Overthinking Dengan Kisah Silam Suami

Berkali-kali juga aku berfikir untuk menulis dekat sini. Tapi perkara ini terlalu berat nak tanggung seorang diri, dan aku tiada tempat meluah.

Assalamualaikum. Aku Mar. Dan aku telah berkahwin dengan suami ku, Far. Kami dah ada seorang zuriat setelah 2 tahun berkahwin.

Kami kenal sejak 10 tahun dulu melalui facebook. Suami aku nampak baik, solat tak tinggal, paras rupa yang boleh tahan tapi aku sebaliknya.

Siapa sangka, lepas beberapa bulan menikah, aku gatal tangan selongkar sosial media suami yang dia lupa nak ‘log out’ dari device yang aku boleh akses. Terjumpa semua mesej² dia dengan perempuan² yang aku tak kenal semasa aku berkawan dengan dia dulu.

Semua itu jauh dari tanggapan aku. Pernah ‘main’ dengan beberapa perempuan dan macam² lagi perangai yang aku tak sanggup tulis. Ya Allah. Aku menangis bila tahu.

Sejak dari tu, dari seorang yang ceria dan layan suami sebaiknya, aku jadi pemarah. Suami aku tak tahu yang aku tahu perkara tu.

Lepas beberapa bulan masa aku tengah sarat, aku dapat tangkap yang dia berhubung dengan perempuan² tu lagi melalui mesej. Aku sergah dia.

Aku tanya satu² dan dia menangis minta maaf dan bodohnya aku maafkan sebab fikir anak yang bakal lahir. Rupanya aku silap. Dalam pantang aku di kampung lah dia buat perangai.

Aku dapat tangkap juga dan aku minta cerai terus. Tapi dia bersumpah yang tak pernah buat apa² dengan mereka. Hanya berhubung untuk hilangkan sunyi. Dia berjanji takkan buat semua tu lagi dan takkan lepaskan aku kerana masih sayang.

Masa berlalu, kami besarkan anak sama². Masa ni aku tak nafikan dia ada juga membantu jaga anak, dan tak da peluang langsung untuk buat perkara tak baik belakang aku.

Handphone dia pun dia biar je untuk aku akses bila² masa. Layanan dia dekat aku semua okey. Tapi hati aku masih sakit.

Aku tahu dan sedar dia banyak berubah, aku nak apa semua dia akan tunaikan. Tapi hati masih menafikan. Hari² aku akan overthinking, kadang marah dan mengamuk untuk salah yang kecil.

Kalau ada salah yang buat aku trigger teringat kisah silam dia, aku akan mengamuk minta cerai. Padahal benda remeh je.

Hal ni pun termasuk kalau aku nak ‘bersama’ dengan dia. Aku akan murung lepas waktu itu sebab trigger yang dia pernah layan perempuan lain sebelum kahwin.

Tapi aku masih sayang dia. Sebab layanan dia. Bab nafkah pun memang tak pernah culas. Solat tak pernah tinggal. Layanan tu sampai tahap penat balik kerja aku suruh uruskan anak pun dia buat. Cuma hati aku banyak dendam.

Aku teringat apa yang dia buat dengan perempuan² tu. Aku tak boleh terima sebab aku kahwin dengan dia dalam keadaan aku yang amat menjaga kehormatan diri sebelum kahwin. Dia tak layak jadi suami aku.

Itu dalam fikiran aku. Aku asyik nafikan perubahan dia. Perkataan cerai tu dah terlalu biasa keluar dari mulut aku.

Aku tahu orang mungkin akan kecam aku. Aku tak mintak banyak. Aku perlukan nasihat. Aku luahkan kat sini sebab ini je cara untuk ringankan beban di hati.

Bukan dengan keluarga terdekat sebab aib suami dan masalah keluarga kami memang tersimpan rapi tak pernah ada yang tahu.

Waktu aku menulis ni, aku dah bungkus baju aku dan anak dalam beg. Aku nak keluar dari rumah ni. Walaupun aku tak pernah keluar rumah tanpa izin dia.

Sebab aku fikir semua ni takkan membaik selagi kisah silam suami masih ada dalam otak aku. Aku tak tahu macam mana nak buang.

Bantulah aku. Untuk belajar memaafkan, melupakan. Aku buntu.

– Mar (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *