Next To Neelofa, Dr Muhaya

Assalamualaikum admin dan pembaca. Aku baru je habis tengok talk show Next To Neelofa tadi. Minggu ni Neelofa berbual dengan Professor Dr Muhaya.

Masha Allah, first time aku menangis ye tengok rancangan ni sebab sebelum-sebelum ni takdelah sebak sangat tapi tak tahu kenapa ayat-ayat Dr Muhaya ni betul-betul menusuk di dada. Mungkin sangat relatable dengan hidup sendiri kut.

Aku rasa nak kongsi sangat dengan semua orang sebab bagi aku, kebelakangan ni ramai sangat di kalangan kita yang tertekan, stress dan sebagainya sehingga kita tak tahu macam mana nak atasi dan macam mana nak tolong kawan.

Tapi lepas dengar ilmu yang dikongsi Dr Muhaya, hopefully dapat bantu kita. Selain tu, dia ada juga kongsi tips-tips parenting yang kita boleh buat kepada anak-anak kita.

1. Aura positif.

Dia kata aura ni ada 3 aspek. Spiritual, hati dan fizikal. Nak dapat aura positif, tiga-tiga ni mesti jaga. Kalau kita ni hanya pandai berfashion tapi spiritual dan hati zero tetap kita tak terpancar aura positif tu.

Apa yang penting sangat aura positif ni? Supaya orang senang dengan kita, orang buat baik dengan kita, rezeki senang dapat dan macam-macam lagi benda yang baik.

Kalau hati pula, kita kena bersihkan hati kita. Macam mana? Kita jangan judge orang, kita layan semua orang baik-baik kerana mereka ini makhluk Allah sama macam kita. Zikir selalu sebab ini makanan untuk hati dan rohani kita.

Dan hal ini berkait dengan spiritual, kita set dalam otak kita, kita hidup hendak keredhaan dan rahmat Allah. Kita kena tanam goal kita, kita nak di pengakhiran itu SYURGA Allah.

2. Sabar.

So of course bila cerita macam ni mesti ada yang kata, “Cakap boleh lah, cuba duduk tempat aku baru kau tau rasa.” Faham, aku pun macam ni tadi. Walaupun kita tengok hidup orang tu nampak bahagia, jangan di sangka tiada ujian besar menimpanya.

Dr Muhaya ada cerita, masa dia nak tingkatan 5 nak ambik SPM (dulu tak tau panggil apa, lupa) 3 bulan sebelum SPM, parents dia bercerai. Ayah dia poligami.

Masa tu dia sangat down. Koyak habis. Dekat asrama menangis tak berhenti tapi dia cepat-cepat fikir rasional, kalau dia layankan sedihnya dan tak fokus belajar, ibu dia akan bertambah lagi kecewa kalau dia tak berjaya.

So nak tak nak dia paksa diri dia fokus belajar, set dalam otak demi Ibunya. Demi maruah ibu agar tidak dikecam orang kampung sebab belajar kat sekolah Tun Fatimah, sekolah pandai.

Masa ayah dia kahwin lain, dia anak pertama yang boleh terima mak tiri dia sebab dia cuba maafkan ayah dia. Dia kata ibarat tangan digigit racun, takkan kita nak biar racun merosakkan seluruh badan kita?

Mesti kita cepat-cepat nak buang racun tu. Sama juga dengan dendam dan kemaafan. Kalau kita tak maafkan, sampai bila-bila kenangan itu akan meracuni diri kita menjadikan kita seorang yang sangat negatif dan toksik.

Part ni aku dah start nangis sebab aku pun memang ada isu dengan parents dan kenalan aku. Aku tak boleh nak maafkan mereka, walaupun tak berdendam tapi memang betul, tetap rasa diri ni terlalu negative, tak tenang dan stress.

Next, pasal anak dia. Rupanya ada anak dia seorang yang meninggal dunia masa umur 11 tahun takde sebab, cuma collapsed sahaja. Post mortem pun kata memang takda punca.

Masa tu dia memang sedih yelah anak dah takde tapi pada masa yang sama dia ingat pesan Nik Aziz, kita hidup nak Husnul Khotimah dan Syurga Allah.

So dia cuba kuatkan diri dia dan sempat mengatakan pada jenazah anaknya, “Ibu hantar ke syurga ye. Nanti jemput ibu.” Part ni nangis jugalah.

Dalam setiap ujian-ujian yang dilalui, kita kena ingat kat otak kita, kita kena sabar, syukur dan nak redha Allah je. Bila kita fokus akhirat, in shaa Allah dunia ni takda apa.

3. Self-love.

Setiap pagi atau sebelum tidur, kita pandang cermin. Kita kena cakap “(nama), saya sayang awak, saya minta maaf kalau saya sakitkan hati awak, saya janji saya akan usahakan untuk tidak menyakiti awak lagi.”

Just keep on ulang-ulang benda tu. Memang first-first tu kekok tapi lama-lama memang jadi. You will be the better version of yourself. Kita nak latih minda tak sedar kita.

Lepas tu apa yang kita nak, tulis dalam buku. Atau pun cakap hari-hari. Walaupun nampak mustahil tapi buat je. In shaa Allah you will be surprised to achieve those things. Sebab Neelofa buat benda sama juga, look at her now.

Pasal parenting pula,

1. Aspek agama.

Ayah Dr Muhaya askar so masa kecil, setiap kali maghrib mereka kena zikir pastu solat jemaah. Ibu pula selalu baca yaasin hari-hari pastu tiup dekat air bagi anak-anak minum. So, hari-hari mereka minum air yaasin, doa dari ibu.

2. Tegur anak.

Cuba untuk tidak marah tapi suruh anak berfikir dan visualise. Contoh, anak tengah tengok tv, exam nak dekat. Cakap je lembut2,

“Nakk, cuba bayangkan kalau la masa keluar result exam tu, kamu nak menangis ke kamu nak happy, bahagiakan ibu ayah? Jadi, kamu nak sambung tengok tv atau nak belajar?”.

Automatik anak akan pergi belajar. Tak payah penat-penat marah. Rasanya boleh guna kaedah sindiran atau pun reverse psychology. Kita pun tak stress.

3. Tengok program motivasi.

Latih diri dan anak-anak tonton program motivasi dan berilmiah. Bukan apa, roh kita perlukan ilmu-ilmu ini. Lebih kurang macam vitamin la selain melakukan ibadah.

Konklusinya, apa-apapun kita kena sayang diri kita, tanam di kepala kita yang kita nak rahmat Allah, bersihkan hati barulah hidup kita akan tenang. Takde ujian tak berharga lah kita.

Sebab aku ada baca, ujian yang Allah beri bukan untuk melemahkan kita tapi untuk menaikkan darjat kita. Kalau kita mampu hadapi maka kita lebih berharga dari orang yang tidak ditimpa ujian.

Macam berlian juga. Makin ditekan, makin cantik dan mahal berlian itu. Bukan sembarangan orang dapat memiliki sebab nilainya yang terlalu mahal.

Akhir kata, mudah-mudahan ilmu ini dapat memberi manfaat kepada kalian. Tak dapat buat semua pun takpe, buat satu-satu. Jangan terburu-buru. In shaa Allah kita semua nak masuk syurga Allah kan?

Last kali, maaf posting panjang sangat. Assalamualaikum.

– Nur (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit