Orang Masjid II

Untuk part I, (https://iiumc.com/orang-masjid/).

Assalamualaikum. Hai, aku Fizz. Lama dulu aku ada berkongsi cerita di sini, tajuk Orang Masjid. Musim PKP ini, dah lama sangat rasanya tak dapat ke masjid. Rindu juga nak ke sana sebenarnya.

Alhamdulillah, rezeki aku waktu ini dapat duduk di rumah dengan keluarga. Minggu PKP diumumkan itu aku sebenarnya ambil cuti balik kampung. Waktu itu kan cuti sekolah, aku nak spend masa dengan keluarga. Tiba-tiba umum PKP, jadinya memang aku terus stay di kampung.

Dekat kampung ini alhamdulillah, ayah memang 5 waktu solat jemaah di masjid, jadinya bila ayah tak dapat ke masjid, solat berjemaah la kami anak beranak di rumah. Sebenarnya ayah aku inilah contoh terbaik untuk diri aku.

Dalam post aku yang dulu aku ada cerita aku rasa kosong sangat, waktu itu baru tergerak hati nak ke masjid. Sebenarnya masjid itu bukan benda jauh pun dari diri aku, cuma aku terleka. Iyalah, perempuan. Pergi masjid itu orang kata tak wajib. Jadi aku pandang remeh saja untuk ke masjid.

Ayah aku bukanlah ustaz atau orang yang ada pendidikan tinggi dalam bidang agama, ayah aku orang biasa saja.

Tapi sibuk atau penat macam mana pun, belum masuk waktu solat dia dah bersiap pergi ke masjid. Memang susah yang teramat untuk tengok ayah solat di rumah. Kalau kami bermusafir, memang kena alert waktu solat dan waze masjid berhampiran, ayah akan tetap kejar berjemaah.

Aku tahu, tak semua orang diberi kesempatan macam yang aku ada. Ayah orang masjid, tak peliklah kalau anak pun cari masjid. Tak. Iman tak dapat diwarisi kan.

Sebenarnya diri kita sendiri yang kena ada keazaman yang kuat. Mintalah Tuhan permudahkan langkah kita ke masjid serta jadikan kita istiqamah. Mungkin kita tak ada contoh yang terbaik untuk kita ikut, tapi inshaAllah, kitalah yang menjadi contoh terbaik untuk orang lain ikut.

Sebab dah lama tak dapat ke masjid, aku nak kongsi cerita-cerita aku dekat masjid. Duduk jauh dari keluarga memang sunyi, dekat masjid itulah aku hiburkan hati aku.

Masjid aku itu ramai budak-budak. Memang meriah la. Lepas saja solat, budak-budak ini terus pergi main dekat beranda, berlari, berkejar, main bola. Macam-macam la.

Nanti masuk isyak, imam dah angkat takbir, nampaklah diorang masuk saf dekat belakang. Ada sorang pakcik ini dia memang jaga masjid, dia akan pergi peluk angkat budak-budak yang masih bergalak lagi dan letak dalam saf.

Sempat terkekeh juga aku nak angkat takbir tengok gelagat pakcik masjid itu mengejar budak-budak ini. Kadang pakcik itu pun terus solat sekali dengan budak-budak itu.

Kalau dekat tempat jemaah perempuan pula, ada la budak-budak perempuan datang senyum-senyum, nak tegur aku malu, aku ikut layan la mengusik menyakat mereka. Memang ragam aksi mereka ini la yang banyak ubat rindu aku dekat kampung.

Kalau orang kata life orang bujang sendu, aku tak rasa macam itu sebab balik dari kerja ada perkara yang menyeronokkan menunggu aku.

Aku dah kerja di tempat baru. Jarak rumah aku ke tempat kerja hampir sejam perjalanan motor. Kawan-kawan aku suruh pindah cari rumah dekat dengan tempat kerja sebab aku masih bujang, tak ada masalah untuk pindah. Tapi aku tolak.

Sebenarnya aku tak sanggup nak tinggalkan masjid itu. Tempat yang dah sebati dengan jiwa aku. Kalau ditakdirkan aku mati dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, aku berharap jarak perjalanan pulang yang aku tempuh untuk ke masjid itu dinilai Tuhan sebagai langkah aku menuju kepada-Nya.

Biasanya aku sampai masjid dah nak masuk waktu maghrib, aku selalu tengok ada motor Food Panda. Aku tak tahu kenapa aku rasa seronok sangat. Rasa sejuk hati. Dalam sibuk dengan urusan dunia, cari rezeki siang malam, mereka tak lupa untuk cari masjid.

Aku dapat rasa dalam dunia ini ramai orang baik-baik. Orang yang Allah angkat darjat mereka bukan kerana rupa paras atau pangkat jawatan mereka. Oh ya, aku tak tahu pun itu motor siapa ya. Aku tahu motor Food Panda sebab ada beg pada motor-motor tersebut.

Jadi bila aku jumpa rider Food Panda dekat mana-mana, aku sangat hormat walaupun aku tak kenal mereka. Kerana beberapa rider Food Panda yang rajin ke masjid, semua rider aku anggap rajin ke masjid.

Ada satu hari itu sampai masjid aku tengok ramai betul orang dekat luar masjid. Ramai di luar kebiasaan la. Tengok cara berpakaian bukan cara orang pakai nak pergi masjid, lagi la aku bertambah pelik.

Sampai aku terfikir mungkin ada produksi yang tengah buat penggambaran dekat masjid itu kot. Masa nak solat maghrib ada pengumuman maklumkan ada kematian. Rupanya yang ramai-ramai dekat luar itu kawan-kawan si mati, arwah muda lagi orangnya.

Sebak aku tengok semangat setia kawan mereka, walaupun orang pandang pelik pada pakaian mereka, mereka tak hirau. Mereka tetap masuk ke masjid untuk solatkan kawan mereka.

Memang penuh masjid waktu itu. Masa angkat keranda pun, berebut kawan-kawan dia nak tolong angkat. Nanti bila tiba masa aku, moga-moga Tuhan permudahkan sama urusan aku.

Dah dekat Ramadhan ini, lagi la meronta-ronta hati aku nak solat di masjid. Biasanya aku datang masjid lebih awal sebab aku tolong pihak masjid edarkan makanan untuk jemaah berbuka.

Duit tak banyak nak menyumbang untuk rebut pahala beri makan orang berbuka, dapat menyumbang tenaga pun alhamdulillah.

Haa, masa itu aku buat kawan. Adalah kenal beberapa orang akak ini, jadinya bila raya dapatlah aku pergi beraya rumah mereka. Kemudian dapat solat tarawih berjemaah pula, alhamdulillah sangat.

Bagi diri aku, memang solat tarawih ini jadi amalan wajib. Kalau tak buat rasa macam tak ada ruh Ramadhan, rasa kekurangan sangat pada ibadah puasa itu. Jadi penat macam mana pun, aku tetap ikut tarawih.

Dah selesai lapan rakaat, imam bangun buat 20 rakaat, kita bangun sama sebab seronok berjemaah, tak terasa lelah. Tengok makcik-makcik kiri kanan masih gagah, takkan kita dah rebah.

Untuk Ramadhan yang bakal tiba ini, moga Tuhan sampaikan kita padanya dan diberi kemudahan untuk menyempurnakan ibadah puasa ini, walaupun ianya pasti berbeza.

Oh, sebelum aku berundur, aku teringat ada komen di post dahulu yang kata perempuan lebih elok solat di rumah. Ya betul, tapi kita tak boleh terhenti di situ kerana Nabi tak pernah larang isteri-isteri baginda ke masjid. Cuma kita perlu jaga adab-adabnya, jangan sampai mengundang fitnah.

Sampai sini sahaja, doakan aku diluruskan niat dalam amalan.

– Fizz (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *