Orang Dahulu vs Budak Sekarang
Aku bukan berasal daripada keluarga berada. Ayah aku kerja kilang. Ibu aku suri rumah. Adik beradik aku 7 orang, aku yang sulung. Dari kecil ibu aku ajar, jangan minta macam-macam. Kita bukan orang senang.
Makan kebiasaannya dalam talam/dulang. Ibu nak ajar sifat berkongsi. Satu talam 4 orang, ikan cencaru 2 ekor. Pandai-pandai bahagi sama rata semua orang dapat rasa. Baju baru beli masa raya je. Selagi tak raya selagi tu lah pakai baju yang ada walaupun baju dan kain dah singkat.
Kat sekolah kawan pakai kasut All Star, aku pakai kasut lelong Bata sepasang rm5. Kawan pakai beg sekolah beroda, aku pakai beg galas nipis yang cuma boleh isi buku latihan dan buku kerja,buku teks kena pegang.Teringin nak ada macam kawan tapi tak pernah minta kat ibu dan ayah. Sebab tahu takkan dapat.
Masuk sekolah menengah duduk asrama. Kawan punya food supply untuk sebulan coklat kitkat, seaweed, air kotak dutch lady. Aku punya biskut tin Lagenda, yang ada macam-macam jenis biskut tapi rasa semua lebih kurang sama. Kadang-kadang ibu belikan jenama Munchy's. Melompat-lompat suka. Waktu rehat hari-hari kawan makan nasi goreng dan sirap ais di kantin. Aku makan dalam kelas, makan biskut yang ibu belikan. Teringin nak ada macam kawan tapi tak pernah minta kat ibu dan ayah. Sebab tahu takkan dapat.
Masuk matrik. Kawan pakai phone, siap ada camera ada radio. Ibu belikan aku phone juga. Nokia 3310. Tak ada camera tak ada radio. Paling canggih pun boleh main game snake. Ibu cakap phone ni cukup, boleh call boleh sms. Teringin nak ada macam kawan tapi tak pernah minta kat ibu dan ayah. Sebab tahu takkan dapat.
Masuk universiti. Duit PTPTN lepaskan kat yuran pengajian dan yuran kolej. Lebih bagi ibu. Buat belanja rumah dan adik-adik. Aku belanja rm50 seminggu. Itulah duit makan itulah duit beli toileteries itulah duit beli stationery itulah duit print assignment. Peraturan kolej tak boleh memasak dalam bilik jadi nak tak nak kena makan kat kafe/luar. Biasanya aku makan nasi goreng kampung. Sebab nasi goreng kampung lah harga paling murah dalam senarai menu kat mana-mana restoran. Kadang-kadang je makan tomyam seafood. Tu pun boyfriend belanja, pakai duit PTPTN dia.
Masuk alam pekerjaan. Dah pegang duit sendiri. Barulah dapat merasa apa yang aku teringin dari zaman dulu tu. Ini kisah aku. Mungkin ada di luar sana yang kisahnya lebih kurang aku. Mungkin juga lebih susah, lebih sadis. Aku percaya Tuhan dah tetapkan rezeki kita masing-masing. Yang penting kita kena usaha, doa, buat baik pada ibu ayah, minta mereka doakan kita.
Yang aku hairan,
kenapa budak-budak sekarang (kebanyakannya, bukan semua) tak malu nak minta pada ibu dan ayah sedangkan tahu mereka tak mampu. Tak kasihan ke kat orang tua kita? Dik, asal cukup makan cukup pakai sudahlah. Bukan semua orang lahir-lahir terus kaya. Sedar diri. Pijak bumi. Ukur baju di badan sendiri. Adik aku yang tingkatan 1 tu pun kadang-kadang datang gila dia merengek minta belikan phone aku bagi penampar.
Yang aku hairan,
kenapa orang dulu-dulu boleh terima hakikat hidup susah tapi budak-budak sekarang (kebanyakannya, bukan semua) susah sangat nak hadam yang keluarga kurang berkemampuan. Bukan tak boleh makan kat kafe hipster, bukan tak boleh pakai iphone. Boleh. Tapi usaha sendiri lah. Jangan keruk ibu dan ayah.
Yang aku hairan,
kenapa orang dulu-dulu rajin tapi budak-budak sekarang (kebanyakannya, bukan semua) malas ya ampun. Usaha dik, usaha. Cari kerja. Biar gaji ciput janji halal. Bila berkat, yang sedikit pun jadi cukup. Cukup-cukuplah susahkan ibu ayah.
p/s: Aku sampai sekarang pakai Nokia 3310. Suami (boyfriend yang dulu belanja tomyam seafood) offer nak belanja iphone aku tolak. Asal cukup makan cukup pakai sudahlah. :)
– NSMF