Oh Ibu Oh Ayah

OH IBU.

Khusus untuk kaum ibu dulu ya..sebab benda ni orang perempuan yang ramai buat..

1. UPLOAD SEGALA BENDA DALAM MEDIA SOCIAL.

Bermula dari UPT double line, saat-saat mengandung, bersalin, menyusukan.. semua tentang anak semuanya nak diceritakan. Itu aku tak nak cakap banyak, karang cakap lebih-lebih ada pulak yang kata aku dengki. Lagipun dah ramai yang tegur pasal benda ni malas aku nak ulas balik. Lantak lah dah nama pun media social tu korang yang punya account. Cuma aku nak tegurnya tak perlulah sampai nak bagitau LOKASI di mana korang berada. Checkup kat mana, beranak kat hospital apa tu ok lagi la.. tapi siap letak wad berapa tingkat berapa, hantar anak kat Taska mana, Tadika mana. Sekolah mana. Ini bukan kes dengki ye mak.. Ini melibatkan soal KESELAMATAN tau! Keselamatan. Tau tak jenayah ada di mana-mana sekarang ni? Korang tak takut ke ada orang jahat stalk korang ke.. sebab kita terlalu open untuk bercerita itu ini sehingga membuka ruang untuk perlakuan jenayah ke atas kita. Puan-puan yang dihormati.. dunia media social ni bukan semua orang kita boleh percaya. Buatnya dari status korang tu die ikut korang.. buat apa-apa kat korang dengan anak-anak.. kan dah niaya.. bak kata orang utara.. “menangis tak berlagu baq ang..”

2. MEMBUKA AURAT DAN HILANG MALU.

Aku kategorikan ni sebagai 2 ya..

Dari segi PAKAIAN- yang ini ramai dah tahu, tapi buat-buat tak tahu. Oh lupa, suami korang tanggung dosa korang kan.. kalau suami tak cakap apa, suka tengok isteri dia pakai ketat-ketat, tudung tak tutup dada.. terbonjol sana- tersembul sini.. kita yang orang luar ni tak boleh nak cakap apa lagi lah.. dengan alasan.. “suami saya tak kisah pun saya pakai begitu begini begitu begini…” Takpelah suami-suami.. isteri korang ni kan untuk tatapan umum.. Tapi kalau suami tak tegur sekalipun, inisiatif sendiri la tapis- tapis pakaian tu.. kan dah ada garis panduan dalam islam.. aku bukan syok sendiri ikut panduan aku.. tapi sebab dalam Al-Quran dah menyebut.. Al-Quran tu kata-kata siapa? Perintah siapa? Aku nak tegur jugak segelintir mak-mak yang menyusukan anak.. Pergi jalan-jalan tudung dah tak tutup dada.. anak pulak meronta-ronta nak menyusu badan.. La.. lupa nak bawak nursing cover, tak sempat cari bilik menyusu.. bilik menyusu tak ada.. on the dot terus selak baju tak fikir dah orang yang lalu-lalang.. Wau.. rezeki.. tayangan umum di situ.. oh lupa.. memang untuk tayangan umum kan.. kat rumah mertua, rumah sendiri depan ipar duai sedara mara pun main ikut dan je nak selak.. pergilah menyusu diam-diam dalam bilik tu.. nak jugak kat tempat umum.. ish..ish..ish.. zaman anak dara tau pulak tutup benda alah tu.. kenapa bila dah jadi ibu tu perasaan malu makin kurang ye??

Dari segi PERCAKAPAN- ye memang kita tak membuka aurat kat sini. Tapi komen-komen yang kita tulis tu dapat membayangkan aurat. Sebagai contoh, tak dinafikan dalam media social ni banyak sangat group-group yang kita boleh join untuk menambahkan ilmu pengetahuan. Tapi, ada sesetengah group-group ini boleh dibaca dan dilihat untuk tatapan umum. Contoh aku pernah tengok setakat ni bila ada ibu mengandung bertanyakan soalan yang pelik-pelik seperti “hutan yang belum ditebas”(jenuh pikir ayat apa yang sesuai). Yang komen pun alahai.. bangganya bercerita benda tu detail-detail.. ada jugak terlebih bangga bercerita suami dia tolong…..(tak sanggup dah nak tulis) Aduhai.. (tepuk dahi) Takde tapis langsung! Hello.. umum kot..umum! Semua orang boleh baca. Benda bab tebas menebas, sesi beramah mesra, ketiak hitam putih, saiz buah-buahan besar kecik tak perlulah diceritakan kepada umum… Hal dalam kain kot! Profile picture dah cantik manis bertudung.. tak malu ke kalau orang luar membayangkan bahagian tubuh badan yang sepatutnya menjadi hak peribadi korang dan partner sahaja? Kalau ada jantan pervert tiba-tiba ganggu korang, jangan ditanya la kenapa. Sebab korang sendiri yang buka ruang dan peluang untuk spesis jantan macam ni menggatal… Ingat, jangan terlalu ghairah untuk bercerita/ memberi komen dalam group-group yang terbuka.. lebih-lebih lagi tentang hal dalam kain. Tak malu ke kalau suami/family/ kawan-kawan yang berada dalam friendlist kita terbaca benda-benda macam tu?

3. SUKA MEMBANDING-BANDINGKAN.

Ni memang masalah orang kita. Tapi kita sebagai ibu ni janganlah suka membandingkan antara satu sama lain. Sampai tahap menghina pun ada tau. Lantak lah orang tu nak bagi susu badan ke susu tepung ke, anak orang tu kecil ke, lambat bercakap, berjalan ke, baby orang tu hitam ke putih ke.. anak orang tu pandai tak pandai ke.. orang tu tak pandai jaga anak.. kita je the best. Kita je terbaik. Setiap orang lain caranya. Macam tu jugak, setiap anak tu lain perkembangannya. Jagalah sikit lidah tu.. Kita ni dah jadi ibu.. Nak ke bila kita mengata anak orang, terkena balik pada diri sendiri… Tunjuk sikit adab yang baik depan anak-anak. Sebab selalu dibandingkan lah terjadinya punca-punca pilih kasih di kalangan anak-anak. Punca tekanan di kalangan ibu-ibu. Elok-elok orang tu takde masalah, bahagia.. dah korang bagi tekanan kat dia.. mulut..mulut..

OH AYAH

Yang ini orang lelaki yang ramai buat..

1. JAGA ANAK SAMA-SAMA

Kepada kaum lelaki, buat anak bersama-sama, jaga anak pun tolonglah bersama-sama ye. Dah sedap sama-sama, ooh.. kau lepas semua benda kat isteri kau sorang je.Banyak cantik!! Mak ni tak mintak banyak pun kat bapak-bapak.. abes kuat kalau nampak bini kau tengah ketung ketang ketung ketang bersilat bergendang bagai kat dapur tu, kau tolongla ambik anak kau.. pergi jauh-jauh. Uruskan apa yang patut. Jangan bagi anak kau kacau ibu dia kat dapur. Karang lambat siap masak, bising. Perut boroi kau jugak nak diisi kan.. Cuba tolong-tolong sikit kalau nampak bini kau tengah sibuk tu, anak berak, tolong basuh, tengah malam nak susu, tolong bancuhkan. Anak nak ajak main dengan ayah dia, layan je lah tengah-tengah free tu.. Layan je lah anak kau nak jadikan kau kuda ke, motorsikal ke.. ultraman vs raksasa ke.. (yang pasti kau lah raksasa kan..) Gilir-gilirlah.. Cuba contohi macam wonderpets.. “Apa yang penting.. kerjasama..” Rumahtangga ni =kerjasama. Tambah-tambah suami isteri yang jenis PJJ.. Apa salahnya kalau bila suami balik rumah tu, tolong isteri.. layan anak-anak.. Isteri kau dah 24/7 menguruskan anak sorang-sorang bila kau takde. Bagi la peluang untuk dia rehat kejap.. Dia tu manusia.. bukan robot!

2. JANGAN TINGGAL SOLAT

Aku tulis point ni lebih kepada kaum lelaki sebab takde istilah cuti sembahyang bagi lelaki. Tapi bukanlah bermakna solat tu tak wajib bagi kaum perempuan.. Cuma penekanan tu untuk lelaki lebih sikit sebab korang ketua keluarga. Imam dalam rumah tu. Takkan perempuan nak jadi imam solat korang pulak? Dunia dah terbalik ke apa? Kalau ketua sendiri pun goyang, solat celup-celup.. tak solat langsung macammana korang nak didik anak isteri solat? Tekankan bertapa pentingnya solat dalam rumahtangga. Benda wajib kot! Rukun Islam. “Walaupun hidup seribu tahun.. Kalau tak sembahyang apa gunanya…” Betul lelaki lebih afdal solat kat masjid.. tapi kalau dah ada kat rumah tu, apa salahnya solat Jemaah sama-sama dengan isteri, dengan anak-anak.. Tak dapat hari-hari, seminggu sekali pun jadilah.. Lepas solat, isteri salam cium tangan suami.. suami cium dahi isteri.. ha.. kan sweet gitu.. Anak-anak pun rasa bahagia je tengok ibu bapa dia sweet-sweet camtu..

3. KURANGKAN PENGGUNAAN GAJET

Ni pun mostly bapak-bapak. Bukan kaum ibu tak buat benda ni, tapi banyak kejadian lebih ramai kaum lelaki. Ye lah punya tak boleh berenggang dengan benda alah ni sampai masuk jamban pun bawak kan.. (sesetengah).. Dulu-dulu suratkhabar/ tv dengan kaum bapa berpisah tiada. Kini gajet pulak.. zaman dah berubah kan? Please la. Balik rumah, letak telefon tu jauh-jauh kejap. Layan anak isteri. (& juga suami). Jangan sampai teknologi ni menjauhkan hubungan kita sebagai family. Kesian isteri. Kesian anak. Kesian suami. Masa banyak dihabiskan dari mengadap telefon dari mengadap muka family masing-masing. Al-Quran pun tak bukak sampai macam tu sekali. (Teguran untuk diri sendiri jugak. Hihi) Esok-esok malaikat maut dah menjemput.. bukan telefon tu yang akan doakan korang pun kan?

OH IBU BAPA!

Ni untuk semua..trend ibu bapa zaman sekarang.

1. MENAMAKAN ANAK DENGAN NAMA YANG PELIK LAGI PANJANG DENGAN EJAAN SUSAH LAGI BERBELIT

Ha.. ini memang menyusahkan semua orang! Sebab apa aku kata menyusahkan??

a) Menyusahkan orang JABATAN PENDAFTARAN
Berpinar bijik mata diorang nak daftar nama yang pelik-pelik lagi panjang lagi ejaan tah apa-apa. Karang salah eja dalam mykid korang marah..

b) Menyusahkan ANAK tu sendiri
Susah nak eja.. susah nak sebut. Kesian.. dah la baru pandai bercakap.. baru pandai menulis.. orang ambik exam dah siap menjawab..dia masih tak abes lagi menulis nama dia sendiri yang panjang berjela lagi susah nak disebut tu…belum kira bab nak isi borang lagi.. kesian woo space tak cukup! Belum kira kalau ada orang ejek-ejek nama diorang lagi.. kesian tau..

c) Menyusahkan CIKGU/PENSYARAH
Kesian cikgu nak menghafal, nak menyebut. Dah la anak murid dia ramai.. adoi.. dilema seorang tenaga pengajar…

d) Menyusahkan TOK KADI/IMAM/BAKAL SUAMI
Tergeliat lidah orang tua nak sebut nama pengantin.. kesian…

e) Menyusahkan orang yang menerima apa-apa borang dari anak korang
Untuk apa-apa pendaftaran ke, pergi ke bank ke nak bukak buku, atau apa-apa je lah.. tak ke susah tu nak panggil, nak sebut, nak taip.. peluang untuk tersalah taip nama sangat tinggi tau! Jangan marah diorang la kalau tertypo..

f) Menyusahkan KETURUNAN diorang iaitu CUCU CICIT korang..
Haha.. ni dah ada kartun kan pasal hal ni.. tak nak ulas dah.

g) Menyusahkan PEMBACA TALKIN
Tengok! Sampai ke mati pun orang susah nak sebut nama penuh.. ish..ish..ish..

2. JANGAN BERGADUH/MENCARUT/MAKI DI DEPAN ANAK

Anak ni umpama span yang boleh menyerap apa sahaja perbuatan/ perlakuan/ percakapan kita. Mula-mula dia tengok, lepas tu dia tiru. So, kalau anak mencarut, maki-maki tengok parents dia dulu macam mana. Anak sebut “bodoh”(contoh) sebab ibu atau bapa sebut “bodoh” depan dia. Macam mana acuan, macam tu lah kuih nya. Cerminan ibu bapa. Memang 100% dia akan ikut tak gen mak, gen pak dia. Maksud aku bukan dari segi muka la.. tapi perbuatan.. Jadi sebagai ibu bapa, silalah berhati-hati dengan perlakuan anda di depan anak. Kalau nak anak berkelakuan baik dan sopan so parents..behave! Tunjukkan teladan yang baik di depan anak-anak tau!

3. MEMENTINGKAN AKADEMIK SEMATA-MATA.

Anak baru 4 tahun, dah dihantar ke tuisyen! Anak baru 4 tahun, dah gelabah ayam sebab tak reti membaca! Oh my.. kegilaan apakah ini?? Sedari kecil kita paksa dia belajar, belajar, belajar! Tuisyen! Tuisyen! Tuisyen! Result mesti best-best. Mesti dapat no 1 dalam kelas tiap-tiap tahun. Apakah? Kesian budak tu.. Hilang zaman kanak-kanak yang penuh dengan keriangan. Mana tak stress.. asyik kena paksa study je.. Ya, sistem pendidikan kita dah berubah. Masuk darjah 1 dah wajib tahu membaca. Buku teks darjah 1 sekarang pun tak sama dengan buku teks zaman kita darjah 1 dulu. Kita paksa dia mesti pandai. Mesti cemerlang. Tapi adakah cemerlang seseorang itu hanya diukur melalui akademik sahaja semata-mata? Pandai, tapi tak solat. Pandai, tapi biadap. Pandai, tapi pemalas, pengotor. Pandai, tapi tak tahu baca Al-Quran. Al Fatihah pun tak reti. Inikah generasi yang sedang kita bentuk? Berat pada sesuatu benda tetapi lupa pada sesuatu benda yang lain?

Wahai ayah, Wahai ibu,

Menjadi ibu ayah akan lebih bererti apabila dia dapat berbakti kepada ibu ayah. Beradap sopan. Tak menyakitkan hati. Tak lokek dengan senyuman dan pertolongan. Tak lupa menziarahi kita di rumah. Apabila kita sakit, anak itulah yang akan menjaga kita. Anak itulah yang akan tukarkan lampin kita bila terlantar, menyuapkan makanan ke mulut kita dengan penuh kasih sayang. Memeluk kita bila kita tua. Bukan nurse, bukan orang di pusat jagaan orang tua-tua. Anak itulah yang akan memandikan jenazah kita, mengafankan, menyembahyangkan, mengiring kita ke kubur. Menghadiahkan bacaan doa serta ayat-ayat suci apabila kita di alam barzakh kelak. Kita juga seorang anak. Berbuat baiklah kepada ibu bapa kita selagi ada, hadiahkanlah doa sekiranya mereka telah tiada. Mudah-mudahan anak kita juga akan berbuat perkara yang sama untuk kita kelak. InsyaAllah.

– Bibah Bebel

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit