guys, makhluk tu menumpang di kasut sukan Adibas aku.
Aku, suami, mak, abah, adik saling berpandangan. Rasa macam biar betul ustaz ni main-main ke, dah kenapa nak duduk kat kasut tapi dalam masa yang sama bulu roma masing-masing tegak.
Nothing to lose, tanpa berlengah suami, abah dan adik aku ambil kasut tersebut, bungkus elok-elok dan pandu keluar untuk buang ke tempat yang jauh.
Aku dan mak aku dah standby susu botol untuk beri pada anak aku. Sebaik sahaja ketiga-tiga mereka pandu keluar, aku suakan botol kepada anak aku dan teka gais, anak aku MENANGKAP!!
Aku dengan mak aku tergamam. Kalau tak selama ni dia elak, nangis dan tepis. Kali ni anak aku minum susu macam kebulur.
Habis satu botol, aku tambah lagi sebab tak cukup. Masa ni aku sebak tak terkata la ya Allah. Gugur rasa berat kat bahu, jiwa dan minda.
Aku terus inform suami aku. Balik tu aku tengok muka dia pun macam nak nangis.
Anak kami kembali seperti normal dan kami pun dah kurang risau kat tempat kerja. Aku dan suami memang sangat berterima kasih kat keluarga dan Ustaz A.
Ustaz kata mungkin waktu aku beriadah aku ada terpijak sesuatu, wallahualam. Terima kasih ya Allah hadirkan orang-orang yang membantu di saat kami hampir putus asa.
Walaupun keadaan dah ok, kadang-kadang aku termenung sendiri. Sejauh mana akal aku cuba mencari logik, memang tak tercapai akal.
Jokes aside, tinggi benar selera makhluk tersebut, kenapa la tak duduk kat kasut Asabi aku je.
Tapi tak apa lah. Aku pun dah selamat gantikan dengan Adibas baru. Anak aku pun dah membuntal semula.
Tahun berganti tahun, sampai sekarang aku masih terbayang peristiwa tu.
Apapun, semua yang berlaku adalah atas izin-Nya dan tiada yang terkecuali daripada pengetahuan-Nya. Kita hanya makhluk lemah yang sentiasa perlu meminta pertolongan-Nya.
– Ibu Adibas (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit