Misteri Nenek Tua

Hai pembaca semua. Setelah sekian lama menjadi silent reader di page ini, aku terdetik ingin share pengalaman aku di mana sampai sekarang masih menghantui diri aku.

Aku gelarkan diri aku Wani..

Kisah ini memang kisah benar yang terjadi kepada diri aku dan keluarga aku sendiri, tiada tokok tambah mahupun pembohongan.

Atas pembaca ingin percaya atau tidak tetapi yang paling penting, sama sama kita ambil pengajaran.

15 tahun lepas, aku selalu tolong ibu ayah aku berniaga.

Kami sekeluarga mencari rezeki dengan berniaga ikan, sayur sayuran menggunakan van. Dari kawasan kampung ke taman-taman kami pergi untuk mencari sesuap nasi.

Kehidupan kami waktu ini sangatlah baik dan agak mewah untuk 15 tahun yang lepas.

Ayah ada beberapa van dan sebuah kereta. Aku selalu tolong ibu ayah aku. Sebab ayah aku pada masa tu tak berapa sihat (kencing manis)

Jadi yang uruskan jual beli ialah aku dan ibu pada hujung minggu dan ibu pada hari biasa.

Segalanya berjalan dengan lancar sehingga suatu hari kami ditahan oleh seorang nenek tua.

Nenek itu berbadan bongkok, pakai pakaian yang agak lusuh, memakai kain yang dililit atas kepala dan kata ibu, corak pakaian yang dipakai oleh nenek itu merupakan corak orang zaman dulu-dulu.

Nenek tua itu sering menahan van kami di sekitar ladang getah, di mana tiada orang pun tinggal di sekitar itu, cuma nenek itu berseorangan sahaja yang menahan kami.

Nenek itu cuma membeli lada burung dan sayur sayuran biasa. Walau banyak mana pun nenek ambil, bayaran yang nenek tu mampu beri cuma 50 sen sahaja.

Kadang-kadang aku dan ibu hanya bagi saja dengan niat sedekah tetapi nenek itu marah.

Macam mana pun, kami terpaksa ambil juga 50 sen tersebut. Ayah tidak menguruskan jual beli dan hanya tunggu di dalam van sahaja.

Pada satu hari, ingin dijadikan cerita, aku tidak mengikut ibu dan ayah berniaga.

Menurut ibu, nenek tersebut ada menahan kami di tepi jalan tempat biasa tapi ayah tidak berhenti sebab katanya ayah, “ahh nenek ni cuma bagi 50 sen sahaja bukan ada untung pun” dan itu merupakan titik kejatuhan hidup kami.

Setelah hari itu, kami tidak nampak lagi nenek tersebut. Tiada lagi lambaian nenek tua menunggu kami di tepi jalan untuk membeli.

Nenek tua hilang dan ghaib terus dari pandangan kami sehingga ke hari ini.

Aku dan ibu merasa tidak sedap hati dan cuba mencari nenek itu untuk meminta maaf bagi pihak ayah dengan bertanyakan kepada penduduk kawasan itu tetapi tiada seorang pun yang mengenali nenek tersebut.

Setiap orang di kawasan itu kami tanya bahkan kepada penghulu sendiri tetapi tiada siapa pun yang mengenali.

Yang paling seram kami siap bawa lagi salah seorang penduduk ke tempat yang biasa kami ditahan oleh nenek tua tapi tiada satu rumah pun di kawasan ladang getah itu.

Yang ada cuma jalan kecil dari semak samun dan bila kami menyusuri jalan tersebut tiada satu rumah pun yang ada hanyalah hutan.

2 tahun selepas kejadian, ayah jatuh sakit misteri. Badan ayah penuh dengan kesan luka seperti luka terbakar kena api.

Ayah juga kuat kena gangguan. Tambahan pula ayah ada kencing manis jadi sakit ayah semakin kritikal.

Kami terpaksa menjual segala van dan kereta yang kami ada untuk membayar semua hutang dan menampung kehidupan memandangkan ayah sudah tidak mampu bekerja.

Nasib ketika itu aku sudah tamat spm dan mampu bekerja menyara hidup kami sekeluarga walaupun tidak sesenang dulu.

Adik adik aku ada yang tidak menyambung sekolah kerana faktor kemiskinan kami.

Sekarang ayah sudah meninggal dunia, Al Fatihah buat ayah.

Kehidupan kami semakin baik memandangkan adik adik semua sudah besar kecuali adik bongsu yang masih bersekolah.

Kadang-kadang aku terfikir adakah kami sekeluarga terkena sumpahan nenek tersebut disebabkan kesombongan kami.

Dan nenek tersebut juga masih menjadi misteri sehingga kini.

Kesimpulannya di sini, sebagai manusia kita janganlah sombong, dan sentiasa menghormati orang di sekeliling kita. Kerana kesombongan itulah yang akan memakan diri kita.

– Wani Shaz (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *