Mungkin Sepatutnya Aku Tak Perlu Kahwin

Aku lelaki yang mungkin dah mati rasa. Sekarang umur pun sudah awalan 30an. Perkahwinan aku masih di fasa pertama. Tapi perkahwinan aku bukan kerana aku betul2 cinta dan sayang.

Aku berkahwin kerana aku fikir umurku sudah cukup dan aku sudah penat menunggu dan berharap benda yang tak pasti.

Mati rasa.

Isteriku sekarang tiada yang aku kesalkan berkahwin dengannya. Bahkan aku bersyukur dengan baik, tolak-ansur dan sifat kebersamaannya selama berkahwin.

Tapi perasaan sayang dan cinta itu tak sekuat yang pernah aku rasa dulu. Perasaan yang ingin mendahulukan pasangan lebih dari diri sendiri. Perasaan yang dialah segalanya.

Perasaan yang mana dia lebih penting dari diri aku sendiri. Perasaan yang sanggup buat apa sahaja untuk dia. Perasaan yang ingin buat apa sahaja untuk membahagiakan dia.

Semua rasa dan emosi tu seakan hilang, habis dan pergi bersama-sama dengan “orang yang dahulu.” Mungkin jasad, keadaan dan status aku sudah diteruskan. Tapi hati dan perasaan aku masih terhenti dan tertinggal di tahun 2016. Dan akhirnya aku mati rasa sehingga sekarang.

Sebelum buat andaian tentang tanggungjawab aku dengan perkahwinan sekarang. Aku jelaskan yang aku tetap lakukan tanggungjawab aku sebaiknya. Aku simpan mati rasa aku sendiri dan berkelakuan seperti seorang suami yang sepatutnya.

Dan tak terlintas aku nak menduakan mahupun mentigakan isteri aku. Cuma, jika diberikan pilihan untuk memutarkan balik waktu. Mungkin aku akan memilih untuk kekal berseorangan dan tidak berkahwin.

Hidup perlu diteruskan. Kenapa perlu seksa diri tunggu dan berharap. “Orang Yang Dahulu” dah bahagia dengan pilihan dan hidupnya.

Betul. Sebab itu aku putuskan untuk berkahwin selepas 5 tahun menunggu dan mengharap benda yang tak pasti. Tapi akhirnya aku rasa mungkin sepatutnya aku tak perlu berkahwin.

Sekarang, rasa itu tidak pernah datang dan aku jalani hari2 aku atas dasar tanggungjawab dan bukan kerana sayang dan cinta.

Mungkin aku patut pegang dengan janji yang aku cakap pada diri aku sendiri dahulu. Jangan berkahwin sehingga aku jumpa dengan seseorang yang betul2 boleh buat aku rasa seperti mana yang aku rasa dengan “orang yang dahulu.”

Kenapa kuat sangat perasaan itu dengan “orang yang dahulu”?

7 tahun bukan masa yang pendek. Apa yang menjadikan diri aku sekarang adalah disebabkan keputusan yang aku buat dahulu demi “orang yang dahulu” itu.

Ini bukan minat dan cita-cita aku. Tapi aku terpaksa memilih jalan ini disebabkan itulah jalan yang paling terbaik yang aku ada pada masa itu dan yang paling menjamin masa depan aku untuk menghalalkan “orang yang dahulu” itu.

Tapi akhirnya graduasi aku tidak bergambar. Orang lain bergembira meraikan kejayaan menamatkan pengajian 5 tahun dengan foto graduasi pelbagai gaya. Aku hanya mengambil ijazahku dan pulang menjalani hidup seperti biasa.

Gambar rasmi menerima segulung ijazah di atas pentas pun aku tidak tuntut. Merasakan kejayaan menamatkan 5 tahun pengajian itu sudah tak bermakna kerana penyebab utama aku memilih jalan itu sudah pun tiada.

Ya betul, ibu dan ayah aku gembira dan berbangga pada hari tersebut. Demi menjaga hati mereka aku pakai topeng muka senyuman dan keceriaan pada hari tersebut. Tapi jauh di dalam hati. Aku kosong. Ini hidup aku. Perjalanan aku selepas ini, aku yang kena jalani sendiri.

Melihat orang berkasih sayang sesama pasangan membuat aku cemburu kerana aku tiada rasa itu. Aku pernah rasa dulu. Aku nak rasa perasaan itu lagi tapi tak boleh. Rasa aku telah mati. Aku tak tahu macam mana nak bagi ada rasa itu semula.

Indahnya hubungan dengan pasangan bila rasa cinta dan sayang itu sangat kuat. Mungkin dah ditakdirkan jalan hidup aku begini. Hanya menunggu masa sedarnya aku atas hikmah jalan dan takdir yang telah Allah tuliskan ini.

Aku tetap hidup seperti biasa bersama keluarga. Aku simpan perasaan ini sendiri. Meninggalkan isteri? Tak mungkin. Dia tidak salah.

Dia dan anak tak perlu tanggung derita emosi akibat perpisahan hanya disebabkan perasaan dan emosi aku yang tak stabil. Yang kadang2 teringat dan terkenang bila mana kenangan, memori dan mimpi tentang “orang yang dahulu” itu datang secara tiba2.

Aku harap aku tak akan berjumpa mahupun terserempak berselisihan di jalanan dengan “orang yang dahulu” itu lagi. Melupakan pun belum tentu apatah lagi nak memaafkan. Walaupun kita sudah menjadi versi kita yang terbaik.

Betul. Sebenarnya wujud lelaki yang tidak boleh melupakan cinta pertamanya lebih-lebih lagi bila orang itu telah memberi kesan yang besar dalam hidup dia.

Aku dah lalui nya dan aku tengah merasa kesannya. Kerana perkahwinan bukan untuk suatu tempoh masa yang singkat tetapi untuk teman sehidup. Sehidup itu lama.

-14-

– AO (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *